
Kini memori itu sudah berlalu hampir 22 tahun. Satu tempoh yang panjang. Elok juga kita merenung kembali "sejauhmana" sudah perjalanan bekalan air dirawat di Pitas. Gambar yang saya paparkan itu saya ambil bulan lalu di sebuah kampung yang hanya sejauh 7 kilometer dari Pekan Pitas dan 10 kilometer dari loji air. Nampaknya empunya lori ini sedang mengangkat air, samada untuk keperluan sendiri atau diniagakan, itu bukan persoalan.Jelasnya bekalan air di Pitas sehingga 22 tahun nampaknya belum mencapai tahap yang membanggakan. Kita alu-alukan usaha kerajaan menaiktaraf perkhidmatan air, melalui kapasiti loji dan bekalan. Di sepanjang jalan utama kita perhatikan kontraktor memasang paip utama. Tangki-tangki penyimpanan juga kelihatan di beberapa tempat strategik. Usaha murni ini amat dihargai namun sejajar dengan matlamat kerajaan mensasarkan bekalan air dirawat 100% menjelang beberapa tahun mendekat,saya kurang optimis berdasarkan pemerhatian kasar. Semoga dan pastinya pihak berwajib sudah menyediakan pelan induk perancangan bekalan air untuk sekurang-kurangnya 60% daripada keseluruhan Pitas, khususnya di kawasan-kawasan yang mempunyai agensi kerajaan dan kritikal.