

Sehubungan itu kata beliau, kerajaan seharusnya memansuhkan terus Peraturan 21 Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 yang mengehendaki kakitangan awam memperoleh kebenaran bertulis daripada ketua perkhidmatan awam jika mahu terlibat dalam politik.
“Ia satu langkah yang silap. Dari sudut parti politik Umno, keputusan itu adalah langkah terdesak mereka, mereka cuba untuk menggunakan selok-belok undang-undang dan peraturan (untuk kepentingan Umno-BN) untuk memperdayakan rakyat,” kata Aziz ketika ditemui selepas Diskusi KAMI Ketiga yang membincangkan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 di sini hari ini. “Langkah ini memang tidak logik. Pengumuman Ketua Setiausaha Negara menjadi bahan ketawa,” katanya Aziz lagi.
Aziz memberitahu langkah membenarkan guru-guru kumpulan itu terlibat aktif dalam politik akan menjejaskan aspek keberkecualian guru dalam perkhidmatan awam. “Kita mahukan satu perkhidmatan awam yang berkecuali, kita berkompromi dengan aspek keberkecualian dengan mengeluarkan perintah baru ini,” kata beliau lagi.
Keputusan terbaru ini diumumkan oleh Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Sidek Hassan semalam. Menurut Mohd Sidek, langkah itu berlandaskan hakikat bahawa guru suatu masa dahulu memain peranan penting dalam memimpin masyarakat dalam senario politik negara. “Masanya sudah tiba mereka dibenar aktif semula dalam politik,” katanya.
Bagi tujuan itu, beliau berkata pindaan Peraturan 21 Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 telah diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin. Tindakan sedang diambil untuk mewartakawan pindaan peraturan tersebut, tambah beliau lagi.
Sebelum ini, Peraturan 21(2) peraturan tersebut menetapkan hanya pegawai dalam Kumpulan Sokongan boleh bertanding atau memegang jawatan atau dilantik ke dalam apa-apa jawatan dalam suatu parti politik dengan syarat terlebih dahulu mendapat kelulusan bertulis Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam atau Ketua Setiausaha kementerian berkenaan.
Di bawah peraturan baru ini, pegawai pendidikan, selain pengetua atau guru besar di institusi pendidikan dan pegawai yang memegang apa-apa jawatan pentadbiran dalam mana-mana agensi kerajaan, perlu mendapat kebenaran bertulis daripada Ketua Setiausaha Kementerian Pelajaran terlebih dahulu.
Mengulas lanjut mengenai aspek keberkecualian, Aziz tidak menolak kemungkinan elemen salah guna kuasa dengan memihak kepada parti-parti politik tertentu akan wujud dalam jangka panjang jika langkah baru ini dilaksanakan.
“Kini pun masalah ini sudah wujud, misalnya di universiti-universiti awam yang mengguna pakai AUKU (Akta Universiti dan Kolej Universiti), sangat jelas kewujudan salah guna kuasa di mana naib-naib canselor boleh menentukan siapa yang boleh mengambil bahagian dalam politik atau tidak.
“Jangan beritahu saya yang naib canselor tidak boleh menentukan sama ada permohonan seseorang untuk menyertai aktif dalam PKR, PAS diluluskan atau tidak, sudah pasti Umno,” kata beliau dengan menambah, persekitaran politik semasa jauh berbeza ketika negara merdeka.
“Sekarang kita ada jumlah yang ramai, yang berminat untuk aktif berpolitik,” kata beliau dengan merujuk bilangan yang berpendidikan cukup tinggi berbanding lima dekad lalu di mana negara bergantung kepada golongan pendidik semata-mata.
Sehubungan itu tegas beliau, golongan pendidik yang berminat untuk aktif berpolitik seharusnya berhenti dari perkhidmatan perguruan. “Saya tidak tahu apa kajian yang dibuat dan apa alasan yang digunakan dalam mengambil keputusan ini, tetapi (Menteri Pelajaran) Tan Sri Muhyiddin Yassin perlu menjawab perkara ini,” katanya.
“Ini satu perkara yang nampak tidak betul, keputusan ini membawa mesej bahawa ia akan memburukkan perkhidmatan awam,” kata Aziz yang turut menekankan bahawa beliau hairan dengan makluman Ketua Setiausaha Negara yang gagal menangani isu Pegawai Kemajuan Negeri (SDO) Pulau Pinang Nik Ali Mat Yunus.
Katanya lagi, pengumuman yang dibuat oleh Mohd Sidek, yang sudah pasti dibuat atas keputusan Kabinet, telah menghakis prinsip keberkecualian dalam perkhidmatan awam. “Mutu perkhidmatan awam patut diperkasakan, bukannya dihakis,” katanya lagi. Ketika ditanya bukannya langkah terbaru ini akan menguntungkan kesemua parti politik negara ini, Aziz berkata, “atas kertas mungkin betul”. Bagaimanapun tegas Aziz, beliau melihat kerajaan pusat mengambil tindakan ini kerana kemungkinan berhadapan dengan masalah ketandusan pemimpin yang berkualiti.
KUALA LUMPUR: Seorang penasihat ekonomi dan pelaburan tempatan mengingatkan dua elemen penting yang memberi petunjuk bahawa sesebuah ekonomi itu sedang menuju kehancuran.
"Dua elemen itu ialah Defisit Belanjawan dan Defisit Akaun Semasa," kata Tan Teng Boo, pengarah urusan Capital Dynamics Sdn Bhd pada Ekspo Pelabur di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur hari ini.
Ketika membentangkan kertas kerja bertajuk "Malaysia’s Economy: Sunrise or Sunset?", beliau berkata, "malangnya dua elemen ini menimpa ekonomi Malaysia dewasa ini."
Sejak 14 tahun lalu, ekonomi negara beroperasi dalam defisit belanjawan dan tidak nampak tanda-tanda keadaan ini akan berubah dan sukar untuk meramalkan masa depan yang lebih baik.
Untuk menampung perbelanjaan negara, kerajaan bergantung kuat kepada dividen Petronas walaupun hasil pendapatan dan keuntungan syarikat milik kerajaan itu merudum tahun lalu akibat kejatuhan harga minyak mentah sebanyak 20%.
Bayaran dividen sebanyak RM30 bilion pada tahun ini iaitu sama jumlahnya tahun 2009 adalah tinggi kerana keuntungan bersih Petronas telah jatuh kepada RM40.3 bilion pada 2009 berbanding RM52.5 bilion tahun sebelumnya.
Ini bermakna nisbah bayaran – bayaran dividen dari untung bersih – telah mencecah 74% pada 2010 berbanding 57% tahun lalu.
Defisit akaun semasa semakin lebar
Mengenai "Defisit Akaun Semasa", menurut Tan, ianya berlaku apabila jumlah nilai yang diimpot melebihi nilai eksport dan elemen ini juga membimbangkan kita.
"Apabila mengimport pesawat (kapal terbang) bermakna kita membuat perbelanjaan yang tinggi, wang mengalir keluar dan menambah beban defisit akaun semasa.
"Tetapi seorang menteri menyatakan jangan bimbang kerana pembelian itu adalah untuk jangka panjang," ujar beliau.
Trend pelaburan langsung asing (FDI) juga amat merunsingkan kerana telah menjunam teruk sejak 2007 berbanding India, China, Vietnam malah Indonesia yang mampu menarik pelaburan asing dengan pertumbuhan yang lebih tinggi.
Mengenai kereta nasional Proton, katanya, jumlah eksport kereta itu tidak bertambah sedangkan Thailand berjaya meningkatkan jumlah eksport kereta dari negara itu walaupun mereka tidak mempunyai kereta nasional.
Pemberian insentif yang tinggi kepada syarikat-syarikat berkaitan kerajaan seperti Proton juga menyebabkan syarikat tidak kompetitif di pasaran antarabangsa dan akhirnya membebankan rakyat kerana terpaksa menanggung kos itu.
Rasuah tinggi di Malaysia
Mengenai Indeks Persepsi Rasuah, kata Tan, Malaysia berada pada kedudukan yang tinggi dan tidak banyak berubah manakala Indonesia berjaya mengurangkan gejala rasuah di kalangan rakyatnya.
Jika rasuah ini tidak dibendung dengan serius maka Malaysia akan mengalami nasib yang sama menimpa Greece, sebuah negara kuat mengamalkan rasuah dalam pentadbirannya hingga jatuh muflis.
Bagaimanapun beliau menyokong usaha kerajaan untuk mengurangkan subsidi secara berperingkat-peringkat dan Indonesia merupakan contoh terbaik di mana Presidennya Bambang Susila Yudoyono berjaya mengurangkan subsidi petrol hingga menyebabkan negara itu hampir terkeluar dari defisit belanjawan.
Tan juga menyokong sepenuhnya Model Baru Ekonomi yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak pada April lalu, bermatlamat untuk mencapai tahap ekonomi berpendapatan tinggi, berdaya tahan dan pertumbuhan inklusif.
Perlu kepada kerajaan yang kuat
Bagaimanapun kita memerlukan sebuah kerajaan yang kuat, tidak kira sama ada Barisan Nasional atau Pakatan Rakyat, untuk melakukan perubahan struktur dalam ekonomi, katanya.
Tan Teng Boo merupakan tenaga utama yang menggerakkan Kumpulan Capital Dynamics hingga membawa syarikat itu muncul sebagai pengurus dana pertama memasukki pasaran global.
Beliau menjadi "pelajar" pasaran saham lebih 40 tahun dan pengalamannya dalam analisa dan kajian pelaburan membuat beliau sering dijemput oleh media antarabangsa seperti antaranya, Bloomberg, The Business Times, CNBC, Reuters dan Financial Times.
Lebih 1,200 pelawat, yang terdiri daripada ahli perniagaan, para pelabur, para pelajar bidang ekonomi, pelaburan dan hartanah, hadir pada Ekspo Pelabur yang berlangsung selama dua hari itu.
P/S : Ulasan ini saya petik dari Freemalaysiatoday.Ulasan yang mudah difahami dan praktikal tentang status ekonomi semasa negara. Ulasan ini boleh menjawab justifikasi kenaikan harga petrol dan gula baru-baru ini (utk lebih sedap, kita dinasihatkan menggunakan istilah pelarasan subsidi dan bukan kenaikan harga)