KUALA LUMPUR: Seorang penasihat ekonomi dan pelaburan tempatan mengingatkan dua elemen penting yang memberi petunjuk bahawa sesebuah ekonomi itu sedang menuju kehancuran.
"Dua elemen itu ialah Defisit Belanjawan dan Defisit Akaun Semasa," kata Tan Teng Boo, pengarah urusan Capital Dynamics Sdn Bhd pada Ekspo Pelabur di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur hari ini.
Ketika membentangkan kertas kerja bertajuk "Malaysia’s Economy: Sunrise or Sunset?", beliau berkata, "malangnya dua elemen ini menimpa ekonomi Malaysia dewasa ini."
Sejak 14 tahun lalu, ekonomi negara beroperasi dalam defisit belanjawan dan tidak nampak tanda-tanda keadaan ini akan berubah dan sukar untuk meramalkan masa depan yang lebih baik.
Untuk menampung perbelanjaan negara, kerajaan bergantung kuat kepada dividen Petronas walaupun hasil pendapatan dan keuntungan syarikat milik kerajaan itu merudum tahun lalu akibat kejatuhan harga minyak mentah sebanyak 20%.
Bayaran dividen sebanyak RM30 bilion pada tahun ini iaitu sama jumlahnya tahun 2009 adalah tinggi kerana keuntungan bersih Petronas telah jatuh kepada RM40.3 bilion pada 2009 berbanding RM52.5 bilion tahun sebelumnya.
Ini bermakna nisbah bayaran – bayaran dividen dari untung bersih – telah mencecah 74% pada 2010 berbanding 57% tahun lalu.
Defisit akaun semasa semakin lebar
Mengenai "Defisit Akaun Semasa", menurut Tan, ianya berlaku apabila jumlah nilai yang diimpot melebihi nilai eksport dan elemen ini juga membimbangkan kita.
"Apabila mengimport pesawat (kapal terbang) bermakna kita membuat perbelanjaan yang tinggi, wang mengalir keluar dan menambah beban defisit akaun semasa.
"Tetapi seorang menteri menyatakan jangan bimbang kerana pembelian itu adalah untuk jangka panjang," ujar beliau.
Trend pelaburan langsung asing (FDI) juga amat merunsingkan kerana telah menjunam teruk sejak 2007 berbanding India, China, Vietnam malah Indonesia yang mampu menarik pelaburan asing dengan pertumbuhan yang lebih tinggi.
Mengenai kereta nasional Proton, katanya, jumlah eksport kereta itu tidak bertambah sedangkan Thailand berjaya meningkatkan jumlah eksport kereta dari negara itu walaupun mereka tidak mempunyai kereta nasional.
Pemberian insentif yang tinggi kepada syarikat-syarikat berkaitan kerajaan seperti Proton juga menyebabkan syarikat tidak kompetitif di pasaran antarabangsa dan akhirnya membebankan rakyat kerana terpaksa menanggung kos itu.
Rasuah tinggi di Malaysia
Mengenai Indeks Persepsi Rasuah, kata Tan, Malaysia berada pada kedudukan yang tinggi dan tidak banyak berubah manakala Indonesia berjaya mengurangkan gejala rasuah di kalangan rakyatnya.
Jika rasuah ini tidak dibendung dengan serius maka Malaysia akan mengalami nasib yang sama menimpa Greece, sebuah negara kuat mengamalkan rasuah dalam pentadbirannya hingga jatuh muflis.
Bagaimanapun beliau menyokong usaha kerajaan untuk mengurangkan subsidi secara berperingkat-peringkat dan Indonesia merupakan contoh terbaik di mana Presidennya Bambang Susila Yudoyono berjaya mengurangkan subsidi petrol hingga menyebabkan negara itu hampir terkeluar dari defisit belanjawan.
Tan juga menyokong sepenuhnya Model Baru Ekonomi yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak pada April lalu, bermatlamat untuk mencapai tahap ekonomi berpendapatan tinggi, berdaya tahan dan pertumbuhan inklusif.
Perlu kepada kerajaan yang kuat
Bagaimanapun kita memerlukan sebuah kerajaan yang kuat, tidak kira sama ada Barisan Nasional atau Pakatan Rakyat, untuk melakukan perubahan struktur dalam ekonomi, katanya.
Tan Teng Boo merupakan tenaga utama yang menggerakkan Kumpulan Capital Dynamics hingga membawa syarikat itu muncul sebagai pengurus dana pertama memasukki pasaran global.
Beliau menjadi "pelajar" pasaran saham lebih 40 tahun dan pengalamannya dalam analisa dan kajian pelaburan membuat beliau sering dijemput oleh media antarabangsa seperti antaranya, Bloomberg, The Business Times, CNBC, Reuters dan Financial Times.
Lebih 1,200 pelawat, yang terdiri daripada ahli perniagaan, para pelabur, para pelajar bidang ekonomi, pelaburan dan hartanah, hadir pada Ekspo Pelabur yang berlangsung selama dua hari itu.
P/S : Ulasan ini saya petik dari Freemalaysiatoday.Ulasan yang mudah difahami dan praktikal tentang status ekonomi semasa negara. Ulasan ini boleh menjawab justifikasi kenaikan harga petrol dan gula baru-baru ini (utk lebih sedap, kita dinasihatkan menggunakan istilah pelarasan subsidi dan bukan kenaikan harga)
2 ulasan:
brita buruk bgi rkyat msia..ini signal kjn umno-bn mencatat perstasi paling teruk dalam mengurus negara akibat rasua dan penyelewngan..ini ka kjn yg kita trus sokong??????
brita buruk bgi rkyat msia..ini signal kjn umno-bn mencatat perstasi paling teruk dalam mengurus negara akibat rasua dan penyelewngan..ini ka kjn yg kita trus sokong??????
Catat Ulasan