Pengikut

26 April 2010

SOALAN LISAN UNTUK IBRAHIM ALI

Saya bukan peminat anda YB Ibrahim Ali, lagipun kau memang tidak kenal saya. Maklumlah saya bukan orang terkenal seperti anda. Kisah politik kamu memang cukup dikenali. Oleh kerana antara kita saling tidak memerlukan maka tiada sebab untuk saling menyibuk. Tapi apabila kamu minta agar peruntukan yang dijanjikan oleh BN untuk komuniti Cina dan India dalam pilihanraya Hulu Selangor baru-baru ini ditarik balik, saya fikir itu cukup rasis dan melampau. Kamu minta ditarik kerana kononnya Cina dan India tidak mengenang budi BN. Oleh kerana kau presiden PERKASA maka saya utarakan dua soalan lisan (jawab betul2 dan jangan meniru), iaitu:
(1) Siapakah yang mula-mula menjana ekonomi komoditi Tanah Melayu bermula sekitar 1890-an, sehingga meletakkan Tanah Melayu sebagai pengesport utama di dunia selama berdekad-dekad?
(2) Sejak Tanah Melayu mencapai era negara moden, siapakah penyumbang cukai paling banyak?
Soalan lisan ini khusus untuk kamu dan tidak prejudis kepada mana-mana individu,organisasi mahupun kaum. Kita sudah hidup dan menerima Malaysia sebagai negara berdaulat dan milik bersama. Oleh itu marilah hidup harmoni tanpa saling memperkecilkan kaum atau menafikan hak sesiapapun. Kalaupun org Cina dan India tidak menyokong BN, itu tidak bermaksud golongan ini tidak patriotik. Kecintaan terhadap negara tidak sama dengan kecintaan terhadap parti. Hak sebagai warganegara tidak sama dengan hak kepartian. Parti boleh datang pergi tetapi negara Malaysia tercinta tetap kekal.
Mohon maaf, saya tidak harus menyibuk hal ini atau tentang kamu tapi denyut minda saya ingin mengatakan ini. "Lagipun saya akan menduduki peperiksaan awam tahun ini dan dua soalan di atas merupakan soalan ramalan saya. Manalah tahu keluar dalam peperiksaan....."

25 April 2010

TENAGA ALAF BARU

Sekadar menyambung coretan lawatan ke DUN baru-baru ini. Di sebalik pengalaman indah, terselit satu catatan bermakna dalam lawatan ini. Masalah van milik Jabatan Penerangan menyebabkan kami terpaksa memikirkan plan lain utk menjayakan lawatan. Untuk tunda mustahil. Bukan mudah "menempah" ruang ke DUN. Para pelajar juga sudah dimomokkan sekian lama. Sesuatu harus dirancang. Wang yg ada sangat terhad. Tidak mungkin cukup untuk menyewa kenderaan. Pilihan akhir, harus gunakan kenderaan sendiri TAPI starter hilux saya hancur habis. Mau tak mau mesti guna juga dengan cara kekuatan semulajadi manusia. . Cek punya cek salah seorg pelajar memaparkan gambar menarik di atas dlm fb nya, maka saya kongsikan disini. Haha..perhatikanlah mereka.Semangat..keinginan membara...niat mesti dicapai...semua cabaran harus diatasi. Bayangkan sejak dari sekolah mereka dah mula "menyurung". Berhenti sarapan di Marudu, kemudian isi minyak, di DUN, makan di Likas, isi minyak lagi dan berhenti kejap di Marudu..Bayangkan berapa kali mereka menyurung. Starter hilux benar2 kondem... Tenaga semulajadi masih boleh mengatasi segalanya. Kepada para pelajar lelaki (semuanya 12 org dlm hilux), mohon maaf. Segala kesulitan amatlah dikesali.Tahniah kerana semangat dan kekuatan andalah yg memungkinkan semuanya berlangsung. Semoga jatidiri itu diaplikasi dalam exam kelak.

21 April 2010

CORETAN DARI DEWAN UNDANGAN SABAH

20 April, pastinya terpahat dalam diari ahli Kelab Setia SMK Pitas, bahkan diri saya sendiri dan guru pengiring lain apabila rombongan Kelab Setia SMK Pitas seramai 25 orang melawat dan menyaksikan secara 'live' persidangan dewan undangan negeri Sabah. Dengan kerjasama Jabatan Penerangan Pitas dan komunikasi berkala melalui e-mail dengan setiausaha DUN Sabah, maka impian kami menjadi realiti. Kunjungan kami lebih bernilai tambah apabila kami diberi penghormatan menyambut ketibaan YAB Ketua Menteri di pintu utama. Pengerusi MPP kami juga bernama "Musa" dan kakitangan protokol meletakkannya di depan menyambut YAB (lihat gambar). Coretan saya mungkin boleh menggambarkan suasana berada di DUN.
  • Staf DUN yang diketuai oleh YBgh, En.Bernard Dalinting menyambut kami dengan mesra dan baik sekali..terima kasih.
  • Datuk Ewon, Datuk Jahid, YB Lumadan dan Datuk Jainab agak peramah dan mesra menyambut lawatan kami.
  • Datuk Herbet...tak tegur pun kami...its ok.
  • Persidangan bermula 10 am, dengan sesi jawaban lisan. Antara yg tampil menjawab ialah Datuk Jainab, Datuk Hajiji, Datuk Nasir, Datuk Pang, Datuk Yee, dll. Nada dan gaya mereka terlalu bersahaja dan kurang menarik. Semasa sesi soalan tambahan,tidak banyak YB yang bertanya dan ini menimbulkan banyak persoalan dalam diri tentang sejauhmana pengetahuan mereka terhadap isu-isu tertentu.
  • Isu pemeliharan burung walit disentuh tapi saya tidak nampak kepentingan isu anjing liar dan kucing peliharaan dijadikan soalan utama di peringkat DUN. Isu ini boleh selesai di peringkat kerajaan tempatan.
  • Sebaik sahaja sesi jawaban lisan selesai, bermulalah sesi ucapan terima kasih terhadap ucapan TYT. Setiap YB diberikan masa 30 minit. Sebaik sesi ini bermula YAB Ketua Menteri dilihat meninggalkan dewan dan disusuli dengan menteri, pembantu dan YB lain. Yang setia dalam dewan seperti Datuk Donald, Datuk Azizah, Datuk Edward Yong, dll.
  • Mereka yang keluar dewan dilihat minum dan berborak di luar (TV disediakan) tetapi selepas beberapa ketika mereka dilihat masuk semula seperti Datuk Masidi, dll.
  • Saya perhatikan ada YB yang asyik dengan HP tetapi ada juga yang dilihat asyik mencatat seperti YB Donald, Azizah, YB dari SAPP, dll.
  • Ucapan YB Ramlee,YB Zakaria agak bernas dan padat dengan isi.Ucapan YB Johnny pun baik tetapi perlu meningkatkan kelancaran berucap.
  • YB Yee berucap dalam BI dan agak serius...rakan YB lain mau joke tapi dia tetap serius.
  • YB2 yang baru seperti Tandek, Matunggong, Banggi mcm belum penampilan yang ketara kerana tidak satu pun soalan tambahan dari mereka.
  • Dalam soal soalan2 tambahan, YB Datuk Arif dan Datuk Zakaria dilihat sangat rajin bertanya dan berkualiti.
  • Saya lihat ramai juga orang awam yang mundar-mandir sambil memegang sampul surat. Mungkin cuba mengambil peluang berjumpa dengan YB dalam keadaan dimana protokol yang minima.
  • Terima kasih YB Anita dan YB Sarapin yang sudi menerima sampul surat kami. Haha
  • Secara keseluruhan saya perhatikan "mereka" dilihat memberikan tumpuan sewaktu Ketua Menteri ada dan selain itu dilihati tidak memberikan perhatian.
  • Yang betul2 memperhati dan duduk diam ialah pengarah atau wakil dari setiap agensi yang duduk di bhgn belakang barisan menteri/pembantu menteri.
Terlalu panjang coretan ini. Akhirnya terima kasih kepada YB Datuk Bolkiah yang memberikan masa untuk menyambut kami dan memberikan sedikit kata perangsang kepada pelajar.YB turut menyumbang utk kos makanan kami. Lawatan ini amat bermakna kepada kami dan sepanjang perjalanan pulang pelajar tidak henti2 mengulas perjalanan sidang, isu dan gelagat para VIP yang mereka nampak sendiri. Pengalaman adalah ilmu dan guru paling hebat....

17 April 2010

MARI MASUK KOLEJ

Sekarang adalah musim di mana kolej-kolej "memburu" para lepasan SPM dan STPM.Sama ada memohon atau tidak pasti mereka akan terima surat tawaran yang "tidak diundang".Minggu lalu peti surat sekolah kami penuh sesak dengan surat tawaran. Saya meneliti salah satu tawaran oleh kolej X dan sekali imbas sangat menarik. Frasa tiada yuran pendahuluan, tiada yuran pengajian, diiktiraf, percuma laptop & handphone, konvo di universiti X dan bla..bla..bla. Terlalu banyak keistimewaan dan seolah-oleh merekalah kolej terbaik di Malaysia.
Iklan-iklan seperti ini telah banyak memerangkap ramai orang. Logikkah ada pengajian percuma? Tanpa bayaran pengajian,penginapan, pengangkutan dan segalanya percuma ! Setelah diperhalusi maksud sebenar ialah pinjaman 100% dengan jumlah keseluruhan RM60,000.00. Jumlah yang sangat banyak dan bayangkan kalau selepas pengajian tidak mendapat kerjaya, pinjaman harus dibayar balik, kalau gagal, saya boleh membayangkan bilangan golongan muda yang muflis semakin meningkat.
Namun seolah-olah telah menjadi budaya bahawa masuk kolej dianggap lebih berprestij. Golongan muda lebih suka ke kolej, menikmati suasana bandar yang memukau dan sistem pembelajaran yang fleksibel dan boleh dikatakan tidak ada kamus "gagal". Istilah gagal hampir-hampir tidak wujud dalam kolej melainkan gagal melunaskan yuran pengajian. Tetapi dengan pinjaman 100%, masalah ini selesai dan kita akan menyaksikan ribuan tenaga muda berkelulusan kolej menantikan peluang pekerjaan. Bukan semua kolej sedemikian. terdapat juga kolej khususnya yang berkonsepkan kemahiran teknikal mempunyai pasaran kerjaya yang baik dan sebaiknya kolej-kolej seperti ini menjadi keutamaan.
Beberapa persoalan selalu bermain dalam fikiran saya tentang fenomena ini. 1) Kenapa kolej-kolej yang tumbuh seperti cendawan ini dengan mudah mendapat kelulusan pinjaman PTPTN? 2) Darimanakah kolej ini mendapat maklumat alamat pelajar? 3) Apakah mereka kabel yang mereka ada sehingga boleh masuk ke sistem maklumat kementerian pelajaran? 4) Apakah mekanisme pengawalan kualiti yang kerajaan gariskan bagi memastikan kolej-kolej amatur ini benar-benar sebahagian daripada instrumen berkualiti pendidikan negara?
Saya teringat abang saya yang sudah hampir 20 tahun meninggalkan alam persekolahan tiba-tiba mendapat tawaran dari sebuah kolej...Saya juga teringat cerita rakan saya yang mendaftar di sebuah kolej di KL. Setibanya di sana, mereka terkejut kerana fizikal kolej itu seperti bekas kilang dan bukan seperti dalam risalah. Pasti anda juga ada pengalaman tentang kolej ini. Boleh kongsikan disini sebagai peringatan kepada ramai orang. Mari masuk kolej.....

14 April 2010

TANPA PREJUDIS

Sejak sekian lama saya memasang penapis air 5 mikron di bhgn luar rumah selepas meter. Ini memudahkan saya membersihkan tangki, juga mengurangkan beban penapis kedua di bahagian dalam rumah. Kita sedia maklum bhw secara umumnya perubahan warna penapis merujuk kepada pengumpulan tanah, lumpur, dsb. Namun kebelakangan ini, saya perhatikan perubahan warna terhadap penapis ini agak lain dan sukar sekali untuk mengaitkannya dengan tanah dan lumpur. Tambahan lagi kita sedia maklum bahawa air Sungai Bengkoka sejak musim kemarau adalah jernih. Jadi persoalan saya, apakah bahan yang diperangkap ini sehingga penapis berubah warna kehitaman. Kalau tanah dan lumpur, kita dapat menyentuh bahan tersebut terperangkap dalam penapis tapi untuk bahan ini kita tidak dapat merasakan tetapi penapis berbuah warna.
Mungkin ada di kalangan pengunjung web ini yang mahir tentang kandungan air dalam konteks saintifik, anda dialu-alukan berkongsi ilmu maklumat. Mungkin ini boleh membantu agensi berkaitan seperti Jabatan Air mengenalpasti dan seterusnya kita sama-sama dapat menghindarinya.

12 April 2010

LAYANAN TERHADAP CHRISTIAN MISSION SCHOOL

7 April lalu saya terlibat dlm mesyuarat penyelarasan draf akhir perlembagaan penubuhan Majlis Persekutuan Sekolah Mission Kristian Malaysia. Sebelum ini yang wujud ialah Malayan Christian School Council (MCSC) yang ditubuhkan sebelum merdeka. Peranan MCSC telah terbukti dalam menjadi penaung dan suara kepada ratusan mission school tetapi sesuai dengan kapasiti perlembagaan maka suara MCSC banyak berkisar di semenanjung sahaja. Perkembangan menyaksikan keperluan untuk membentuk satu organisasi nasional yang menjadi suara kepada mission school seluruh Malaysia amat dirasakan. Oleh itu bermula pada Jun 2009 satu persefahaman telah dicapai untuk mewujudkan majlis tersebut dimana MCSC telah menjadi urusetia mengendali proses pewujudan. Puji Tuhan, selang beberapa bulan draf utama dapat disiapkan dan draf itulah yang diperhalusi dalam mesyuarat sehari suntuk itu.
Secara prinsipnya, tiga regions mission school iaitu MCSC (semenanjung), Sabah dan Sarawak akan bergabung dalam organisasi baru yang dikenali Federation of Councils of Christian Mission Schools Malaysia (FCCMSM) dengan jumlah anggota 15 orang (5 orang setiap regions). FCCMSM adalah suara kepada 464 sekolah mission di seluruh Malaysia.....to work together more closely as we share many common aspirations, challenges and problems. There is also the need to have a common voice to speak more effectively on behalf of our mission authorities and mission school. It would also facilitate more effective communication with Government authorities if there is such a collective body....
Tidak ramai yang sedar betapa sakit dan sengsaranya perjuangan Mission School sejak sekian lama, khususnya pada masa sekarang. Peranan mission school dalam pembinaan negara tidak dapat dinafikan lagi tetapi realitinya masa kini tekanan yang diterima amat perit. Semoga kewujudan majlis berskala nasional ini membawa satu harapan baru bukan sahaja kepada warga mission school malah kepada semua pihak yang turut meletakkan harapan kepada mission school. Semoga suara FCCMSM membawa cahaya di hujung sana.......

09 April 2010

SUARA ORANG KAMPUNG

8 April 2010, "suara orang kampung" berada di Sk.Tagaroh, Kota Marudu. Saya dijemput menyampaikan ceramah keibubapaan anjuran PIBG dan Yayasan Sabah Zon Utara. Kalau tak silap ni kali ke-4 saya diundang di Kota Marudu untuk program yang hampir sama. Kehadiran dan semangat ibu bapa berdasarkan pemerhatian saya agak membanggakan. Respon mereka sepanjang ceramah agak proaktif. Menyampaikan ceramah pada sebelah petang memang agak mencabar apatah lagi kalau menyentuh isu yang agak ilmiah. Sesi soal jawab juga menampakkan komitmen mereka terhadap pendidikan anak-anak mereka. Bersama saya dalam sesi soal jawab ialah Pegawai Yayasan Sabah, Zon Utara En.Sabrin Sindan. Beliau seorang yang sangat proaktif, kaya idea pengalaman dan menampakkan kecintaan yang tinggi terhadap masa depan pendidikan anak-anak Sabahan, Beliau juga menyatakan justifikasi Yayasan Sabah menjemput penceramah dari kalangan anak-anak tempatan dalam setiap program outreach Yayasan Sabah. Saya mulai susah hati apabila beliau berbisik meminta saya bersedia menjadi penceramah tetap program pendidikan Yayasan Sabah. Ini kerana saya sedar keberadaan saya dalam dunia ceramah yang masih terbatas.
Program ini dirasmikan oleh YB Sarapin Magana. Dalam ucapannya YB berkongsi kesusahan hidup keluarganya dulu khususnya dalam dunia pendidikannya di peringkat awal. Ternyata beliau memang genius dalam pembelajaran. Rupanya beliau juga pernah menjadi guru sandaran di Sikuati Kudat dan isterinya juga merupakan seorang guru.
Saya mengucapkan terima kasih kepada pihak sekolah kerana memberikan peluang kepada saya berkongsi cerita dan citra suara orang kampung. Salah satu yang saya kongsikan kepada mereka ialah kajian yang dijalankan oleh Goldenber (1992) tentang masalah pembelajaran anak-anak susah dari keluarga Mexico yang berhijrah ke Amerika. Kajian ini mendapati peningkatan prestasi anak-anak Mexico banyak dipengaruhi oleh educational partnership antara sekolah dengan ibu bapa melalui program pengadaptasian kaedah didaktik di rumah. Ibu bapa Mexico bertindak melaksanakan basic learning di rumah atas bimbingan guru dan ternyata membawa kesan positif terhadap anak-anak.

07 April 2010

DEMI KEPENTINGAN BERSAMA

Sejak akhir-akhir ini banyak vending machine yang menjual air diletakkan di merata tempat. Tidak terkecuali di kawasan pekan Pitas, bahkan di sebelah rumah saya juga ada diletakkan di tepi jalan. Bagus juga ni, kemudahan untuk semua. Namun saya suka berkongsi maklumat dari Khidmat Aduan Pengguna Nasional (NCCC) di Daily Express, 3 April mengenai penjualan air melalui mesin ini dari sudut perundangan.
Akta AIPA 2006 mewajibkan seseorang yang ingin menjalankan perniagaan ini perlu memiliki lesen. Perniagaan seperti ini melibatkan dua pihak iaitu pembekal mesin dan pemilik bekalan air (pemilik premis tempat dimana air diambil). Biasanya mesin air tersebut menggunakan sumber air daripada pemilik premis iaitu tempat mesin air itu terletak. Pemilik premis pula mendapatkan air daripada pembekal air yang sah, contoh SYABAS di Selangor atau Jabatan Air Sabah.
Sistem bekalan air yang kita terima dari jabatan hanya boleh digunakan untuk tujuan persendirian. Sekiranya pemilik premis menjual air kepada orang awam (dalam kes ini kepada pemilik mesin air), maka pemilik premis telah melakukan kesalahan dibawah AIPA kerana tidak memiliki lesen individu untuk pembekalan dan penjualan air kepada awam. Begitu di pihak pemilik mesin ,sekiranya tidak memiliki lesen kelas untuk pembekal dan pengagihan air kepada awam, maka turut melanggar Seksyen 4, AIPA.
Pihak NCCC dengan tegas mengesyorkan agar pihak berkuasa yang berkaitan memantau perkembangan perniagaan ini. Bagi yang benar-benar memiliki lesen hendaklah dipastikan untuk menyelenggara mesin ini mengikut piawaian jadual yang ditetapkan. Pada masa yang sama mengetatkan prosedur pengeluaran lesen ini. Seksyen 121 AIPA, rupanya mengenakan hukuman yang sangat berat sekiranya ada kematian akibat kesan secara langsung oleh sesuatu perkhidmatan air.
Paparan ini tidak sama sekali prejudis terhadap mana-mana perniagaan seumpama yang sedang wujud. Sekadar berkongsi maklumat demi kepentingan bersama. Lebih lanjut anda boleh merujuk ini dalam akhbar daily express, 3 April 2010 atau melayari NCCC dan AIPA

04 April 2010

KEPENTINGAN ORANG MELAYU HARUS DIUTAMAKAN

Saya melayari web yang baru saya pautkan dlm blog ini iaitu freemalaysiatoday. Web ni nampak neutral dan saya menemui paparan ucapan MP Dr.Jeyakumar di Dewan Rakyat. Ucapannya padat dengan fakta sejarah dan data yang sukar dipertikaikan. Saya suka dengan ucapan ahli politik seperti ini yang bukan sekadar "melalak" dan "bertempik" seperti tin kosong di Dewan Rakyat tapi benar-benar membuat kajian penyelidikan. Baca dan renungkan "mesej berlapis" yang beliau hujahkan.

Pada 16 Mac, YB Kuala Krau telah memohon pada kerajaan agar kepentingan orang-orang Melayu tidak diketepikan dalam perlaksanaan polisi liberalisasikan ekonomi.Saya ingin sokong permohonan YB Kuala Krau. Kepentingan Orang Melayu harus diberi keutamaan dalam mana-mana polisi kerajaan kerana 62% Melayu memperolehi pendapatan di bawah RM3,000 sebulan..Mana-mana polisi yang membawa kesan negatif kepada masyarakat Melayu yang berpendapatan rendah harus ditolak.

Apa gunanya pembangunaan ekonomi Negara jika ia membawa tekanan pada golongan majoriti dalam Negara itu. Lebih baik buang polisi macam itu terus ke tong sampah.

Tuan Yg Di Pertua, Isu Kepentingan Melayu telah mengambil Centre Stage (pentas utama) dalam politik Malaysia sejak sebelum Merdeka. Dalam Perlembagaan kita Perkara 153 telah menyatakan Adalah menjadi tanggungjawab Yg Di Pertuan Agung memelihara kedudukan istimewa Orang Melayu.

Pada saya, hasrat di belakang Perkara 153 - adalah munasabah, walaupun kita boleh berbeza pemikiran terhadap pembentukan polisi -polisi untuk membangunkan masyarakat Melayu.

Munasabah kerana apabila kita lihat Sejarah Moden Dunia, dalam 500 tahun yang lalu, suatu ekonomi baru telah muncul di benua Eropah dan merebak ke seluruh dunia dan menembusi semua benua, semua rantau. Perkembangan aktiviti ekonomi baru telah membawa penghijrahan berjuta-juta manusia daripada Negara-negara asal mereka ke Negara baru.

o Orang Putih telah pergi ke Amerika, Afrika, Asia dan Australia
o Orang Afrika dibawa sebagai hamba ke Amerika dan Eropah
o Orang India dan Cina datang ke Asia Tengara sebagai kuli

Kadang kala apabila penghijrahan berlaku penduduk asal dipinggirkan dan dijadikan rakyat kelas dua di Negara mereka sendiri.

Masyarakat Inca umpamanya. Apabila Cortez membawa pasukan militer ke Amerika Latin, masyarakat Inca merupakan satu empayar besar dengan sistem pertanian yang teratur dan masyarakat yang kaya.

Tetapi masyarakat Inca ditewas dan dijadikan hamba dan dibawa kerja dilombong-lombong perak. Beribu-ribu mati. Akhirnya apabila Latin Amerika dapat kemerdekaan bukan keturunan kaum Inca yang menguasai Negara-negara merdeka itu. Orang putih keturunan penjajah yang menjadi pemimpin Negara-negara ini, dan orang Inca masih rakyat kelas tiga di Negara mereka sampai hari ini.

Perkara yang hampir sama berlaku dengan Maori di New Zealand dan Kaum Aborigine di Australia. Dan di Afrika Selatan kaum Orang Putih telah dapat menguasai Negara itu untuk beberapa dekad dan menjadikan orang asal rakyat kelas kedua di bawah sistem Apartheid.

Oleh kerana semua ini, saya boleh memahami mengapa masyarakat Melayu telah mendesak supaya kepentingan Orang Melayu dimaktubkan dalam perlembagaan Negara ini sebagai Perkara 153.

Tuan Yg Di Pertua, saya juga setuju dengan point yang dibawa oleh YB Pasir Salak dalam pencelahan beliau semasa Ucapan Ketua Pembangkang. Pasir Salak berhujah bahawa kerajaan Barisan Nasional (BN) telah mencapai banyak dan bahawa kita tidak harus pandang rendah terhadap pencapaian Umno–BN.

Saya setuju kerana pada 1957 Kerajaan Malaya dikuasai Orang Putih. Tetapi dalam 52 tahun yang lalu, hampir semua jabatan dalam jentera Kerajaan diketuai oleh orang Melayu. Ketua pengarah, ketua setiausaha, pengarah-pengarah kanan – hampir semua Melayu.

Dari segi agenda Melayu ini satu pencapaian yang besar. Jentera kerajaan di tangan Melayu.

Dan ini bukan suatu kerajaan yang kecil atau lemah. Baget Kerajaan Persekutuan untuk tahun 2010 – RM196 bilion. Ini merupakan 1/3 Keluaran Dalam Negara Kasar. Kerajaan kita yang ada pengaruh besar dalam ekonomi Negara. Dan kerajaan ini kukuh di tangan
Melayu.

Pada 1957, adalah analisa bahawa Melayu miskin kerana Syarikat-syarikat besar Orang Putih yang menguasai sektor moden di Malaya perladangan, pembankan, perlombongan, pembinaan. Dalam 50 tahun yang lalu, sebahagian besar daripada sektor korporat telah pindah ke tangan kaum Melayu. Pemilikan ekuiti di sektor korporat oleh individu Melayu dilapor sebagai 18% pada masa ini.

Tetapi dalam sektor korporat penguasaan/control adalah juga penting. Isu pengambilan pekerja, kenaikan pangkat untuk kakitangan, pemberian kontrak dan keputusan pelaburan. Ke semua ini ditangan eksekutif kanan.

Dulu syarikat-syarikat saperti Guthrie, Highland and Lowland, dan Golden Hope yang dimiliki Orang Putih menguasai sektor perladangan di Malaysia. Sekarang Sime Darby sedang memegang tanah perladangan seluas 600,000 ekar di Malaysia.

Siapakah Pengerusi Besar Lembaga Sime Darby, Siapakah CEO Sime Darby, siapakah pengarah-pengarah kanan di Sime Darby? Bukan orang Putih, bukan Cina, bukan orang India. Hampir semuanya orang Melayu.

Dan sama juga untuk syarikat-syarikat GLC yang lain - KPJ, Pantai, Gamuda, PLUS, MAS, CIMB, KTMB, Petronas. Walaupun pemilikan bukan di tangan individu Melayu, tetapi lembaganya dan posisi utama seperti CEO, Pengerusi Lembaga semua di tangan Melayu.

Kita harus ucap syabas pada Umno. Ini adalah kejayaan polisi Umno telah mencapai sebahagian besar daripada agenda Melayu.

- Jentera kerajaan dalam tangan Melayu
- GLC – yang kuasai beberapa sektor juga ditangan Melayu
- Hampir 60% daripada KNK di kuasai oleh pihak Melayu

Permasalahannya adalah - masih ada kemiskinan di Masyarakat Melayu. Walaupun agenda Melayu sedang dicapai, masih Melayu biasa menghadapi banyak masalah.

Di Sg Siput ada pelajar Melayu yang cicir kerana tidak dapat bayar tambang bas sekolah. Di PPMS, suatu kampung dengan 85 keluarga, 14 murid sekolah menengah telah cicir kerana tidak dapat bayar tambang bas sebanyak RM50 se bulan.

Di kawasan perkampungan Sg Siput berpuluh-puluh keluarga Melayu desa yang tidak dapat bayar bil air sebanyak RM20 sebulan sehingga bekalan air ke rumah dipotong. Bil lektrik keluar atas kertas merah untuk berpuluh-puluh keluarga Melayu.

Mengapa wujudnya kemiskinan bagini banyak di kalangan masyarakat Melayu 52 tahun selepas Merdeka?? Tidak boleh menyalahkan orang putih lagi. Tidak boleh menyalahkan pihak orang tengah Cina juga. Itu cerita lama.

Daripada statistik kerajaan sendiri kita ketahui bahawa 62% daripada keluarga Melayu mendapat pendapatan bulanan di bawah RM3,000. Mereka adalah petani, penoreh getah, nelayan, pekerja kilang, peniaga kecil, dan juga pekerja biasa di kerajaan. Mereka boleh dipanggil Melayu Marhein – satu istilah yang dicipta oleh Allayarham Soekarno.

Tiga puluh empat peratus daripada keluarga Melayu perolehi pendapatan antara RM3,000 hingga RM10,000. Mereka merupakan pegawai kerajaan dan di GLC, dan juga Kontraktor dan peniaga kecil.

Hanya 2.8% daripada keluarga Melayu berpendapatan antara RM10,000 dan RM20,000 dan mereka adalah pegawai-pegawai tinggi di GLC, peniaga dan kontraktor besar dan juga para profesional di sektor swasta.

Hanya segelintir keluarga Melayu, 0.5% sahaja yang menerima pendapatan yang lebih dari RM20,000, dan kebanyakan mereka merupakan kaum korporat dan Pegawai tertinggi dalam GLC dan kerajaan.

Jadi ada 4 golongan dalam masyarakat Melayu – Melayu Marhein, Kakitangan kerajaan dan GLC, Kontrakor dan businessmen, dan Melayu korporat.

Dalam Konteks ini – apabila Ahli Parlimen sebut kepentingan Melayu apakah maknanya?Apakah dia kepentingan Orang Melayu? Adakah kepentingan semua lapisan Masyarakat Melayu sama? Adakah situasi di mana kepentingan lapisan bertentangan?

Di kawasan saya, Sungai Siput ada sebuah kampong bernama Kg Temin. Suatu skim TSK (Tanaman Semula Kelompok) telah berlangsung di kampong ini. RISDA telah beri pada seorang kontraktor Melayu.Sebahagian telah dilakukan. Pokok lama telah ditebang tetapi pokok baru belum ditanam.Dan sudah beberapa bulan sekarang. Apabila pekebun adu pada RISDA, RISDA cakap peruntukan telah dikeluarkan.

Suatu lagi kes adalah Perlop I di mana 43 peserta telah buat perjanjian dengan koperasi RISDA untuk tanaman semula dengan kelapa sawit. Koperasi telah mencagar tanah untuk buat pinjaman. Sekarang sudah 10 tahun. Langsung tiada kerja tanaman semula. Cukai
tanah juga tidak dibayar. Duit pinjaman ke mana – berapakah jumlahnya?

Dalam kes-kes ini jelas bahawa kepentingan Melayu Marhein dijejas oleh aktiviti kontraktor Melayu yang cari untung besar tanpa melakukan kerja yang diwajib. Bila berlakunya percanggahan antara dua golongan Melayu apakah pendirian Ahli Parlimen Umno? YB menyokong pihak mana – Melayu Marhein ataupun Kontraktor Melayu?

Marilah kita meninjau perhubungan antara kepentingan Melayu korporat dan kepentingan Melayu Marhein. Kerajaan kita sedang menggalakkan Pelancongan Kesihatan. Ini akan membawa untung besar pada GLC-GLC yang menguasai hospital swasta – Pantai, Sime Darby, KPJ, Petronas dan lain-lain akan mengaut untung besar.

Melayu korporat tentu rasa seronok apabila untung korporat mereka meningkat. Tetapi perkembangan perniagaan di hospital-hospital swasta ekoran Health Tourism akan menggalakkan penghijrahan keluar doktor-doktor pakar daripada hospital-hospital kerajaan.

Kesihatan dan kebajikan Melayu Marhein yang bergantung pada hospital kerajaan untuk rawatan terjejas.Jadi, dalam hal ini – pelancongan Kesihatan – kepentingan siapa dimajukan dan kepentingan siapa dipinggirkan?

Cukai GST adalah satu contoh lagi. Adalah hasrat kerajaan untuk mengurangkan cukai terhadap korporat. Dulu, dalam tahun 1988 cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) korporat adalah 40% daripada untung syarikat. Sekarang telah turun ke 26%. Tetapi kerajaan mahu turunkannya lagi. Singapura hanya ada cukai korporat sebanyak 19%. Tetapi cukai korporat akan membebankan Melayu Marhein. Kos hidup akan meningkat.

Justeru, Apabila ada percanggahan antara kepenting Melayu Marhein dan kepentingan Melayu korporat, apakah pendirian Ahli Parliament Umno?

Isu-isu pokok untuk Melayu Marhein adalah:
- ketiadaan tanah dan pengangguran di peringkat kampong,
- gaji rendah di kilang
- Peruntukan bantuan seperti untuk tanaman semula yang di “hijack” oleh kontraktor
- Penswastaan kemudahaan asas yang meningkatkan kos
- Pendidikan tinggi yamg mahal tetapi tidak berkualiti
- Kualiti rawatan yang semakin merosot di hospital kerajaan.

Tetapi selepas YB Kuala Krau memohon pada kerajaan untuk jangan mengenepikan kepentingan orang Melayu, beliau terus pohon agar sasaran ekuiti Melayu harus ditingkatkan kepada 60% dan bukan 30%.Saya keliru. Bagaimanakah peningkatan ekuiti Melayu korporat akan membantu kawan-kawan saya di Kg Termin? Bagaimanakah Melayu Marhein akan dapat faedah daripada polisi seperti ini?

Saya rasa kita semua mesti lebih jelas dalam pemikiran dan analisa kita. Adakah situasi di mana kepentingan Melayu Marhein berbeza ataupun bercanggah dengan kepentingan kategori lain di masyarakat Melayu? Ini suatu persoalan pokok.

Jika ya, kategori mana yang harus disokong oleh Ahli-ahli Parlimen. Melayu Marhein ataupun Melayu korporat? Inilah persoalannya.Dengan ini, saya pohon menyokong Usul yang dibawa oleh YB Kuala Krau.Terima kasih Yg Di Pertua.

(*Teks ucapan Dr Jeyakumar, ahli parlimen Sungai Siput dari Parti Sosialis Malaysia di Parlimen ketika membahas titah Yang Dipertuan Agong pada 29 Mac lalu)

02 April 2010

SEMUDAH ITU ?????


Saya membaca headline webportal No.1 di Malaysia iaitu Malaysiakini hari ini dan agak teruja dengan berita TPM yg juga Menteri Pelajaran mengumumkan pembinaan 4 buah sekolah baru di kawasan parlimen Hulu Selangor, iaitu 3 buah sekolah rendah dan 1 sekolah menengah. Beliau menafikan bahawa pengumuman itu ada kaitan dengan pilihanraya kecil di kawasan itu pada 25 April. Lebih lanjut boleh melayari http://www.malaysiakini.com/news/128198.
Saya tidak menafikan hak rakyat di sana untuk memperoleh pembangunan seumpama itu. Bahkan pengumuman itu membuktikan bahawa kerajaan TIDAKLAH SUKAR untuk melakukan sesuatu untuk rakyat. Keputusan dan tindakan hanya di hujung jari. Rakyat tak perlu menunggu puluhan tahun atau terpaksa menghantar memorandum atau menghantar pelobi untuk mempastikan menteri melawat dan mengumumkan peruntukan. Tindakan membantu rakyat sangat mudah, SEMUDAH yang dilakukan di Hulu Selangor.
Namun ironinya...sejauhmana mendesaknya 4 sekolah baru didirikan di sana BERBANDING situasi di Sabah, bahkan di Pitas. Status sekolah menumpang masih banyak bahkan keperluan pembinaan sekolah baru lebih mendesak berbanding di sana. Pasti ramai di kalangan kita yang pernah ke kawasan Hulu Selangor. Nama saja HULU tapi bukannya di pedalaman seperti di Sabah. Kalau dibandingkan dengan Ulu Nibang, Ulu Sugut, Ulu Marak Parak, Ulu Paitan, Ulu Kinabatangan, Ulu Penangah dan banyak HULU lagi. Semua ini jauh lebih teruk dan kritikal dlm memerlukan bangunan sekolah baru.
Perhatikan gambar yg saya paparkan. Tanda bulatan merah itu adalah SK Nibang yang terletak di kawasan HULU Pitas. Sekolah itu terletak di "seberang" dan warga sekolah harus menyeberangi sungai atau menggunakan jambatan gantung. Laluan utama ke sekolah itu adalah Jalan Hap Seng dan sebaiknya sekolah itu dipindahkan ke sebelah jalan utama di kawasan Kg.Soniton Laut. Apatah lagi saya perhatikan kesotan dan runtuhan tanah sudah menghampiri kawasan sekolah. Kalau usaha memindahkan sekolah itu sudah lama dirancang dan "direkod" harap kerajaan memberikan perhatian. Begitu juga dengan kes SMK Kanibongan dan SMK Bongkol yang sudah puluhan tahun hidup menumpang. Masih menjadi persoalan kenapa tindakan untuk mengatasi masalah itu masih tidak menampakkan hasil. Rasanya kalau di Hulu Selangor dapat 4 sekolah baru dengan BEGITU MUDAH...tidak ada sebab masalah seperti di SK Nibang, SMK Kanibongan dan SMK Bongkol tidak dapat diatasi.
Sudah terang lagi bersuluh..dimana ada kemahuan di situ ada jalan. Kalau hendak seribu daya, kalau tak hendak seribu dalih...Fikir dan renung-renungkan...