Pengikut

04 April 2010

KEPENTINGAN ORANG MELAYU HARUS DIUTAMAKAN

Saya melayari web yang baru saya pautkan dlm blog ini iaitu freemalaysiatoday. Web ni nampak neutral dan saya menemui paparan ucapan MP Dr.Jeyakumar di Dewan Rakyat. Ucapannya padat dengan fakta sejarah dan data yang sukar dipertikaikan. Saya suka dengan ucapan ahli politik seperti ini yang bukan sekadar "melalak" dan "bertempik" seperti tin kosong di Dewan Rakyat tapi benar-benar membuat kajian penyelidikan. Baca dan renungkan "mesej berlapis" yang beliau hujahkan.

Pada 16 Mac, YB Kuala Krau telah memohon pada kerajaan agar kepentingan orang-orang Melayu tidak diketepikan dalam perlaksanaan polisi liberalisasikan ekonomi.Saya ingin sokong permohonan YB Kuala Krau. Kepentingan Orang Melayu harus diberi keutamaan dalam mana-mana polisi kerajaan kerana 62% Melayu memperolehi pendapatan di bawah RM3,000 sebulan..Mana-mana polisi yang membawa kesan negatif kepada masyarakat Melayu yang berpendapatan rendah harus ditolak.

Apa gunanya pembangunaan ekonomi Negara jika ia membawa tekanan pada golongan majoriti dalam Negara itu. Lebih baik buang polisi macam itu terus ke tong sampah.

Tuan Yg Di Pertua, Isu Kepentingan Melayu telah mengambil Centre Stage (pentas utama) dalam politik Malaysia sejak sebelum Merdeka. Dalam Perlembagaan kita Perkara 153 telah menyatakan Adalah menjadi tanggungjawab Yg Di Pertuan Agung memelihara kedudukan istimewa Orang Melayu.

Pada saya, hasrat di belakang Perkara 153 - adalah munasabah, walaupun kita boleh berbeza pemikiran terhadap pembentukan polisi -polisi untuk membangunkan masyarakat Melayu.

Munasabah kerana apabila kita lihat Sejarah Moden Dunia, dalam 500 tahun yang lalu, suatu ekonomi baru telah muncul di benua Eropah dan merebak ke seluruh dunia dan menembusi semua benua, semua rantau. Perkembangan aktiviti ekonomi baru telah membawa penghijrahan berjuta-juta manusia daripada Negara-negara asal mereka ke Negara baru.

o Orang Putih telah pergi ke Amerika, Afrika, Asia dan Australia
o Orang Afrika dibawa sebagai hamba ke Amerika dan Eropah
o Orang India dan Cina datang ke Asia Tengara sebagai kuli

Kadang kala apabila penghijrahan berlaku penduduk asal dipinggirkan dan dijadikan rakyat kelas dua di Negara mereka sendiri.

Masyarakat Inca umpamanya. Apabila Cortez membawa pasukan militer ke Amerika Latin, masyarakat Inca merupakan satu empayar besar dengan sistem pertanian yang teratur dan masyarakat yang kaya.

Tetapi masyarakat Inca ditewas dan dijadikan hamba dan dibawa kerja dilombong-lombong perak. Beribu-ribu mati. Akhirnya apabila Latin Amerika dapat kemerdekaan bukan keturunan kaum Inca yang menguasai Negara-negara merdeka itu. Orang putih keturunan penjajah yang menjadi pemimpin Negara-negara ini, dan orang Inca masih rakyat kelas tiga di Negara mereka sampai hari ini.

Perkara yang hampir sama berlaku dengan Maori di New Zealand dan Kaum Aborigine di Australia. Dan di Afrika Selatan kaum Orang Putih telah dapat menguasai Negara itu untuk beberapa dekad dan menjadikan orang asal rakyat kelas kedua di bawah sistem Apartheid.

Oleh kerana semua ini, saya boleh memahami mengapa masyarakat Melayu telah mendesak supaya kepentingan Orang Melayu dimaktubkan dalam perlembagaan Negara ini sebagai Perkara 153.

Tuan Yg Di Pertua, saya juga setuju dengan point yang dibawa oleh YB Pasir Salak dalam pencelahan beliau semasa Ucapan Ketua Pembangkang. Pasir Salak berhujah bahawa kerajaan Barisan Nasional (BN) telah mencapai banyak dan bahawa kita tidak harus pandang rendah terhadap pencapaian Umno–BN.

Saya setuju kerana pada 1957 Kerajaan Malaya dikuasai Orang Putih. Tetapi dalam 52 tahun yang lalu, hampir semua jabatan dalam jentera Kerajaan diketuai oleh orang Melayu. Ketua pengarah, ketua setiausaha, pengarah-pengarah kanan – hampir semua Melayu.

Dari segi agenda Melayu ini satu pencapaian yang besar. Jentera kerajaan di tangan Melayu.

Dan ini bukan suatu kerajaan yang kecil atau lemah. Baget Kerajaan Persekutuan untuk tahun 2010 – RM196 bilion. Ini merupakan 1/3 Keluaran Dalam Negara Kasar. Kerajaan kita yang ada pengaruh besar dalam ekonomi Negara. Dan kerajaan ini kukuh di tangan
Melayu.

Pada 1957, adalah analisa bahawa Melayu miskin kerana Syarikat-syarikat besar Orang Putih yang menguasai sektor moden di Malaya perladangan, pembankan, perlombongan, pembinaan. Dalam 50 tahun yang lalu, sebahagian besar daripada sektor korporat telah pindah ke tangan kaum Melayu. Pemilikan ekuiti di sektor korporat oleh individu Melayu dilapor sebagai 18% pada masa ini.

Tetapi dalam sektor korporat penguasaan/control adalah juga penting. Isu pengambilan pekerja, kenaikan pangkat untuk kakitangan, pemberian kontrak dan keputusan pelaburan. Ke semua ini ditangan eksekutif kanan.

Dulu syarikat-syarikat saperti Guthrie, Highland and Lowland, dan Golden Hope yang dimiliki Orang Putih menguasai sektor perladangan di Malaysia. Sekarang Sime Darby sedang memegang tanah perladangan seluas 600,000 ekar di Malaysia.

Siapakah Pengerusi Besar Lembaga Sime Darby, Siapakah CEO Sime Darby, siapakah pengarah-pengarah kanan di Sime Darby? Bukan orang Putih, bukan Cina, bukan orang India. Hampir semuanya orang Melayu.

Dan sama juga untuk syarikat-syarikat GLC yang lain - KPJ, Pantai, Gamuda, PLUS, MAS, CIMB, KTMB, Petronas. Walaupun pemilikan bukan di tangan individu Melayu, tetapi lembaganya dan posisi utama seperti CEO, Pengerusi Lembaga semua di tangan Melayu.

Kita harus ucap syabas pada Umno. Ini adalah kejayaan polisi Umno telah mencapai sebahagian besar daripada agenda Melayu.

- Jentera kerajaan dalam tangan Melayu
- GLC – yang kuasai beberapa sektor juga ditangan Melayu
- Hampir 60% daripada KNK di kuasai oleh pihak Melayu

Permasalahannya adalah - masih ada kemiskinan di Masyarakat Melayu. Walaupun agenda Melayu sedang dicapai, masih Melayu biasa menghadapi banyak masalah.

Di Sg Siput ada pelajar Melayu yang cicir kerana tidak dapat bayar tambang bas sekolah. Di PPMS, suatu kampung dengan 85 keluarga, 14 murid sekolah menengah telah cicir kerana tidak dapat bayar tambang bas sebanyak RM50 se bulan.

Di kawasan perkampungan Sg Siput berpuluh-puluh keluarga Melayu desa yang tidak dapat bayar bil air sebanyak RM20 sebulan sehingga bekalan air ke rumah dipotong. Bil lektrik keluar atas kertas merah untuk berpuluh-puluh keluarga Melayu.

Mengapa wujudnya kemiskinan bagini banyak di kalangan masyarakat Melayu 52 tahun selepas Merdeka?? Tidak boleh menyalahkan orang putih lagi. Tidak boleh menyalahkan pihak orang tengah Cina juga. Itu cerita lama.

Daripada statistik kerajaan sendiri kita ketahui bahawa 62% daripada keluarga Melayu mendapat pendapatan bulanan di bawah RM3,000. Mereka adalah petani, penoreh getah, nelayan, pekerja kilang, peniaga kecil, dan juga pekerja biasa di kerajaan. Mereka boleh dipanggil Melayu Marhein – satu istilah yang dicipta oleh Allayarham Soekarno.

Tiga puluh empat peratus daripada keluarga Melayu perolehi pendapatan antara RM3,000 hingga RM10,000. Mereka merupakan pegawai kerajaan dan di GLC, dan juga Kontraktor dan peniaga kecil.

Hanya 2.8% daripada keluarga Melayu berpendapatan antara RM10,000 dan RM20,000 dan mereka adalah pegawai-pegawai tinggi di GLC, peniaga dan kontraktor besar dan juga para profesional di sektor swasta.

Hanya segelintir keluarga Melayu, 0.5% sahaja yang menerima pendapatan yang lebih dari RM20,000, dan kebanyakan mereka merupakan kaum korporat dan Pegawai tertinggi dalam GLC dan kerajaan.

Jadi ada 4 golongan dalam masyarakat Melayu – Melayu Marhein, Kakitangan kerajaan dan GLC, Kontrakor dan businessmen, dan Melayu korporat.

Dalam Konteks ini – apabila Ahli Parlimen sebut kepentingan Melayu apakah maknanya?Apakah dia kepentingan Orang Melayu? Adakah kepentingan semua lapisan Masyarakat Melayu sama? Adakah situasi di mana kepentingan lapisan bertentangan?

Di kawasan saya, Sungai Siput ada sebuah kampong bernama Kg Temin. Suatu skim TSK (Tanaman Semula Kelompok) telah berlangsung di kampong ini. RISDA telah beri pada seorang kontraktor Melayu.Sebahagian telah dilakukan. Pokok lama telah ditebang tetapi pokok baru belum ditanam.Dan sudah beberapa bulan sekarang. Apabila pekebun adu pada RISDA, RISDA cakap peruntukan telah dikeluarkan.

Suatu lagi kes adalah Perlop I di mana 43 peserta telah buat perjanjian dengan koperasi RISDA untuk tanaman semula dengan kelapa sawit. Koperasi telah mencagar tanah untuk buat pinjaman. Sekarang sudah 10 tahun. Langsung tiada kerja tanaman semula. Cukai
tanah juga tidak dibayar. Duit pinjaman ke mana – berapakah jumlahnya?

Dalam kes-kes ini jelas bahawa kepentingan Melayu Marhein dijejas oleh aktiviti kontraktor Melayu yang cari untung besar tanpa melakukan kerja yang diwajib. Bila berlakunya percanggahan antara dua golongan Melayu apakah pendirian Ahli Parlimen Umno? YB menyokong pihak mana – Melayu Marhein ataupun Kontraktor Melayu?

Marilah kita meninjau perhubungan antara kepentingan Melayu korporat dan kepentingan Melayu Marhein. Kerajaan kita sedang menggalakkan Pelancongan Kesihatan. Ini akan membawa untung besar pada GLC-GLC yang menguasai hospital swasta – Pantai, Sime Darby, KPJ, Petronas dan lain-lain akan mengaut untung besar.

Melayu korporat tentu rasa seronok apabila untung korporat mereka meningkat. Tetapi perkembangan perniagaan di hospital-hospital swasta ekoran Health Tourism akan menggalakkan penghijrahan keluar doktor-doktor pakar daripada hospital-hospital kerajaan.

Kesihatan dan kebajikan Melayu Marhein yang bergantung pada hospital kerajaan untuk rawatan terjejas.Jadi, dalam hal ini – pelancongan Kesihatan – kepentingan siapa dimajukan dan kepentingan siapa dipinggirkan?

Cukai GST adalah satu contoh lagi. Adalah hasrat kerajaan untuk mengurangkan cukai terhadap korporat. Dulu, dalam tahun 1988 cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) korporat adalah 40% daripada untung syarikat. Sekarang telah turun ke 26%. Tetapi kerajaan mahu turunkannya lagi. Singapura hanya ada cukai korporat sebanyak 19%. Tetapi cukai korporat akan membebankan Melayu Marhein. Kos hidup akan meningkat.

Justeru, Apabila ada percanggahan antara kepenting Melayu Marhein dan kepentingan Melayu korporat, apakah pendirian Ahli Parliament Umno?

Isu-isu pokok untuk Melayu Marhein adalah:
- ketiadaan tanah dan pengangguran di peringkat kampong,
- gaji rendah di kilang
- Peruntukan bantuan seperti untuk tanaman semula yang di “hijack” oleh kontraktor
- Penswastaan kemudahaan asas yang meningkatkan kos
- Pendidikan tinggi yamg mahal tetapi tidak berkualiti
- Kualiti rawatan yang semakin merosot di hospital kerajaan.

Tetapi selepas YB Kuala Krau memohon pada kerajaan untuk jangan mengenepikan kepentingan orang Melayu, beliau terus pohon agar sasaran ekuiti Melayu harus ditingkatkan kepada 60% dan bukan 30%.Saya keliru. Bagaimanakah peningkatan ekuiti Melayu korporat akan membantu kawan-kawan saya di Kg Termin? Bagaimanakah Melayu Marhein akan dapat faedah daripada polisi seperti ini?

Saya rasa kita semua mesti lebih jelas dalam pemikiran dan analisa kita. Adakah situasi di mana kepentingan Melayu Marhein berbeza ataupun bercanggah dengan kepentingan kategori lain di masyarakat Melayu? Ini suatu persoalan pokok.

Jika ya, kategori mana yang harus disokong oleh Ahli-ahli Parlimen. Melayu Marhein ataupun Melayu korporat? Inilah persoalannya.Dengan ini, saya pohon menyokong Usul yang dibawa oleh YB Kuala Krau.Terima kasih Yg Di Pertua.

(*Teks ucapan Dr Jeyakumar, ahli parlimen Sungai Siput dari Parti Sosialis Malaysia di Parlimen ketika membahas titah Yang Dipertuan Agong pada 29 Mac lalu)

Tiada ulasan: