Pengikut

28 Januari 2011

SAYA MINTA DENGAN HORMAT !!!!

Sejak tahun lalu, kerajaan negeri begitu ghairah mewarwarkan pelaksanaan geran komunal. Dimulakan di Nabawan dan Tongod, akhbar-akhbar meletakkan di muka depan pada 30 Disember 2010 bahawa kerajaan negeri akan mengeluarkan geran komunal melibatkan kawasan seluas 36,000 hektar di sembilan daerah yang mempunyai peratusan tertinggi rakyat termiskin di Sabah pada tahun 2011. Pitas antara daerah yang bakal "beruntung" kerana turut terlibat dengan pengeluaran geran komunal ini. Sejak itu, orang ramai mulai memberikan respon. Saya turut ditanya tapi saya lagi blurrr dan turut memerlukan maklumat berupa kenyataan rasmi daripada kerajaan. Justeru sebagai rakyat tempatan Pitas, saya memohon dengan hormat agar pejabat PPHT Pitas agar mengadakan satu taklimat atau forum khas tentang geran ini bagi menghapuskan kekeliruan dan andaian masyarakat.
Saya difahamkan tahun lalu, pihak SUHAKAM dan PACOS telah mengadakan seminar khas mengenai geran ini dan menjemput Pengarah JTU utk memberikan taklimat tetapi untuk dua kali jemputan beliau tidak hadir. Apa sebab? tak pasti.
Kita di Pitas memohon dengan hormat dan merayu agar satu dokumen rasmi yang menggariskan kandungan geran ini dipaparkan untuk pengetahuan awal penduduk. Mana kampung yang terlibat? Apa peranan pemegang amanah? status geran sedia dalam geran komuniti? status tanah di luar geran tersebut? sekiranya komposisi penduduk berubah bagaimana? Apakah penggazetan tidak memerlukan persetujuan penduduk? Dan banyak lagi yang menjadi persoalan.
Kalau belum ada sekular rasmi, memadai dengan anjurkan forum terbuka. Selagi belum ada pernyataan rasmi maka segala persoalan tidak terjawab dan kesannya andaian akan sentiasa betul. Ingat, ini bukan kritikan tetapi permintaan dari saya sebagai orang asal Pitas. Selang beberapa bulan, saya akan susuli permintaan ini dengan surat rasmi. Kita tunggu dan lihat maklumbalas, sementara kita semua melayan persoalan kita. Kita ada HAK untuk meminta. Pitas ini milik orang asal Pitas.........

23 Januari 2011

INI BUKAN "KUMPILIN"

Tulisan ini bukan mengkiritik, jauh sekali "mengumpilin". Ini sekadar pertanyaan-pertanyaan yang timbul secara monolog dalam jiwa berkenaan prestasi dan masa depan daerah Pitas ini. Bercakap soal daerah, tidak lari menjurus kepada beberapa bos besar yang berperanan membawa daerah ini ke depan khususnya YB Adun dan beberapa yang berautoriti. Mungkin saja persoalan-persoalan yang ligat dalam kepala ini hanya menyegarkan dan bukannya perkara baru. Antaranya:
1. Apakah ada blueprint khusus untuk Pitas? Blueprint yang lahir dari hati dan jiwa ikhlas kemudian di"brainstorming"kan dengan golongan yang "berjiwa glokal" untuk Pitas?
2.Sekiranya ada, apakah nama master plan untuk Pitas ini?
3. Menjelang 5, 10, 15 tahun dari sekarang, apakah wajah Pitas yang kita mahukan?
4. Apakah ada 'think thank" yang profesional dan ikhlas membantu memikirkan nasib dan masa depan Pitas ini?

Banyak persoalan timbul di minda ini. Mohon maaf, saya hanyalah penyibuk yang tidak ada sumbangan kepada daerah ini selain kecintaan dan simpati dgn peredaran masa.

19 Januari 2011

LANGKAH KANAN

Sejak menawarkan tingkatan 6 pada tahun 1998, takwim peperiksaan MUET untuk SMK Pitas tidak pernah berubah iaitu pada bulan Mei. Apabila saya diberi mandat mengurus pentadbiran pra-u ini mulai pada tahun 2009, saya mulai memikirkan beberapa pendekatan baru. Bertitik tolak melalui pengamatan terhadap prestasi sejak 1999 dan nampaknya MUET sentiasa di paras yang mendukacitakan. Majoriti mendapat Band 1. Kalau dahulu MUET dianggap sekadar pelengkap dalam STPM tetapi sejak 2-3 tahun lalu apabila persaingan ke IPTA semakin sengit, prestasi MUET mulai diambilkira. Bahkan ucapan Ketua Sektor SPA semasa seminar stpm SMK Pitas tahun lalu membuktikan bahawa MUET berperanan memastikan IPTA dan jenis kursus yang boleh diikuti. Adalah menyedihkan kalau prestasi yang baik dalam STPM tidak disusuli dengan baik dalam MUET.
Memerah minda dan akhirnya dua resolusi utama diambil. Pertama, ubah takwim daripada Mei kepada Oktober/November. Kedua, 2 orang guru ditempatkan melalui agihan kemahiran, disamping beberapa program dan bahan sokongan. Pembaharuan biasanya kurang digemari apatah lagi kalau membabitkan pertambahan beban tugas. Bahkan ramai yang menanti-nantikan hasilnya dan bersedia "menyerang" sekiranya menuai kegagalan. Justeru saya bersedia dengan situasi ini. Rakan-rakan juga sefikir untuk melaksanakan pembaharuan. Hasilnya keputusan MUET yang diumumkan minggu lalu amat memberangsangkan. Kami dapat menikmati Band 4, 3 dan 2. Bilangan Band 1 agak sedikit berbanding Band 2. Keputusan ini pastinya masih rendah berbanding dengan sekolah lain tetapi cukup berharga bagi kami. Pembaharuan dan kegigihan membuahkan hasil walaupun masih sederhana namun kami telah bermula dengan langkah kanan.
Tahniah kepada dua orang guru MUET, Pn Audrey dan Cik Christie serta sokongan pengetua dan rakan-rakan guru yang lain. Khususnya kepada generasi pelajar yang menjadi peneraju kepada pembaharuan ini, andalah kebanggaan kami.

14 Januari 2011

YANG TERPINGGIR

Apabila Adun Sukau, Datuk Saddi membangkitkan isu dimana penduduk kawasan Dun Sukau yang meliputi sebahagian pesisiran sungai Kinabatangan terpaksa berbelanja hampir RM1000 untuk keluar mendapatkan rawatan di hospital, saya teringat di Pitas masalah yang sama turut dialami oleh ribuan penduduk. Sedarkah kita ribuan penduduk bermula dari Kg Nibang harus mengeluarkan kos hampir RM200 untuk mendapatkan rawatan di Hospital Pitas. Kos ini dikira berdasarkan tambang seorang melalui perahu dan kereta. Tetapi kalau kos berdasarkan sewaan perahu dan kereta, boleh mencecah RM500.00.
Terdapat juga klinik di Kg Dandun yang beroperasi sejak pertengahan 1970-an tetapi hanya untuk rawatan bagi penyakit yang ringan dan klinik ibu mengandung. Bahkan untuk sampai di Dandun pun kos masih mencecah ratusan ringgit. Sudahlah terpaksa menanggung kesakitan yang perit berjam-jam di perahu, menanggung kos yang tinggi lagi. Tidak hairanlah kalau kes kematian semasa perjalanan dalam perahu sentiasa berlaku.
Dalam era menuju negara maju 10 tahun dari sekarang, agak melucukan isu-isu seperti ini masih gagal ditangani oleh kerajaan. Sepatutnya kemudahan jalan raya yang baik sudah lama disediakan bagi memudahkan penduduk mendapatkan rawatan. Inilah nasib masyarakat yang terpinggir!!!
Oh ya saya terlupa paparkan, kalau dulu bahkan sekarang masih ada yang berdayung untuk pergi ke klinik Dandun. Kalau dari Pinapak berdayung mengikut arus boleh mencecah 5 jam. Tapi kalau melawan arus sampai 10 jam. Bayangkan..Oh tak dapat bayangkan ! Nasib kami yang terpinggir !!!

P/S : ARTIKEL INI TURUT TERSIAR DI SABAHKINI.

11 Januari 2011

MAGAHAU

Pesta Magahau peringkat negeri 2010 bagi kali ke-2 telah berlangsung pada 30-31 Disember 2010 di perkarangan tapak tamu Kanibongan dan Kg Kutoyon. Pesta tradisi suku kaum Rungus ini dianjurkan oleh SAMORA dengan kerjasama pejabat daerah Pitas dan Banggi. Saya tidak sempat menghadiri acara ini kerana jadual bersama keluarga mentua di Penampang disamping nasihat pihak gereja untuk tidak hadir khususnya dalam acara yang dipanggil mamapak kerana bertentangan dengan ajaran Firman Tuhan, Alkitab umat Kristian. Saya menjelajah FB untuk mencari kalau-kalau ada yang upload gambar-gambar magahau dan saya menemui FB milik ADO Pitas, Tuan James. Saya paparkan salah satu gambar yang rasanya paling unik dan jarang-jarang kita temui.Apapun saya hanya memaparkan dan tidak bermaksud saya bersetuju kerana saya sependapat dengan pendirian gereja PCS bahawa acara memapak, yang dikendalikan oleh para bobohizan tulen dengan ritual sepenuhnya adalah bertentangan dengan ajaran Kristian. Namun bagi pengisian lain seperti gimpuhut, tarian kebudayaan, nyanyian,dll yang berkaitan budaya semata-mata memang patut diketengahkan. Tahniah kepada SAMORA dan semua yang terlibat dengan penganjuran ini.

05 Januari 2011

TIDAK SALAH UNTUK MENGHARAP

Apabila saya membaca muka depan Daily Express, Isnin, 3 Januari 2011 saya tidak terkejut malah berbangga kerana saya terlibat secara langsung dalam perjuangan itu dan Daily Express melihat itu sebagai salah harapan pada tahun 2011.
Isu yang dikupas ialah tentang perjuangan dan halatuju Mission School Malaysia. Selaku wakil tetap PCS dalam badan nasional dan negeri, saya tahu benar latar dan perkembangan isu ini. Bermula dengan konferensi pada Jun 2009 sehinggalah sekarang (bahkan akan ada mesyuarat pada pertengahan februari ini), semua isu berpaksikan 15 usul yang dikemukakan kepada kabinet melalui Tan Sri Bernard Dompok. Setelah menunggu lebih setahun, apakah respon kabinet? Respon kabinet itu dikupas sepintas lalu oleh pemberita, melalui wawancara dengan Tan Sri, namun tidak spesifik. Yang ditangan saya lebih spesifik dan sememangnya kurang memberangsangkan. Sebab itu saya agak hairan dengan tajuk berita "Harapan di bahu PM". PM sudah duduk dalam kabinet dan respon kabinet sudah ada. Jadi apakah bentuk harapan yang mahu diletakkan di bahu PM?
Apapun tidak salah untuk mengharap. Moga-moga tajuk berita itu tidak ditulis mengikut acuan. Mungkin tahun 2011 ni PM ada cara terbaik utk membantu. Tidak salah untuk mengharap !!!

02 Januari 2011

TAHUN YANG PENUH SIGNIFIKAN

Memasuki tahun 2011 sangat berbeza dengan tahun-tahun lalu. Ini kerana 2011 merupakan tahun permulaan untuk saya memikirkan sepenuhnya halatuju kerjaya yang pastinya memberikan banyak impak dalam hidup. Menoleh apa yang telah berlaku sepanjang tahun 2010 amat mengujakan. Ya,segalanya harus diawali dengan mengoreksi hubungan kita dengan Tuhan, pemilik sah nafas hidup kita. Corak persahabatan dengan Tuhan mewarnai gaya hidup kita dengan orang lain, bermula dalam keluarga, mengalir dalam kerjaya dan komuniti lain. Selain mengikut 'kalendar', banyak juga peristiwa 2010 yang berlaku di luar perancangan dan kehendak peribadi, khususnya perkenalan dengan beberapa peribadi yang berpengaruh dan keterlibatan dalam organisasi dan program berskala nasional. Saya yakin Tuhan mempersiapkan banyak hal dalam hidup saya.Itu sebabnya saya menyediakan diri untuk menerima rencana dan pekerjaanNya dalam hidup saya. Sebab itu 2011 akan memperlihatkan perancangan dan tindakan yang lebih strategik dan berfokus.Namun semuanya diawali dengan hubungan dengan Pemilik Masa Depan iaitu Tuhan sendiri. Berkembang dalam keluarga, pelayanan, kerjaya bahkan kepada skop sasaran yang lebih luas. Sebab itu 2011 sangat signifikan untuk saya. Masa terus berlalu dan saya perlu lebih bijak dalam banyak hal. Ya, bukankah kebijakan dan ketelusan itu disebut oleh Tuhan dalam firmanNya. Bijak saja tidak cukup tapi perlu telus. Telus saja tidak cukup tapi perlu bijak. Bijak dan telus adalah adik beradik tidak dapat dipisahkan. Kedua unsur inilah yang bakal mewarnai 2011 ini dalam hidup saya. Beberapa bulan sebelum tirai 2010 ditutup, ramai sekali yang bertanyakan kepastian "sesuatu" daripada saya. Ya, apa yg boleh saya katakan ialah kalau kehendak Tuhan, maka saya siap untuk berkorban. Perjuangan tanpa pengorbanan itu tiada penamat. Ada harga yang mahal yang harus dibayar apabila memperkatakan tentang perjuangan. Tapi ingatlah perjuangan ini milik semua. Saya hanya berperanan dalam posisi yang kecil. Sebab itu apabila anda tidak siap untuk berkorban, agak payah mengharungi perjuangan ini. SELAMAT TAHUN BARU 2011