Pengikut

29 Oktober 2009

LANGKAH INI HARUS DITERUSKAN....


Minggu lalu saya ke KL menghadiri mesyuarat rasmi Malaysian Christian School Council (MCSC) di SMK Assunta, PJ. Kira tugas rasmi jugalah kerana berkaitan isu pendidikan khusus yang berkaitan 462 buah sekolah mission dan masa depan mata pelajaran Bible Knowledge. Ini pertama kali saya terlibat dalam mesyuarat MCSC yang turut dihadiri oleh wakil British Council dan Methodist Kolej. Pelbagai isu agenda yang dikupas khususnya lanjutan daripada konferensi MCSC Jun lalu yang dirasmikan oleh Perdana Menteri. Nampaknya beberapa lanjutan pertemuan antara MCSC dengan Ketua Pengarah Pelajaran dan Datuk Dr Wee Kai Siong, Timbalan Menteri telah diadakan namun perjalanan 462 dan Bible Knowledge masih jauh di hadapan. Rasanya perlu juga saya ketengahkan bahawa selama ini perjuangan MCSC dalam memartabatkan dunia pendidikan banyak menerima sokongan daripada Tan Sri Bernard Dompok dari pelbagai sudut. Saya yang masih baru bersama MCSC dapat merasakan denyut nadi perjuangan ini sejak era merdeka sehingga kini. Sememangnya timbul banyak persoalan kenapa banyak himpitan dan tekanan sedangkan tanah dan bangunan milik sendiri dan tujuan pun untuk memajukan pendidikan negara dan melahirkan insan yang digariskan dalam Falsafah Pendidikan Negara. Langkah perjuangan ini harus diteruskan......

P/S : Tq rakan saya dari NECF, Ps.Alfred Tais yang belanja saya makan steamboat di Sunway dan menumpang di rumahnya.

27 Oktober 2009

MAJLIS PERTUNANGAN



Syukurlah di tengah kesibukan sempat juga saya menghadiri majlis pertunangan anak kakak saya yang menetap di Kg Andab Jawa, Sikuati Kudat beberapa hari lalu. Majlis yang bermula jam 1.00 petang berlangsung dengan meriah terutamanya kerana tunang lelaki juga berasal dari kampung sama. Di samping itu sempat juga saya meninjau ladang tembikai yang kakak saya usahakan. Wah di samping tugas sebagai guru, kakak saya ni orangnya gigih dan ada wawasan dalam hidup. Dia menawarkan harga belian RM0.80 sen sekilo kepada sesiapa yang berminat membeli secara borong tembikai yang mereka usahakan.

24 Oktober 2009

SELANGKAH KE UNIVERSITI



Baru-baru ini pihak jabatan telah memantau pengurusan tingkatan 6 SMK Pitas. Selaku PK Ting.6 SMK Pitas, maka sayalah yang berhadapan dengan mereka sepenuhnya. Lawatan ini yang boleh dikatakan mengejut bertujuan memantau sejauhmana pengurusan tingkatan 6 SMK Pitas mematuhi pekeliling 19 mei 2009 mengenai garispanduan pelaksanaan sistem pengurusan baru tingkatan 6. Disamping itu mereka juga mengadakan perjumpaan khas dengan para pelajar pra-U SMK Pitas. Selaku klien utama, sememangnya pelajarlah yang lpaling ayak menilai segala jerih payah seorang guru dan pentadbir sekolah (dan bukannya "mereka").Setelah bersama pelajar selama 40 minit, mereka melawat bilik kuliah, dewan kuliah, bilik guru khas, jadual waktu, dan sistem perfailan. Mujurlah sebahagian besar instrumen dan fizikal untuk ting.6 telah kami persiapkan lebih awal iaitu sejak Januari 2009 dan secara rasmi pada Jun 2009 terutama kerana sokongan pengetua yang sangat prihatin dan proaktif.
Saya tidak perlu berkongsi hasil dapatan mereka kerana boleh menimbulkan pelbagai andaian apatah lagi kalau kelihatannya angkat bakul sendiri. Saya lebih suka berkongsi dengan perkembangan terkini tentang prospek tingkatan 6. Mulai pada 2011, sistem pembelajaran berasaskan modul dan lebih mudah untuk mencapai skor. Dengan sistem pengajian 3 semester, tingkatan 6 menjanjikan peluang ke universiti dengan lebih mudah dan cepat. Oleh itu saya "memanjangkan" dorongan pihak kementerian kepada semua pihak agar mendorong pelajar tingkatan 4 sekarang agar menjadikan ting.6 sebagai opsyen utama mereka. Pelajar ting.4 sekarang merupakan generasi pertama yang bakal menggunakan sistem baru. Disamping itu, ting.6 terus menjadi saluran ke universiti yang murah. Bagi SMK Pitas, saya dan rakan-rakan lain yang menerajui pengurusan ting.6, kami komited untuk semua ini. Kejujuran dan tekad adalah kunci kepada kecemerlangan walaupun itu pastinya masih tidak memuaskan hati semua pihak. ILMU KEKAL ABADI..Motto SMK PITAS

22 Oktober 2009

SEDIKIT LEWAT TAPI BELUM TERLAMBAT

Saya berkongsi maklumat dan isu TERBARU yang mungkin sebilangan kita sudah tahu. Hal ini berkaitan Sabah Sarawak....
  1. Kabinet telah menubuhkan Jawatankuasa Khas Kabinet tentang Bumiputera Sabah dan Sarawak yang diketuai oleh Perdana Menteri sendiri. Ahli-ahli terdiri daripada YB Tan Sri Bernard Dompok, YB Dr Maximus dan YB Datuk Douglas Embah. Sebelum ini hal ehwal tentang Sabah Sarawak di letakkan di bawah unit khas ICU, JPM tetapi kurang efektif. Atas desakan pelbagai pihak khususnya rakyat Sabah Sarawak, kini kerajaan mengambil langkah proaktif. Tan Sri Dompok dalam kenyataannya berkata bahawa jawatankuasa ini bakal menyelesaikan isu-isu tertunggak tentang Sabah Sarawak. Kalau ikut sistem sedia ada, jawatankuasa yang ditubuhkan diperingkat kabinet mempunyai kuasa yang luas dan pastinya inilah jawaban kepada segala keluhan kita selama ini. Maksud "isu-isu tertunggak" pastinya masih samar. Bagi saya kehendak itu jelas iaitu kembalikan "kontrak" asal Perjanjian Malaysia seperti isu agama, bahasa, pentadbiran awam, royalti, imigresen dan sebagainya. Tidak pun 100%, kembalikan yang HAK. Paling UTAMA ialah selesaikan IBU kepada segala masalah iaitu KEBANJIRAN PENDATANG ASING YANG KEMUDIAN DIBERIKAN MY KAD. Terima kasih PM dan tahniah kepada Tan Sri Dompok, Dr.Max yang tidak berhenti bersuara !
  2. Kerajaan Persekutuan mengisiytiharkan 16 September sebagai cuti umum. Hal ini sudah diperjuangkan sejak awal tahun 1980-an dan HAMPIR 30 tahun baru DILULUSKAN. Sekarang kita ada hari kemerdekaan dan hari malaysia. Sekurang-kurangnyanya cuti ini akan sentiasa menyegarkan rakyat Malaysia bahawa Malaysia dibentuk melalui gabungan 3 negara. Sekali lagi terima kasih PM. Mesej lain ialah janganlah berhenti bersuara dan meminta selagi itu adalah hak...walau menunggu 30 tahun !

19 Oktober 2009

SANGAT KECEWA


Kembali dari perlawanan persahabatan badminton dengan satu team "terkuat" dari Kota Marudu malam hari sabtu lalu, (kami menang besar..hehe), saya bergegas balik ke rumah untuk menyaksikan perlawanan bola sepak Liga Inggeris antara team saya Liverpool vs Sunderland. Perlawanan yang saya jangka dimenangi oleh Liverpool. Setibanya di rumah, perlawanan sudah masuk ke minit 62 dan ternyata team saya sudah ketinggalan 0-1. Ketiadaan Gerard dan Torres sangat dirasai. Saya terus menonton dengan harapan sekurang-kurangnya seri tapi sehingga wisel penamat Liverpool gagal menjaringkan sebarang gol. Kecewa? Memang kecewa tapi apakan daya. Ternyata malam itu Liverpool serba tidak menjadi dan Sunderland memperlihatkan semangat melawan yang tinggi. Saya sebenarnya tidak melihat bagaimana Sunderland menjaringkan gol tersebut, jadi saya menunggu ulasan perlawanan. Apabila jaringan ditayangkan semula, ternyata sangat mengecewakan. Tendangan dari penyerang Sunderland terkena kepada sebiji bola sepak pantai yang dilepaskan oleh seorang penyokong (dikatakan penyokong Liverpool tetapi memakai baju biru...menurut catatan, warna biru adalah warna yang tidak digemari oleh Liverpool kerana warna rasmi kelab Everton yang merupakan musuh ketat Liverpool). Akibatnya bola tempias dan penjaga gol Liverpool tidak dapat berbuat apa-apa. Ini sangat mengecewakan. Ada pihak berkata jaringan seumpama ini harus dibatalkan dan pihak lain pula disebaliknya. Ada sesiapa yang arif tentang undang-undang bolasepak? Yang jelasnya, jaringan itu disahkan dan saya SANGAT KECEWA. Hehehe..sedih tanpa airmata.

P/S
1. Sesekali ubah mood mengulas sukan dalam blog ni. Saya memang peminat Liverpool dan pasukan England.
2. Saya pernah membeli jersi Liverpool yang "original" dari Padang Besar, sempadan Perlis-Thailand tapi saya hanya sempat memakai beberapa kali kerana dicuri dari sidaian di rumah. Takpalah..pasti yang mencuri tu pun peminat Liverpool, halalkan ja lah..hahaha

13 Oktober 2009

GELANGGANG SERBAGUNA


Kini pekan Pitas memiliki sebuah gelanggang baru. Mengikut papan tanda yang diletakkan di simpang tiga, gelanggang ini dikenali sebagai gelanggang sukan serbaguna. Mengikut pengamatan saya sukan futsal, sepak takraw, tenis dan senamrobik boleh diadakan disini. Kalau dah terpaksa, bola tampar pun mungkin boleh. Berdasarkan papan tanda itu juga, gelanggang ini milik Kementerian Belia dan Sukan (Negeri). Di sebelah gelanggang ini juga sebuah dewan yang menempatkan gelanggan permainan dalaman, perhimpunan dan pejabat serta quartres staf KBS sedang disiapkan. Mengikut pengamatan saya sekitar 80% telah disiapkan. Nampaknya pengembangan sayap KBS di Pitas telah membuahkan hasil dan manfaat kepada masyarakat Pitas. Saya secara peribadi mengenali pegawai KBS Pitas dan seorang yang "steady", terbuka dan berwawasan. Kelab kami iaitu STARCOP sudah beberapa kali menemui beliau dan berbincang tentang pembangunan sukan di Pitas.
Nampaknya beberapa kemudahan mula dibina dan disiapkan satu demi satu di Pekan Pitas. Kewujudan kemudahan seperti ini bukan sahaja menampakkan kerancakan pembangunan malah pada masa yang sama memenuhi keperluan yang mendesak khususnya di kalangan penggiat sukan dan rekreasi.

10 Oktober 2009

WAJAH BARU YG MENGHAIRANKAN


Nampaknya pentas tamu di pekan Pitas telah berwajah baru. Pentas lama telah dirobohkan dan diganti dengan pentas baru yang diperbuat daripada konkrit. Kini lebih kukuh, cantik dan mantep..Terima kasih Malaysia. Namun tinjauan rambang mendapati pentas ini mengundang pelbagai persoalan, iaitu :
1. Lebih rendah (bahkan sangat rendah), hanya sekitar 2 kaki. Ramai yang berpendapat bahawa ketinggian pentas baru ini kurang menepati standard ketinggian pentas. Kesan ialah, VIP dan sesiapa juga yang sedang berucap atau menyampaikan sebarang persembahan terdedah dengan risiko diceroboh. Kedua, sekiranya semua penonoton berdiri maka skop penglihatan mengecil. Apatah lagi mereka yang rendah.
2. Bilik persiapan di bahagian belakang juga lebih kecil dan ini pasti menimbulkan kesesakan. Pengalaman saya terlibat dalam penganjuran yang menggunakan pentas lama, walaupun bilik belakang agak besar, masih juga sesak dan sangat panas.
Apa pun semua ini hanyalah pandangan. Apakan daya,saya difahamkan isu ini sudah ditimbulkan semasa mesyuarat majlis tindakan daerah tetapi tidak diberi perhatian. Apakah inilah design baru pentas moden? Kurang peruntukan? kesilapan teknikal? kontraktor berjimat cermat? Selamat menikmati pentas baru.

05 Oktober 2009

DALAM PERHATIAN !!!

Lama tidak update blog ni. Mr.Sintiki tak puas hati klu tak update. Mohon maaf..disamping kesibukan, sejak akhir-akhir ini banyak perkembangan di Pitas yang menarik untuk disoroti. Saya sedang memberi perhatian untuk beberapa hal dan mohon pengunjung blog ini memberikan maklumat dan pandangan tambahan untuk setiap isu yang saya kemukakan ini.
1. Projek Agropolitan untuk pembasmian kemiskinan di Pitas yang dikenali sebagai Semenanjung Bengkoka yang bermula di Kanibongan. Realiti sekarang majoriti penduduk yang terlibat merasakan diri mereka ditipu kerana mereka dalam risiko kehilangan tanah/hak pemilikan ke atas tanah tersebut. Apa pun semua ini saya hanya mendapat maklumat lisan dan sejauhmana kebenarannya perlu dibuktikan. Ada sesiapa, khususnya penduduk yang terlibat tampil memberikan bukti rasmi?
2. Dengar2 wujud skim penempatan mangsa banjir di kawasan Kg Mandamai Bai/Tukar/Tuju Daya yang meliputi ribuan ekar dengan pewujudan sebuah kampung baru yang dilengkapi dengan pelbagai kemudahan seperti rumah sedia ada sebanyak 300 unit. Betulkah skim ini wujud? sejauhmana penduduk tempatan yang mendapat manfaat? Siapakah yang terlibat? Kewarganegaraan tulen ka? Tolong beri maklumat
3. Pitas bertuah mempunyai banyak sungai khususnya Sungai Bengkoka. Malangnya kebanyakan sungai sudah kering. Penduduk Pitas terdedah dengan risiko bekalan air dalam masa terdekat. Kita perlu gerakan bersepadu Selamatkan Sungai Pitas dengan kerjasama NGO sedia ada. Bukan sahaja kerana bekalan air malah masih ramai yang bergantung kepada sungai sbg pengangkutan. Habitat air tawar juga semakin pupus. Kita perlu Sistem Tagal untuk pengekalan habitat. Pembalakan.....
4. Sekarang ni syarikat konsesi jalan raya sedang sibuk korek dan tampal jalan raya. Yang hairannya, kawasan yang sudah bertahun rosak tidak dibaiki. Takpa ni hal biasa kerana mungkin tiada peruntukan. Tapi yang sangat PELIK tapi BENAR ialah kawasan yang masih bagus, macam sengaja dikorek dan ditampal. Hairan..hairan. Syarikat Korek Tampal Sdn. Bhd.
5. Saya sudah menyiapkan surat rasmi saya kepada DO. Saya menghubungi PA DO untuk jumpa petang Selasa. Saya akan siarkan isi surat saya selepas saya kemukakan kepada DO. Suara dari rakyat Marhaen..orang biasa dari bukit menyatakan isi hati.

Banyak hal yang perlu kita buka mata, telinga dan hati untuk Pitas. Kita tidak ada kuasa tetapi kita kembalikan kepada mereka yang berkuasa untuk membetulkan yg sepatutnya. Kalau yang berkuasa tidak mahu bertindak ?? ?