Pengikut

30 Jun 2011

NILAILAH TEMUBUAL INI

Saya paparkan petikan temubual pemberita dengan Timbalan Pengerusi SPR dan bersama kita menilai.

Pemberita: Ianya tidak sama di negara lain, Datuk.

Wan Ahmad: Jangan bandingkan dengan negara lain.

Pemberita: Kenapa tidak?

Wan Ahmad: Jika anda bandingkan dengan negara lain, susahlah.

Pemberita: Singapura juga benarkan pembangkang...

Wan Ahmad: Tetapi...

Pemberita: ... Thailand, Indonesia, dan Filipina...

Wan Ahmad: Tidak... Biar saya kata...

Pemberita: Mereka dianggap sebagai negara yang lebih ke belakang, tapi mereka lebih terbuka dalam perkara ini.

Wan Ahmad: Kita sedang berbincang dengan kerajaan. Inilah yang SPR boleh buat. Kita berbincang dengan kerajaan tentang kebimbangan NGO dan masyarakat sivil berhubung perkara ini.


Kenapa bah susah sangat SPR buat perubahan?

28 Jun 2011

UCAPAN DATUK A.SAMAD SAID

"Murbawan Malaysia tidak senang dengan apa yang sedang berlaku di negara ini. Kita menghantar pesanan yang sangat waras. Demokrasi perlu murni dan terus dimurnikan.

Kenapa kita tidak boleh memperbaik situasi? Kenapa kita harus membiarkan demokrasi diperkuda oleh segelintir kuasawan yang tampaknya bermaharajalela? Telah lama kita tidak senang dengan aliran demokrasi yang diperkuda ini. Telah lama kita inginkan demokrasi yang bersih, bergerak atas landas yang murni.

Kita sedar bahawa jalan ini tidaklah mudah. Maka itu, kita menjadi lebih berazam. Kita maklum bahawa gergasi media arus perdana kini sedang ikut garang menghempit kita dalam arus peristiwa yang semakin durjana. Kita sedang berlawan dengan keangkuhan yang pejal. Oleh media arus perdana ini, kita sewenangnya digambarkan sebagai kumpulan 'siasah' yang sangat bercita-cita buruk. Lebih buruk, kita digambarkan sebagai kelompok yang sengaja ingin menggelorakan masyarakat seburuk hajat.

Kita tidak begitu. Kita ingin memperbaiki jentera demokrasi agar lebih berhati nurani. Kita tidak menginginkan demokrasi yang kasar dan sombong; kita merindukan demokrasi yang tulus dan betul.

Inilah gerakan kita yang, sayangnya, terpaksa bermula di tengah keangkuhan kerajaan yang merasa segala-galanya sudah betul, malah sudah syurgawi, di tanah air ini. Kita sebenarnya masih dalam derita yang terus dicipta oleh tangan kasar berhati angkuh yang sangat bercita-cita.

Kita merindukan suara kuasa yang waras dan insani; suara pembimbing yang ikhlas dan mengerti. Kita tidak memerlukan suara angkuh dalam era yang sudah terlalu lama sombong ini. Kita mengharapkan tangan kuasa yang berhemah, sedia memimpin dan berdamai, turut bantu mencipta iklim demokrasi yang harum.

Memanglah kita mengkhayalkan dunia indah itu, walaupun kenyataan yang terserlah dan mengembang kini sedang menunjukkan di atas kepala kita sentiasa sedia terapung awan kelam yang menjanjikan tofan.

Jikalau berlaku, kita bukanlah kelompok manusia yang gamam berlari; kita, sebaliknya, adalah manusia yang cekal berdiri. Kita ingin memupuk demokrasi yang lebih berhati nurani.

Dua ratus tahun dulu seorang tokoh kecil Sam Adams, dengan kelompoknya yang kecil juga, telah mencurahkan teh ke dalam laut di pelabuhan Boston, Amerika. Kata Sam Adams, "It does not require a majority to prevail, but rather an irate, tireless minority keen to set bushfires in people's minds."

Kita nyalakan unggun api itu pada malam ini!"

P/S : SAYA PAPARKAN TEKS UCAPAN DATUK A.SAMAD SAID (SASTERAWAN NEGARA) SEMPENA MAJLIS PRA-BERSIH 2.0. DIFAHAMKAN BELIAU TIDAK SEMPAT MENGHABISKAN UCAPAN DAN BACAAN PUISI KERANA???? SAYA TURUT PAPARKAN PUISI BELIAU. SELAMAT MENGHAYATI.

26 Jun 2011

DI KG KIBUBUK, PITAS



Hari ini saya mengunjungi jemaat Kg.Kibubuk, Pitas. Jemputan ini telah lama tetapi sering terhalang dengan kesibukan. Bagi yang belum tahu, Kg.Kibubuk terletak di Batu 5.5, Jalan Hap Seng Pitas. Dari rumah saya perjalanan mengambil masa sekitar 30 minit sahaja. Majoriti penduduk disini adalah kaum Kimaragang. Setelah pelayanan mimbar, mereka mengadakan majlis makan bersama. Selepas itu, sesi santai-santai dan mengupas banyak isu semasa. Ternyata mereka dahagakan perubahan dalam semua aspek. Kg.Kibubuk, terima kasih dengan jemputan anda.

24 Jun 2011

DI SK PANDAN MANDAMAI


Semalam saya berada di SK Pandan Mandamai menyampaikan ceramah motivasi kepada pelajar-pelajar UPSR mereka. Jumlah pelajar seramai 19 orang ini difahamkan telah dikumpulkan sejak Rabu dalam kem motivasi. Saya perhatikan pengisian kem motivasi mereka agak lengkap, meliputi aspek akademik, motivasi dan keibubapaan. Para pelajar menampakkan kesungguhan sepanjang sesi walaupun ada di kalangan mereka yang saya perhatikan sering menguap. Mungkin kerana terlalu penat atau lewat tidur. Menyampaikan motivasi kepada pelajar sekolah rendah bagi saya bukan mudah bahkan lebih susah berbanding pelajar sekolah menengah. Saya sering dijemput menyampaikan motivasi dan inilah pengalaman saya setakat ini bahawa bersama pelajar sekolah rendah lebih susah. Saya harus mencari jalan untuk mempermudahkan sesuatu konsep supaya mesej mereka dapat fahami. Sebab itulah saya terpaksa menggunakan banyak gambar, cerita bahkan muzik. Saya berharap agar apa yang saya sampaikan dapat mereka faham dan aplikasikan khususnya suntikan semangat. Terima kasih kepada sekolah ini yang memberikan saya peluang bersama mereka khususnya melalui cikgu Jaman Enul, selaku PK1 dan cikgu Jolly selaku Guru Besar.

18 Jun 2011

TUGAS GURU

Sememangnya tugas guru bukan sekadar mendidik mengajar dalam konteks akademik.Yang peliknya 90% ilmu pendidikan yang diajar di universiti mahupun maktab berkaitan dengan ilmu pedagogi. Sampai terkeluar biji mata dan otak mendidih membaca dan menghafal pelbagai teori pendidikan. Namun realitinya skop pedagogi hanya mencapai 50% tugas sebenar di sekolah berdasarkan pengalaman saya. Pagi tadi seorang pelajar Pra-U Atas SMK Pitas yang parah dalam kemalangan motosikal 4 bulan lalu datang ke sekolah. Datang dengan bertongkat agak mengharukan. Namun mukanya tetap ceria untuk meminta bahan-bahan nota dan soalan peperiksaan. Hampir 4 bulan dia terlantar sakit. Dalam tempoh ini dia sudah ketinggalan banyak dalam P & P.
Jujur saja, sebagai pelajar yang saya anggap sederhana, tempoh 4 bulan bukannya mudah untuk dia kejar semua. Lagipun dia masih belum dapat berjalan serta perlu review berterusan. Saya melihatnya dengan sayu dan berfikir bahawa keutamaan sekarang bukan nota atau soalan peperiksaan tetapi MOTIVASI. Kami beberapa orang guru sedaya upaya memberikannya sokongan moral dan motivasi. Entah bilakah dia dapat kembali ke sekolah dengan normal? Satu persoalan. Kalau dia dapat selewatnya-lewatnya September, masih ada sedikit harapan dengan syarat usaha berlipat kali ganda. Semoga pelajar ini cepat recover. Tugas guru...sangat subjektif.

12 Jun 2011

Projek Pelik Bin Ajaib

Gambar di atas sinonim dengan Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT). Ya, rekabentuk dan warna rumah tersebut memang "milik" projek PPRT dengan kos projek difahamkan RM40,000 - RM45,000 sebuah. Memang projek ini biasanya sinonim di luar bandar, khususnya di kawasan pedalaman.Rasanya senarai penerima ialah Ketua Isi Rumah Termiskin (KIRT) yang tersenarai dalam pengkalan data e-kasih. Tapi apa isu yang saya mau paparkan? Rumah tersebut terletak di tepi bypasss Donggongon menuju ke Airport. Kawasan yang bukannya pedalaman. Di sekeliling rumah ini juga tidak ada penempatan atau perkampungan yang boleh menggambarkan bahawa kemiskinan wujud di sana. Pemandu teksi memberitahu bahawa rumah tersebut wujud sejak sekian lama tetapi belum ada penghuni. Memang menghairankan apabila wujud sebuah rumah projek PPRT di kawawan "metropolitan". Mungkinkah kesilapan data e-kasih di Jabatan Perdana Menteri? Pelik bin Ajaib..Macam-Macam Ada !!!

07 Jun 2011

DI MANA DAN SIAPA YANG SILAP?

Isu e-kasih berkumandang sejak sekian lama di seluruh Sabah. e-kasih (setakat pengetahuan saya) ialah satu mekanisme pengkalan data berpusat untuk Ketua Isi Rumah (KIR) berpendapatan kurang daripada RM1000 (luar bandar). Melalui pengkalan data ini, maka KIR layak menerima bantuan dalam semua konteks dan kapasiti. E-kasih adalah program yang digerakkan oleh ICU di Jabatan Perdana Menteri dan dilaksanakan di Pejabat Daerah. Secara realitinya proses pendaftaran e-kasih banyak melibatkan staf lantikan politik,khususnya PJKKK. Secara umumnya, saya berpendapat proses mengumpulkan data KIR secara berpusat adalah sangat baik KALAU benar-benar dilaksanakan dengan sistematik dan telus. Namun realitinya, e-kasih telah menerima rungutan dari semua lapisan masyarakat, bahkan daripada pemimpin BN sendiri.
Isu-isu yang biasa timbul ialah tahap kecekapan, ketelusan mekanisme dan ketirisan bantuan. Isu KIR yang benar-benar daif tercicir dan dipandang sebelah mata sebaliknya yang tidak layak atau berkemampuan terdaftar dan mendapat bantuan.
Saya sempat merasai era pemerintahan BERJAYA dan PBS. Saya ingat benar waktu tidak ada pun pengkalan data e-kasih tapi semua jenis bantuan boleh sampai kepada sasaran.Persoalan saya agak mudah, kenapa perlu satu pengkalan data berpusat nun jauh di ICU, Putrjaya? Ini bermaksud semua program dikawalselia sepenuhnya oleh Kuala Lumpur. Kalau ada situasi rayuan, jawaban yang biasa diterima ialah "ini kami tidak tahu sebab senarai ni dari KL".
Saya melayari portal e-kasih https://www.ekasih.gov.my/Pages/Default.aspx dan mendapati memang pendaftaran secara online untuk KIR wujud. Persoalan saya, berapa ramai KIR yang punya kemudahan komputer, internet dan celik IT untuk berbuat demikian. Dimanakah peranan kakitangan politik dan agensi terbabit untuk memastikan semua KIR didaftar tanpa mengira bangsa,agama dan ideologi politik? Unsur penafian sentiasa wujud tapi realitinya lihat sekeliling kita dan tanyalah mereka ! Jangan sampai komputer pula yang disalahkan !

02 Jun 2011

SEJARAH YANG BENAR

Apabila KPM mengumumkan bahawa pada tahun 2013, Sejarah menjadi subjek wajib lulus dalam SPM, pelbagai lapisan masyarakat memberikan respon. Sehubungan dengan itu juga, baru-baru ini KPM telah melantik 10 orang panelis untuk mengkaji kembali kurikulum subjek Sejarah. Daripada 10 panelis tersebut, hanya seorang dari Sabah (Dr.Benedict Topin) dan seorang dari Sarawak. 8 orang selebihnya adalah dari Semenanjung. Dalam hal ini, saya tidak membantah. Maksudnya, soal menjadikan Sejarah sebagai subjek wajib lulus, review kurikulum dan perlantikan panelis dan kuota panelis...semua ni saya bersetuju.
Persoalan saya hanyalah dari sudut, Sejarah yang bagaimana akan diajar? Apakah Sejarah yang sahih, tepat dan benar? Apakah semua aspek pensejarahan Malaysia dimasukkan? (seperti 20 perkara). Sejauhmana Sejarah Borneo dan Pembentukan Malaysia dikisahkan dengan benar? Bahkan apakah sejarah antropologi dan sosiologi Tanah Melayu turut dikisahkan dengan sahih? Apakah ada penonjolan terhadap sesuatu komuniti dan mengurangkan peranan komuniti lain?
Saya ada asas untuk bercakap dan umumnya mengetahui bahawa Sejarah yang diajar sekarang ada bahagian yang tidak tepat. Contohnya, Sabah dikatakan "menyertai" Malaysia sedangkan Sabah "membentuk" Malaysia. Mana istilah yang tepat "Melayu-Melanau" atau "Melanau-Melayu"? Dan banyak lagi....
Sehubungan dengan itu, satu gerakan sivil telah digerakkan untuk menjadi rakan kongsi kepada 10 panelis ini. Gerakan ini dianggotai oleh golongan akademik pelbagai kaum dan bangsa untuk berkempen mengetengahkan Sejarah yang sebenar yang sepatutnya dimasukkan dalam kurikulum itu kelak. Dari Sabah, saya sendiri dan Dr.Dayu Sansalu menjadi anggota gerakan ini sebagai satu bukti usaha murni kita bahawa kita bukan sahaja mengkritik malah turut memberikan cadangan. Antara tunggak gerakan ini ialah Prof.Ranjit Singh Malhi. Moga generasi masa depan Malaysia benar-benar diajar dengan Sejarah yang BENAR dan bukannya membutakan mereka demi kepentingan pihak tertentu.