Pengikut

28 September 2010

IT'S IN MY HAND

24-26 September lalu merupakan detik bermakna buat warga pra-U SMK Pitas apabila buat julung kalinya berjaya mengadakan program seminar STPM di luar dari lingkungan persekolahan. Program yang dirancang sejak awal tahun dan terpaksa ditunda sekali akhirnya berjaya diadakan di Kinabalu Hostel, Likas. Terlalu banyak kekangan dan cabaran menganjurkan program ini. Mengangkut pelajar seramai 57 orang dan 10 orang guru untuk dipertemukan dengan penceramah khas amat mencabar khususnya dari segi dana kewangan. Tulisan saya sebelum ini bahawa lebih kurang 20 agensi, GLC dan NGO "ditagih" belas kasihan mereka namun sunyi sepi. Hanya 4 agensi yang menjawab secara rasmi "tiada peruntukan" dan selebihnya "berdiam diri". Pemimpin politik yang kita agungkan, kelahiran jati Pitas diberikan ruang untuk membantu juga tinggal janji belaka. Kudrat yang ada itulah yang kita gunakan. Pengetua, PPD, guru-guru dan pelajar bergabung tenaga dan semangat waja untuk menjayakan program ini demi kelangsungan kecemerlangan pendidikan daerah Pitas.
Saya mengambil kesempatan menyatakan penghargaan kepada PPD @ wakil , Pengetua, guru-guru tingkatan 6, Felcra bahkan pelajar sendiri yang turut berkorban. Saya turut merakamkan penghargaan kepada Ketua Sektor SPA yang sudi turun padang merasmikan program ini. . Teristimewa kepada semua penceramah yang datang jauh dari pelbagai tempat, sanggup datang membantu kami. Ilmu dan tunjuk ajar amatlah bermakna. Juga kepada isteri anak-anak saya yang turut berkorban. Semasa program berlangsung anak sulung saya sakit, demam dan muntah-muntah.
Saya mengandaikan melalui program ini, motto Celcom "it's in my hand" ada di setiap jiwa pelajar. Terpulanglah kepada mereka untuk menggunapakai segala ilmu, maklumat dan kemahiran yang diberikan oleh guru-guru khas. Masih ada masa untuk memperlengkapkan diri, memfokuskan strategi dan menguatkan azam demi kecemerlangan diri. Hasilnya nanti dituai oleh diri mereka sendiri, keluarga, kaum dan daerah Pitas. Program yang gah tidaklah bermakna kalau matlamat sebenar tidak tercapai dan saya bersedia menerima risiko dan kesan daripada penganjuran program ini. BERANI GAGAL

24 September 2010

TAMU PITAS

Tamu Pekan Pitas sudah wujud seawal 80-an, difahamkan sempena perayaan 100 tahun Sabah maka beberapa gerai telah dibina di kampung Kalumpang. Sambutan 100 tahun Sabah pada tahun 1981 peringkat daerah Pitas yang diadakan di gerai yang dibina di Kg Kalumpang merupakan antara pertemuan awal secara besar-besaran suku kaum di Pitas. Sejak itu gerai tersebut terus digunapakai sebagai "pekan" Pitas dan menjadi tapak tamu mingguan. Penghujung 1990-an, tarikh sya kurang ingat, tapak ini dipindahkan di pekan baru Pitas walaupun berlaku sedikit bantahan dari beberapa komuniti.
Sedar tak sedar tamu pekan Pitas menjangkau usia hampir 30 tahun. Terus menjadi nadi kepada sumber ekonomi masyarakat desa dan peniaga kelas pertengahan. Terus menjadi nadi sosial pengikat rumpun suku kaum di Pitas. Tahniah majlis daerah kerana berjaya menyelenggara tamu ini dengan begitu baik.

20 September 2010

SABAH TANAHAIRKU

Masih hangat dengan sambutan Hari Malaysia. Menyusuri jalan baru Pitas-Sandakan menjanjikan pemandangan bumi Sabah yang memukau. Lembah, gunung, banjaran, sungai dan kampung- kampung peribumi Sabah amat mengkagumkan. Inilah bumi negeriku. Memasuki kawasan Paitan mata kita mulai berhadapan dengan pemandangan saujana mata memandang. Kawasan ladang kelapa sawit milik beberapa syarikat yang dipimpin oleh IJM. Umumnya perladangan dari kawasan Paitan sehingga ke kawasan perbukitan Lingkabau masih dalam usia yang muda. Melintasi kawasan ini dan memasuki daerah Beluran, mata kita dijamu sekali lagi dengan kawasan perladangan kelapa sawit yang lebih berusia. Antara beberapa nama yang diingat ialah Fortuna, TH, IJM dan seterusnya sehingga ke Sandakan tak perlu diceritakan lagi. IOI juga menguasai sebahagian besar.
Lalu...saya teringat Jadual 9 (perkara 74 & 77), Senarai II dalam Perlembagaan Persekutuan yang menyenaraikan bahawa TANAH adalah bidang kuasa kerajaan negeri. Lalu...saya berbual dengan isteri saya, bagaimana syarikat yang berpengkalan di semananjung seperti IJM, TH, IOI (FELDA & FELCRA inda payah sebutlah)boleh memperolehi tanah ribuan ekar di Sabah. Saya sebagai rakyat Sabah, rasanya berhak tahu !!! Sekadar nak tahu tak salah kan....
Saya kongsikan sedikit kekayaan bumi Sabah. 60% hasil sawit Malaysia disumbangkan oleh Sabah. Sayangnya 80% ladang sawit di Sabah bukan milik Sabah. Pada masa yang sama cukai korporat turut tidak dinikmati oleh Sabah. Pekerja asing pula menghantar wang ke luar. FELDA pula diberi 300,000 hektar. Hutan Sabah pula diratah2 atas kapasiti FMU selama 100 TAHUN. Syarikat2 yg diberi konsesi FMU berpengkalan dari mana??? Purata pengeluaran minyak 73,000 tong sehari (minyak mentah). Sayangnya kita hanya dapat 5% (siapa yang sign perjanjian??)Pendapatan hasil minyak pada tahun 2004 sebanyak RM5.089 billion dan Sabah hanya dapat RM254.88 juta sbg royalti.
Banyak lagi sumber kekayaan negeriku sayangnya kita tetap ke-3 termiskin di Malaysia. (akan dikupas pada masa akan datang). Kita telah merdeka 47 tahun yang lalu.Salah satu sebab Sabah bersetuju dalam gagasan Malaysia ialah untuk pembangunan. Saya ada hak untuk menoleh kembali sejauhmana pembangunan itu berlangsung dengan pesat kerana kita ada hasil yang sangat lumayan. Hampir seluruh daerah Sabah ini saya telah kunjungi dan saya masih melihat kemiskinan yang menyedihkan. Salah satu, saya masih ingat bahkan menyimpan keratan akhbar yang melaporkan 10 projek utama RMK9 yang diumumkan oleh PM dulu iaitu Pak Lah. Itu dah lama. Salah satu projek ialah membaiki atau menaiktaraf jalan langkon-kota belud. Hasilnya apa? Kita semua tahu berapa jauh ja jalan yang dibaiki. Sekarang dah masuk RMK10....Apakah hanya sejauh itu?

P/S : ORANG ASLI DI SEMENANJUNG TERPAKSA KE MAHKAMAH UNTUK MEMPERTAHANKAN TANAH MEREKA. SAYA BERHARAP SAMPAI BILA-BILA PUN SAYA TAK PERLU KE MAHKAMAH UNTUK MEMPERTAHANKAN TIANG RUMAH SAYA. INILAH HARAPAN SAYA SEMPENA HARI MALAYSIA TAHUN INI.

17 September 2010

Bukan Menyertai tapi MEMBENTUK

Talian internet yang kurang baik serta kesibukan persiapan ibadah doa untuk Malaysia semalam menyebabkan saya tidak dapat menulis sesuatu sebelum 16 September, tarikh keramat untuk Malaysia. Agak menghairankan, kenapakah satu peristiwa rasmi dan paling grand yang membawa kepada kewujudan satu negara baru masih diperdebatkan sehingga masa kini? Saya tidak mahu mengulas dari sudut sejarah lagi kerana 16 Sept 1963 sudah dibukukan secara rasmi. Saya melihat polemik ini bukan lagi soal "kenapakah itu harus berlaku"?. Dengan jujur & ikhlas, saya menerima Malaysia sebagai sebuah negara dan saya berbangga menjadi rakyat Malaysia. Bahkan ajaran Kristian juga mendorong umatNya untuk mencintai negaranya kerana setiap yang berlaku adalah keizinan tangan Tuhan.
SALING MEMERLUKAN....Kalau Datuk Lajim dan Datuk Rahim Bakri dalam kenyataan berkata bahawa kemasukan Sabah dalam Malaysia tidak sia-sia memang ada kebenaran. Berkontekskan suasana pada masa itu, memang "kita" hampir-hampir tiada pilihan. Mau tak mau mesti menyertai Malaysia. Perundingan pada masa itu telah mencapai keputusan "menang-menang". Borneo Utara mencapai kemerdekaan, ancaman Indonesia dikekang dan pembangunan, sementara di pihak Tanah Melayu, komposisi kaum kembali berubah di mana kaum bukan Melayu bukan lagi menjadi majoriti. Perundingan Malaysia memperlihatkan dua pihak saling memerlukan. Tanah Melayu perlukan Borneo Utara demi mengimbangi kaum dan Borneo Utara pula perlukan Tanah Melayu demi logistik.
PENGORBANAN....Pihak manakah yang kelihatan perlu banyak berkorban? Sudah tentu Borneo kerana pada waktu itu Borneo ditadbir sebagai sebuah NEGARA oleh British dan bukannya sebagai sebuah negeri (seperti negeri di tanah melayu). Buktinya sejak tahun 1881 sehingga 1963, terdapat 30 orang Gabenor Borneo Utara yang mengetuai Sabah dan jawatan ini tidak wujud di setiap negeri Tanah Melayu. Jawatan tertinggi British di setiap negeri hanyalah residen. Ini MEMBUKTIKAN bahawa Sabah adalah sebuah NEGARA pada waktu perundingan berlangsung. (Bukti lanjut boleh membaca buku suntingan Dr.Danny Wong Tze-Ken). Oleh kerana Sabah adalah sebuah negara maka percantuman ini akan memberikan impak kepada autonomi sedia. Oleh itu 20 perkara dipersetujui sebagai pengekalan autonomi ini. Persetujuan bersyarat melalui 20P memperlihatkan pengorbanan yang besar dilakukan oleh Borneo Utara. Saya percaya hanya yang IKHLAS yang sanggup berkorban.Perkara 4 dalam 20P yang berbunyi "ketua negeri di Borneo Utara tidak layak untuk dipilih sebagai Ketua Persekutuan dan perkara 7 ""tidak berhak keluar daripada Persekutuan" adalah bukti pengorbanan ini.
20 PERKARA...Saya tidak mahu mengulas lanjut tetapi yang perlu ditegaskan ialah 20 perkara adalah memorandum yang ditandatangani oleh pelbagai kumpulan etnik di Sabah termasuk UNKO,USNO, UPDP dan Pasok. Dibentang,dibahas dan dimasukkan dalam IGC, akhirnya disahkan dalam seksyen 14 Laporan IGC yang berbunyi "...In certain respects...The Committee agreed that more important undertakings should be included in the formal agreement and envisaged that the other undertakings and assurance might be dealt with in exchange of letter between the Government concerned..." Pastinya kalau 20 perkara tidak wujud maka MALAYSIA tidak akan wujud sekarang.
KEIHKLASAN...47 tahun berlalu..terus menjadi perdebatan. Generasi demi generasi terus mempersoalkan, sejauhmana? Sebelah pihak kata biarlah itu menjadi sejarah dan terimalah hakikat. Namanya..pasrah ! Sebelah pihak lagi kata, syarat tak ditunaikan malah banyak yang semakin "hilang". Bagi saya, semuanya soal kejujuran. Pastinya semua pihak yang berunding pada waktu itu berlandaskan kejujuran. Saya yakin Tunku Abdul Rahman pihak Borneo, Suruhanjaya Cobbold dan IGC juga jujur. Soalnya keihklasan mereka ini gagal diteruskan oleh generasi kepimpinan seterusnya. Kedua pihak bertanggungjawab meneruskan kejujuran ini. Sebarang persoalan tentang 20P harus dilihat bermula dari kepimpinan persekutuan dan negeri sejak 1963 dan soroti gerak laku mereka sehingga sekarang. Datuk Karim Ghani (31 Julai 2010) berkata bahawa penghakisan terhadap 20P adalah secara evolusi dan sulit untuk dibetulkan lagi kerana telah "bersebati" dalam bentuk akta/polisi/dasar yang turut disokong dan diundi oleh kepimpinan Sabah. Akhirnya, jangan buat-buat lupa bahawa mungkin anda pernah mengundi pemimpin yang telah menyokong mana-mana polisi/akta/dasar yang berkaitan.

P/S : Pisang Tidak Akan Berbuah Dua Kali