Pengikut

29 November 2008

CATATAN DARI SEMENANJUNG

Bertemu kembali..sekembali dari trip misi di semenanjung fizikal dan mental terasa sangat letih. Mengemudi rombongan seramai 16 orang yang majoriti belum pernah menjejakkan kaki di sana bermula dari Johor dan berakhir di Penang selama 9 hari memang bukan mudah. Namun saya bersyukur kerana semua program berjaya dilaksanakannya dan mencapai misi lawatan. Telah beberapa kali saya melawat di sana namun lawatan kali ini berbeza kerana dalam rombongan dan melalui beberapa 'stesen' dari selatan sehingga ke utara (Padang Besar). Justeru beberapa catatan 'lamunan' saya di sebalik lawatan ini saya kongsikan kepada anda semua :
  • Secara umunya tahap pembangunan masih jauh ke hadapan..dengan erti kata yang lain Sabah masih jauh ketinggalan. Saya teruja apabila memandu kereta di Penang dan di Lebuhraya menuju ke Padang Besar, Perlis. Kenapa jaringan jalan raya mereka jauh lebih baik? Perjalanan kami ke Genting Highland menjadi mudah kerana mempunyai jalan raya dua lorong? Kenapa jalan raya di Ranau, Tambunan dan tempat lain tidak dibina dua lorong? Beberapa laluan di Sabah sepatutnya dibina sistem jalan raya yang baik seperti dari KK ke Papar, Beaufort, Kota Belud, Kudat, Tuaran?
  • Kundasang jauh lebih cantik berbanding Genting kerana mempunyai daya tarikan yang lebih mantap iaitu Gunung Kinabalu, ladang sayur, ladang teh dan ternakan. Tetapi Genting dibangunkan dengan hebat sekali kerana komitmen kerajaan dan sentuhan dari pihak swasta. Persoalannya? Adakah pemimpin Sabah terlalu bodoh sehingga tidak terfikir tentang hal itu? Adakah tidak ada pihak swasta di Sabah yang mampu menerajui pembangunan pelancongan di Kundasang?
  • Saya berbangga kerana melalui lawatan ini saya menemukan anak Sabah yang berjaya di tempat orang. Di Johor kami dibantu oleh seorang Ketua Siasatan Jenayah JB yang berbangsa Rungus. Di Shah Alam selama 3 malam kami dibantu dari segi pengangkutan dan penginapan oleh seorang peniaga Rungus yang berjaya (semua bantuan ini percuma). Ini membuktikan bahawa di mana sahaja boleh berjaya asalkan ada niat yang diserahkan kepada Tuhan.Kedua mereka berkeluarga dengan salah seorang jemaat PCS Pekan. Terima kasih tagazo sidi kovu....Tuhan memberkati anda, keluarga, pekerjaan dan bisnes.
  • Putrajaya memang sangat cantik dan pembinaannya yang suatu ketika dahulu ditentang oleh segelintir masyarakat sememangnya sangat perlu. Perancangan Tun Dr.Mahathir sangat tepat dan mempunyai nilai ekonomi yang tersirat.
  • Perkembangan gereja PCS di semenanjung sangat menakjubkan dan layak dibanggai. Kami melawat gereja PCS di Melaka, Seremban, Shah Alam dan Butterworth. Perlu satu suntikan strategi, dana dan tenaga yang konsisten kerana ruang pelayanan memang sangat luas. Semoga semua pastor PCS di sana terus setia melayani Tuhan. Kami sempat menyumbang sedikit wang di PCS Melaka. Saya juga diberi ruang berkotbah di PCS Shah Alam.
  • Kami sangat bersyukur kerana selama 3 malam kami di Penang,rakan lama kami Mr Tham Kok Yin menyediakan rumah sebagai penginapan. Ini menjimatkan kos kami. Beberapa ahli rombongan sangat teruja kerana mengenali seorang peribadi dari negeri dan bangsa lain namun melayan kami dengan ikhlas. Semua ini kerana pengenalan akan Kristus menjadikan kasih Agape mengalir dari hati beliau.
  • Saya dan 2 org rakan dari rombongan sempat memandu kereta ke Padang Besar, Perlis yang terkenal dengan harga barang yang murah. Inilah pertama kali saya sampai di sempadan Thailand. Waw...memang fantastik ! harga barangan seperti jersi, beg, kasut, dan pakaian sangat murah. Sebelum sampai di Padang Besar, laluan perjalanan melewati ladang tebu yang sangat besar (saya anggar sekitar 20 km persegi) di Chuping. Di tengah- tengah ladang tebu ialah Kilang Gula.
  • Ole-ole kami untuk jemaat kami ialah sebuah keyboard dan peralatan muzik dan P.A.System yang harganya jauh lebih murah.

Sesungguhnya trip misi kami membawa banyak memori dan pengalaman indah yang baik untuk perancangan masa depan. Membawa rombongan seramai 16 orang dengan jarak yang jauh dan melalui banyak stesen membolehkan kita mengenali sikap seseorang dengan lebih dekat. Namun pada masa yang sama pergaulan selama 9 hari membina hubungan yang mesra sehingga teguran membina boleh dibuat tanpa halangan. Saya melihat perubahan positif di kalangan beberapa peribadi. Pada akhir lawatan ramai peserta sepakat untuk memohon pasport dan mewujudkan tabung lawatan. Ke mana agaknya kami melawat tahun depan ?

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Haiya! Kenapa tidak cari saya? :)
Anyway, sebelum terlupa, Selamat Menyambut Kedatangan Yesus Juruselamat Kita! Blessed Christmas and Happy New Year. Semoga anda sekeluarga (dan semua jemaat di PCS Pekan Pitas) diberkati damai sejahtera dan sukacita seperti yang diberitakan oleh malaikat lebih dari 2000 tahun dahulu, terutamanya di dalam zaman sekarang yang penuh dengan ketakutan dan kemurungan. God bless!