Pengikut

11 November 2008

BLOG : MENJANA MASSA

Mutakhir ini blog tumbuh seperti cendawan selepas hujan. Pelbagai lapisan masyarakat 'membuka' blog dengan pelbagai tujuan dan kreativiti. Saya juga melayari beberapa blog yang diwujudkan khusus untuk Pitas dan tidak kurang juga yang 'terserempak' dgn blog saya. Saya bersyukur kerana sejak 23 Mac lalu, blog saya mencapai hits yang membanggakan. Ini merupakan dorongan dan sokongan kepada saya untuk meluaskan lagi lingkup penulisan dan isu dalam blog ini. Dalam pada itu saya juga menerima banyak respon dan cadangan yang membina untuk meningkatkan kualiti blog dan saya teruja dengan cadangan popular agar saya memisahkan isu yang saya ketengahkan demi memenuhi keperluan pembaca. Maksudnya ialah 'mereka' mencadangkan agar isu/berita tentang gereja/pelayanan dikhususkan dalam satu blog dan blog Gerbang Pitas hanya untuk isu umum. Memang tidak dinafikan gerbang pitas banyak menumpukan isu/berita tentang gereja/pelayanan walaupun pada masa yang sama saya juga menulis tentang isu politik, kepimpinan, sosial, sukan dan sebagainya.
Di samping menghormati cadangan 'kalian' saya juga memang telah lama merancang sedemikian. Justeru selewat-lewatnya pada awal Disember saya akan membuka satu blog khusus untuk isu/berita/pandangan saya yang berkaitan gereja/organisasi Kristian dan pelayanan yang berkaitan. Saya masih merenungkan nama yang sesuai untuk blog ini (tolong cadangkan nama). Sementara itu Gerbang Pitas akan saya teruskan sebagai wadah saya memaparkan berita, kupasan dan cadangan tentang pelbagai isu di pelbagai peringkat namun pastinya pemberatan untuk Pitas.
Dalam pada itu saya harus profesional dan bertanggungjawab dengan semua yang dipaparkan dalam blog saya. Justeru, saya meneruskan pendirian saya selari dengan pendirian majoriti blogger di Malaysia, iaitu :
  1. Saya mendedahkan diri saya sebagai pemilik blog (bertanggungjawab dengan semua paparan saya).
  2. Atas prinsip profesional, saya akur bahawa semua paparan terdedah dan terikat dengan semua akta perundangan seperti ISA dan OSA.
  3. Membuka ruang pendapat/pandangan kepada 'yang tidak mahu dikenali' dengan tahap tapisan yang minima (setakat ini belum ada pendapat yang saya tidak paparkan)
  4. Memaparkan berita/maklumat dan kupasan setelah ada bukti dan keyakinan bahawa sahih dan boleh dipercayai.
  5. Memaparkan berita/maklumat dan kupasan yang saya anggap bermanfaat kepada masyarakat, walaupun hanya untuk kelompok minoriti.

Ada juga pemilik blog yang 'menyembunyikan' identiti diri. Biasanya mereka ini menulis umpama 'melempar batu sembunyi tangan' dengan maksud yang hanya peribadi tersebut yang tahu. Namun bagi saya, blog adalah medium yang harus digunakan dengan positif untuk menjana massa. Falsafah Pendidikan berhasrat mengeluarkan modal insan yang berketrampilan dan boleh memberikan pendapat. Sayangnya kerajaan Malaysia belum sampai di tahap yang memberikan ruang sepenuhnya kepada rakyat memberikan pendapat. Semua media perdana telah diolah supaya hanya menyiarkan berita yang pro kerajaan. Justeru blog adalah wadah yang tepat. Namun bukanlah bermaksud kita bebas mutlak sehingga harus memfitnah atau membuat andaian negatif apatah lagi menyentuh peribadi seseorang. Bagi saya..menulis blog adalah satu 'kepuasan ilmiah' saya. Terima kasih...

Tiada ulasan: