Pengikut

31 Ogos 2008

KEMERDEKAAN 31 OGOS : MALAYSIA LAHIR DARI SEKOLAH MISSION

Baru-baru ini Bishop Vun (Bishop Anglikan Sabah) mengeluarkan kenyataan merayu agar kerajaan menyalurkan peruntukan yang mencukupi untuk pembangunan dan pemuliharaan bangunan-bangunan sekolah mission di Sabah yang uzur. Sejak saya menjadi Pengerusi PGKS dan duduk dalam mesyuarat Majlis Gereja-Gereja Sabah, isu ini kerap dibincang.Tiap tahun mengadakan perbincangan dengan Menteri Pelajaran bahkan Perdana Menteri, namun realitinya kerajaan tetap memandang dengan sebelah mata. Jika dibanding dengan peruntukan untuk sekolah kebangsaan, seperti langit dengan bumi bezanya. Pengalaman saya mengajar di SM Lok Yuk Kudat, antara sekolah mission membuktikan betapa daifnya bangunan yang ada. Namun yang ironinya sekolah mission merupakan sekolah multi racial dan telah membuktikan pencapaian yang jauh lebih baik. Kebetulan sempena hari kemerdekaan, Datuk Kadir A.Jasin dalam blognya http://kadirjasin.blogspot.com/ menulis tentang kewibawaan sekolah mission. Saya siarkan sebahagian daripada tulisan beliau .
Baru-baru saya berpeluang berbual dengan beberapa orang kakitangan muda sebuah masjid di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Saya bercakap mengenai kedaifan orang Islam/Melayu di Malaysia jika dibandingkan dengan kaum dan penganut agama lain.Mereka bukan sahaja setuju malah mahu terus berbincang. Ertinya ada kemahuan untuk mendalami ilmu dan maklumat tetapi kurang kesempatan dan kurabg sumber maklumat.Saya belajar di sekolah Kristian Roman Katolik (Saint Michael School, Alor Star selama lapan tahun). Saya kagum dengan peranan paderi dalam sistem mubaligh mereka.Mereka tidak pilih bulu. Mereka mendekati murid semua bangsa dan agama. Yang mereka tidak buat hanyalah mencabar akidah murid-murid Islam kerana tidak dibenarkan Perlembagaan.Bagaimanapun banyak juga murid Melayu mengambil mata pelajaran “scripture” iaitu pengetahuan mengenai agama Kristian dan lulus di peringkat Overseas School Certificate (Sijil Pelajaran Seberang Laut).Saya sendiri terlebih dahulu membaca terjemahan Kitab Injil dalam bahasa Inggeris daripada terjemahan Al-Quran dalam bahasa Inggeris dan Melayu. Ini adakah kerana ramai kawan-kawan beragama Kristian membawa Kitab Injil ke sekolah.Kalau seseorang murid itu miskin atau lembap, tidak kira dia Melayu, Cina, India atau Siam, dia akan dibantu secara kewangan, bimbingan dan sokongan moral.Waktu itu kami kena bayar yuran RM15 sebulan. Pada tahun 1950an dan 1960s, jumlah itu sangat besar. Kadang-kadang tak cukup duit kerana bukan musim padi atau kerana harga getah jatuh. Kami dibenarkan berhutang dan bayar secara ansuran.Sekolah kami sekolah kayu. Bila musim kemarau tersangat panas. Tempat paling sejuk dan nyaman untuk berteduh adalah di Gereja St Michael. Di situ kami berteduh pada waktu rehat.Dan di tepi pagar gereja itu jugalah kami, murid-murid Islam tingkatan tiga hingga lima, berkumpul setiap Jumaat untuk berbaris ke Masjid Zahir untuk menunaikan solat Jumaat.Ada tidak ada pun hanya beberapa orang sahaja kawan saya berbangsa India dan Cina yang memeluk Kristian. Tidak seorang pun budak Melayu jadi kafir.Apakah kita mempunyai sistem sebegini? Apakah mubaligh Islam mempunyai sistem “outreach” yang melepasi sempadan kaum dan agama? Atau apakah mereka sekadar berdakwah di kalangan umat Islam sahaja.Saya pernah mencadangkan secara lisan dan tulisan kepada pendukung pendidikan negara (termasuk beberapa Menteri Pelajaran) supaya “memartabatkan” pendidikan Islam menggunakan kaedah “outreach” mubaligh Kristian ini.Di sekolah Kristian pada zaman persekolahan saya, mubaligh mereka diberikan taraf yang tinggi. Mereka berfungsi sebagai “spiritual leader”, ketua moral dan disiplin. Malah mereka mengajar beberapa mata pelajaran. Dalam erti kata lain, mereka diberikan tempat dan nama jawatan yang istimewa dan terhormat. Di sekolah saya, ketua paderinya digelar "Brother Supervisor" yang bertindak sebagai penasihat.Cadangan saya pada waktu itu adalah calon guru agama hendaklah di kalangan pelajar cemerlang yang mendapat kelulusan tinggi dalam bahasa Melayu, Inggeris, Arab, matematik dan semua mata pelajaran sains.Di Maktab Perguruan Agama, mereka diajar bukan sahaja mata pelajaran agama malah terus dididik dengan mata pelajaran konvensional ini supaya apabila mereka lulus mereka boleh ajar semua mata pelajaran.Alangkah bangganya kita kalau guru agama kita boleh mengajar atau menjadi guru pengganti matematik, sains dan sejarah misalnya. Malah saya cadangkan agar mereka diberi gelaran yang lebih universal supaya boleh melaksanakan fungsi “outreach.”Saya pasti murid bukan Islam dan ibu bapa mereka pun akan mempunyai tanggapan yang lebih sihat dan terbuka terhadap guru agama. Tidaklah guru agama dikenali sebagai tukang baca doa sahaja.
Masyarakat melihat, menilai dan mengakui peranan sekolah mission sejak dulu. Sempena kemerdekaan ke-51, saya berani mengatakan bahawa MALAYSIA yang ada sekarang lahir dari sekolah-sekolah mission. Justifikasi saya antara lain ialah semua pemimpin dan pejuang kemerdekaan adalah bekas pelajar sekolah mission. Semua negarawan, tokoh-tokoh dan individu berkaliber yang memimpin, mentadbir dan mengisi kemerdekaan lahir dari sekolah mission. Justeru kerajaan seharusnya tidak memandang sebelah mata terhadap rayuan KITA supaya sekolah mission diberikan perhatian sewajarnya, barulah kerajaan yang sekarang diiktiraf JUJUR dan ADIL.

2 ulasan:

Ps.Daniel O. berkata...

Saudara Cikgu Maklin, PCS ada tiga buah sekolah rendah, apa pendapat mu tentang sekolah-sekolah yang didirikan oleh Basel Mision ini untuk PCS..patutkah kita serah ini kepada kerajaan sepenuhnya...? Pada hal disinilah semuanya bermula, pendidikan agama kristian, pendidikan formal dan bangsa kita dapat sedikit menikmati dan mengerti kehadiran Tuhan yang sebenarnya ditengah-tengah kehidupan ini..sekolah kita ini telah menjadi tempat belajar pemimpin-pemimpin masyarakat ini sekarang, demikian juga dengan pegawai-pegawai kerajaan yang ada sekarang ini kebanyakan mereka datangnya dari sekolah-sekolah ini..dan gereja menerima semua pelajarnya tanpa memilih agama, bangsa dan kemampuan, siapa pun boleh belajar..apakah patut sekolah-sekolah PCS perlu perhatian yang sama dari pihak kerajaan untuk penambahbaikan bangunan dan kemudahan pembelajarannya? Terimakasih atas beban mu dalam pelayanan ini, sekolah kita adalah SRK Tinangol, SRK Lodung dan SRK Lajung...semua guru besarnya Kristian, kecuali Tinangol..apa pendapat mu?

rosie_cc berkata...

http://www.youtube.com/watch?v=b3vgdzoKWEI beri komen anda ttg ni..