Pengikut

29 Mei 2010

HAK ASASI RAKYAT : BERFIKIR

Salah satu pengisian umum dalam kurikulum pendidikan negara sejak era British ialah penerapan kemahiran berfikir yang mana kini lebih dikenali sebagai Kemahiran Berfikir secara Kritis dan Kreatif (KBKK). Proses pengajaran pembelajaran telah "mewajibkan" agar unsur KBKK diterapkan secara holistik dalam semua mata pelajaran bahkan dalam kokurikulum. KBKK dianggap 'kurikulum tersembunyi" tetapi harus diterapkan mengikut subjek, sukatan, strategi, teknik dan kemahiran pelajar. Ini dipanggil penerapan secara penyebatian. Unsur KBKK juga diterapkan secara terpisah, iaitu diajar secara berasingan dengan bidang ilmu mata pelajaran. Guru juga kena memastikan agar enam aplikasi/aras pemikiran diterapkan secara berperingkat mengikut kesesuaian iaitu Pengetahuan, Kefahaman, Aplikasi, Analisis, Sintesis dan Penilaian.
Secara umumnya saya percaya kita faham apa justifikasi unsur KBKK diutamakan dalam kurikulum pendidikan negara. Sememangnya mahu melahirkan masyarakat yang bukan sahaja boleh berfikir, malah boleh menggunakan kemahiran berfikir untuk mencapai matlamat hidup, keluarga dan negara. Kemahiran berfikir secara kritis dan kreatif merupakan aset bernilai terhadap seseorang individu yang membolehkannya merancang dan membuat keputusan dengan bijak. Dalam sudut lain, KBKK membawa kepada sesuatu inovasi dan kreativiti sama ada dari segi alat, teknologi, perkhidmatan dan sebagainya. Tidak hairanlah kenapa negara-negara maju seperti USA, Korea, Jepun, Eropah (moden) dan sebagainya sentiasa tidak sunyi dengan inovasi dan kreativiti yang lahir dari proses R &D kerana unsur KBKK yang mereka terapkan dalam sistem pendidikan sangat solid dan fleksibel.
Mungkin ada pengunjung blog ini yg tertanya-tanya apa relevan saya menulis sesuatu yang agak berbeza kali ini. Saya tidak berniat menulis lebih lanjut tentang KBKK. Cukuplah dengan apa yang dikaji semasa dalam pengajian IPT dulu tentang KBKK. Tetapi saya mahu mengaitkannya dengan fenomena yang agak songsang di negara kita Malaysia. Sejauhmanakah unsur KBKK yang diajar di sekolah benar-benar boleh "digunapakai" oleh produk dari sistem pendidikan kita? Hal-hal ini sering berlegar dalam fikiran saya :-
  • Sejauhmanakah buku-buku teks/rujukan. khususnya subjek Sejarah ditulis secara neutral dan bebas dari pemikiran kumpulan tertentu, khususnya politik tertentu? Bebaskah seorang guru sejarah mengetengahkan fakta sejarah yang sebenar (berdasarkan kajian ilmiahnya sendiri) dan mencabar aplikasi pemikiran pelajar. Bukankah ini adalah satu unsur KBKK di aras Analisis?
  • Banyak subjek seperti BM, P.Am, Sastera bahkan Geografi yang menyentuh isu semasa. Kita telah dibataskan dengan sekatan untuk mengupas isu-isu tertentu dan tidakkah ini membantutkan KBKK di kalangan pelajar?
  • Dalam konteks politik (umum),seolah-olah wujud satu mekanisme bahawa kalau ada pemikiran yang tidak sealiran dengan arus politik perdana, itu dianggap jahat
  • Di peringkat universiti sebagai pentas terakhir seorang pelajar sebelum memasuki pasaran kerjaya dan menjadi sebahagian dari komuniti masyarakat, pelbagai sekatan dikenakan bagi membatasi pemikiran para mahasiswa.
Banyak yang berlegar dalam pemikiran ini. Anda digalakkan berfikir tetapi hanya dalam satu aliran sahaja dan diluar dari kerangka pemikiran itu dianggap berhaluan kiri dan perosak masyarakat !!!. Saya tidak mengimpikan sebuah negara yang sempurna dan ideal tetapi rindu melihat pelaksanaan segala sistem dilakukan dengan jujur dan bebas dari agenda politik murahan. Sebagai contohnya, kalau tidak mengundi parti X, segala bantuan akan ditarik balik!!! Apakah bentuk pemikiran yang mau diterapkan dengan situasi seperti ini? Parti dan kerajaan adalah dua instrumen yang berbeza (dalam konteks perlembagaan),Ini yang diajar di sekolah. Segala bantuan yang diterima adalah wang rakyat dan kerajaan semasa hanyalah "pemegang amanah" terhdp wang tersebut. Ini yang diajar dalam mata pelajaran ekonomi atau perdagangan. Jadi kenapa ada pemikiran songsang yang mau diterapkan ? Untuk apalah subjek tertentu dan KBKK di ajar kalau ada akidah pemikiran lain sonsang dan kalau kita cuba mengetengahkan fakta yang sebenar maka kita dianggap anti kerajaan.
Saya teringat kata-kata pujangga bahawa pemerintah yang terlalu mengongkong pemikiran rakyat suatu masa akan menghadapi masalah. Saya fikir kaedah ini bukanlah jalan selamat secara jangka panjang apatah kalau kadar buta huruf semakin zero dan celik ilmu pula semakin meningkat. Bagi anda yang bergelar "pejuang politik", jadilah pemain politik yang sihat dan matang. Janalah pemikiran rakyat secara ilmiah dan jangan terapkan polisi kepartian yang songsang. Harapan saya juga agar unsur KBKK dalam kurikulum pendidikan benar-benar menjana pemikiran rakyat secara ideal dan bukan sekadar mahu "menternak" pemikiran rakyat.

P/S : semasa saya menyiapkan entri ini, bekalan elektrik terputus 5 KALI untuk hari ini sahaja. Tahniah SESB...Anda mampu mengubahnya !!!

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

satu situasi.. Komunis Malaya. satu sudut pandang antara 0.01-360: PKM merupakan mereka yg menumpahkan darah untuk menuntut kemerdeekaan... tetapi PKM tidak mendapat kredit dlm perjuangan mereka dalm penulisan teks sejarah . tetapi fakta, mereka rela mengadai nyawa demi mencapai kemerdekaan. itu la ada berpendapat bahawa british takut dgn PKM (Komunis cuba menguasai asia- beberapa negara jatuh ke fahaman komunis) lalu bg kemerdekaan melalui perikatan.. jd, ada anggapan kemerdekaan bukan kerana perikatan yg berjuang tetapi PKM yg berjuang mati-matian.. idea songsang oleh pasok momogun