Pengikut

27 Mac 2010

BEKERJA UNTUK RAKYAT PITAS

Hari ini, 27 Mac 2010, New Sabah Times memaparkan berita upacara mengangkat sumpah ahli-ahli majlis Daerah Kota Marudu sesi 2010-2012. YB Datuk Maximus dalam ucapannya mengatakan bahawa upacara tersebut amat bersejarah kerana buat pertama kali Kota Marudu membentuk ahli majlis daerah "sendiri" tanpa memasukkan Pitas kerana Pitas secara rasmi sudah menjadi daerah penuh pada tahun ini (pengumuman tahun lalu). Ini melengkapkan "cerita" dan "hampir" mengesahkan bahawa Pitas kini menjadi majlis daerah penuh. Tahniah dengan perkembangan ini. Tahniah Pitas ! Kerana beberapa daerah lain masih berjuang mendapatkan status majlis penuh seperti Telupid dan Pensiangan.
Ini bermaksud pada masa terdekat ini, kita akan melihat satu barisan ahli-ahli majlis daerah Pitas. Kerajaan Tempatan merupakan salah satu topik dalam subjek Pengajian Am yang saya ajar sejak 2003 dan tidaklah terlalu asing untuk kita mengetahui sejarah,konsep dan tujuan pewujudan sebuah kerajaan tempatan. Saya hanya berkongsi satu hal iaitu kriteria pemilihan sebagai ahli majlis yang terdapat dalam Akta Kerajaan Tempatan 1976, 171 (10)(2) yang berbunyi "Anggota Majlis pihak berkuasa tempatan hendaklah dilantik dari antara orang yang bilangan terbesar daripada mereka hendaklah orang yang biasanya bermastautin dalam kawasan pihak berkuasa tempatan itu dan yang pada pendapat Pihak Berkuasa Negerimempunyai pengalaman luas dalam hal ehwal kerajaan tempatan atau yang telah memperoleh kejayaan terpuji dalam sesuatu profesion, perdagangan atau perindustrian, ataupun yang mempunyai kebolehan untuk mewakili kepentingan komuniti mereka dalam kawasan pihakberkuasa tempatan itu"
Berdasarkan akta ini,kriteria itu agak umum dan lebih merujuk kepada "kebolehan individu" menjadi rakan sekerja dalam pembangunan sesebuah bandar. Pembangunan itu merujuk kepada fizikal, kebersihan, lanskap, ekonomi, susunatur, keceriaan dan sebagainya. Namun nampaknya akta ini nampaknya bukan lagi kriteria utama untuk melantik seseorang menjadi ahli majlis daerah. Kini kuota dalam majlis daerah banyak merujuk kepada pembahagian berdasarkan parti komponen BN tanpa mengira kelayakan akademik, tahap profesion mahu pun setakat mana pengaruh atau kewibawaannya diakui oleh komuniti setempat. Amalan ini sudah terbukti sejak sekian lama aacapkali kita meneliti senarai ahli majlis daerah di mana sahaja. Bagaimanakah keadaannya di Pitas kelak? Pastinya senarai itu sudah ada dan sebagai "pasukan" yang pertama wujud di Pitas, kita tidak sabar melihat siapakah yang bakal terpilih.
Semoga siapapun yang terpilih, kejujuran, kebolehan dan kepakaran menjadi aset utama dalam setiap diri mereka. Saya tidak kisah adakah itu 100% mewakili parti asalkan mahu dan boleh buat kerja dengan baik. Sebagai ahli majlis daerah yang PERTAMA ditubuhkan di Pitas, harapan masyarakat sangat tinggi terhadap team ini untuk melihat kebolehan dan kemampuan mereka merencanakan strategi pembangunan holistik untuk daerah Pitas, khususnya yang termasuk dalam lingkungan percukaian. Siapapun mereka, kita sokong dan beri mereka peluang untuk membuktikan bahawa perlantikan mereka tidak silap dengan memperlihatkan mutu kerja yang berdaya saing dengan semangat kecintaan yang tinggi untuk Rakyat Pitas.

Tiada ulasan: