Pengikut

23 Ogos 2009

PITAS TIADA IKAN


Pitas tiada ikan???Mana boleh...Pitas mempunyai kawasan lautan yang luas, sebanding daerah Kudat dan Kota Marudu. Pitas juga mempunyai kelebihan dengan anugerah Sungai Bengkoka. Tidaklah logik kalau Pitas tidak ada bekalan ikan. Bahkan sejak puluhan tahun lalu, masyarakat luar sudah menggelarkan Pitas sebagai 'syurga ikan dan udang'. Ini membuktikan bahawa Pitas memang mempunyai sumber dan bekalan ikan yang mencukupi. Jadi, adakah tajuk post ini salah?
Perhatikan gambar di atas. Gambar tersebut merupakan pasar ikan di Pekan Pitas. Nampak dengan jelas, pasar tersebut lengang. Tidak ada bekalan ikan. Pemandangan ini bukan sahaja pada waktu gambar ini diambil malah orang ramai mengakui bahawa pasar tersebut lengang sepanjang minggu. Kemanakah perginya ikan-ikan di Pitas?
Yang menghairankan, kalaupun ada ikan yang dijual, penjual ikan mengakui bahawa bekalan ikan adalah dari Kudat. Jadi adakah Pitas sudah kehabisan ikan? Ini benar-benar membingungkan orang ramai. Majoriti pengunjung yang ditemui meluahkan rasa kesal dengan kekurangan bekalan ikan di Pekan Pitas. Malahan ramai yang kecewa kerana terpaksa mencari ikan sehingga ke Pinggan-Pinggan. (Itupun kebanyakan bekalan dari Kudat).
Gerbangpitas difahamkan bahawa dana kerajaan untuk memajukan projek perikanan di Pitas agak banyak. Projek BAGANG yang popular di beberapa kampung dilaksanakan dalam 2 fasa dan kedua-dua fasa menelan belanja hampir RM2.5 juta. Begitu juga dengan bantuan kerajaan melalui Jabatan Perikanan iaitu bantuan bot, enjin sangkut,pukat dan sebagainya. Setiap tahun ada sahaja majlis penyampaian bantuan. Semua ini membuktikan bahawa kerajaan prihatin membantu masyarakat. Namun persoalan, setelah begitu banyak wang rakyat dibelanjakan, kenapakah bekalan ikan di Pitas (Pekan Pitas) masih kurang? Apakah projek-projek perikanan tersebut gagal? Adakah bekalan ikan hasil daripada projek tersebut dimonopoli oleh orang tengah? Banyak persoalan yang berlegar-legar di fikiran rakyat.
Umumnya, berdasarkan dapatan gerbangpitas, semua orang mendesak agar pihak berwajib menjalankan kajian terhadap situasi ini. Satu mekanisme haruslah dirangka bagi memastikan bekalan ikan di Pitas sentiasa terjamin dan memenuhi keperluan pengguna. Janganlah projek-projek yang menelan jutaan ringgit hanya sekadar "menyusukan kera di hutan"

Tiada ulasan: