Pengikut

23 Ogos 2009

PITAS TIADA IKAN


Pitas tiada ikan???Mana boleh...Pitas mempunyai kawasan lautan yang luas, sebanding daerah Kudat dan Kota Marudu. Pitas juga mempunyai kelebihan dengan anugerah Sungai Bengkoka. Tidaklah logik kalau Pitas tidak ada bekalan ikan. Bahkan sejak puluhan tahun lalu, masyarakat luar sudah menggelarkan Pitas sebagai 'syurga ikan dan udang'. Ini membuktikan bahawa Pitas memang mempunyai sumber dan bekalan ikan yang mencukupi. Jadi, adakah tajuk post ini salah?
Perhatikan gambar di atas. Gambar tersebut merupakan pasar ikan di Pekan Pitas. Nampak dengan jelas, pasar tersebut lengang. Tidak ada bekalan ikan. Pemandangan ini bukan sahaja pada waktu gambar ini diambil malah orang ramai mengakui bahawa pasar tersebut lengang sepanjang minggu. Kemanakah perginya ikan-ikan di Pitas?
Yang menghairankan, kalaupun ada ikan yang dijual, penjual ikan mengakui bahawa bekalan ikan adalah dari Kudat. Jadi adakah Pitas sudah kehabisan ikan? Ini benar-benar membingungkan orang ramai. Majoriti pengunjung yang ditemui meluahkan rasa kesal dengan kekurangan bekalan ikan di Pekan Pitas. Malahan ramai yang kecewa kerana terpaksa mencari ikan sehingga ke Pinggan-Pinggan. (Itupun kebanyakan bekalan dari Kudat).
Gerbangpitas difahamkan bahawa dana kerajaan untuk memajukan projek perikanan di Pitas agak banyak. Projek BAGANG yang popular di beberapa kampung dilaksanakan dalam 2 fasa dan kedua-dua fasa menelan belanja hampir RM2.5 juta. Begitu juga dengan bantuan kerajaan melalui Jabatan Perikanan iaitu bantuan bot, enjin sangkut,pukat dan sebagainya. Setiap tahun ada sahaja majlis penyampaian bantuan. Semua ini membuktikan bahawa kerajaan prihatin membantu masyarakat. Namun persoalan, setelah begitu banyak wang rakyat dibelanjakan, kenapakah bekalan ikan di Pitas (Pekan Pitas) masih kurang? Apakah projek-projek perikanan tersebut gagal? Adakah bekalan ikan hasil daripada projek tersebut dimonopoli oleh orang tengah? Banyak persoalan yang berlegar-legar di fikiran rakyat.
Umumnya, berdasarkan dapatan gerbangpitas, semua orang mendesak agar pihak berwajib menjalankan kajian terhadap situasi ini. Satu mekanisme haruslah dirangka bagi memastikan bekalan ikan di Pitas sentiasa terjamin dan memenuhi keperluan pengguna. Janganlah projek-projek yang menelan jutaan ringgit hanya sekadar "menyusukan kera di hutan"

11 Ogos 2009

TELAGA JUARA, PITAS BANGGA









Bermutu, tegang dan menghiburkan. Inilah ungkapan yang tepat mengambarkan suasana perlawanan akhir pertandingan bola sepak piala ADUN Pitas, YB Bolkiah Hj Ismail petang tadi. Perlawanan yang menemukan dua musuh tradisi iaitu Telaga FC menentang Kalumpang FC berlangsung dalam suasana yang menepati selera peminat bola sepak Pitas. Setelah sekian lama tidak ada kejohanan seumpama dianjurkan, kehadiran peminat yang dianggarkan hampir 3000 ribu orang membuktikan kerinduan yang terpendam sejak sekian lama. Pasukan Telaga FC yang diterajui oleh Mokhtar Dayoh (bekas pemain Sabah) dan beberapa lagi pemain ternama sememangnya pasukan pilihan namun tidak kurang juga hebatnya pasukan Kalumpang FC yang dipimpin oleh Romzi Musa (juga bekas pemain Sabah) dan beberapa lagi pemain handalan. Sejak wisel permulaan ditiup, kedua-dua pasukan bermain dengan agresif dan menunjukkan kesungguhan untuk menang. Setelah terikat 1-1, Telaga FC meledakkan jaringan di minit akhir masa tambahan. Telaga FC sekali lagi mengungguli bola sepak daerah Pitas.
Saya secara peribadi berasa gembira dengan penganjuran seumpama ini kerana membuktikan bahawa Pitas tidak ketandusan bakat dalam bola sepak. Dalam final ini misalnya, selain Mokhtar Dayoh (rakan sekelas dulu) dan Romzi Musa, difahamkan beberapa lagi pemain khususnya dari Telaga merupakan pemain negeri Sabah dan remaja Malaysia. Ini merupakan satu kebanggaan kita bersama. Di peringkat sekolah menengah juga, beberapa pemain dari Pitas terpilih sehingga ke peringkat kebangsaan, misalnya Mohd Hatta, pemain SMK Pitas. Justeru, penganjuran ini adalah usaha yang perlu diterus. Usaha YB Bolkiah menghidupkan semula penganjuran ini patut dipuji dan disokong. Harapan kita agar komitmen YB Bolkiah dalam hal ini berterusan.
Akhirnya..bersama ribuan orang menyaksikan perlawanan ini adalah situasi yang menyenangkan. Pastinya semua ini membuktikan bahawa Pitas Boleh. Jumpa lagi tahun depan untuk edisi bola kedua. Kalau ada peluang..mungkinkah saya mengendali sebuah team pada tahun hadapan...dengan nama Gerbang Pitas?

02 Ogos 2009

SKOR A : Sasaran Kami

Tarikh 31 Julai - 2 Ogos 2009 merupakan catatan sejarah bagi Pejabat Pelajaran Pitas apabila buat pertama kalinya Perkampungan SKOR A Pengajian Am telah diadakan di SMK Pitas. Peserta yang terdiri daripada pelajar Pra-U dari SMK Pinggan-Pinggan (40 orang) dan 82 orang dari SMK Pitas telah berkampung selama 2 malam. Selaku pengerusi SAGA Daerah bagi subjek Pengajian Am, bersama rakan-rakan guru subjek Pengajian Am, kami telah merancang dan melaksanakan beberapa pengisian dalam perkampungan ini iaitu Amazing Race, Bahas ala Parlimen, Ceramah Skor A, Kuiz Kenegaraan dan Motivasi. Kami telah "menerbangkan" seorang penceramah khas dari KL, iaitu En.Amat Tarop, seorang pemeriksa kertas Pengajian Am selama 10 tahun. Di samping memberikan teknik menjawab, beliau juga memberikan bayangan isu-isu yang perlu ditekankan dalam peperiksaan.
Selaku pengerusi penganjur, saya mengucapkan terima kasih dengan sokongan penuh yang diberikan olen En.Halim Bidin selaku Pegawai Pelajaran Daerah Pitas. Beliau bukan menyokong dari segi idea dan kewangan bahkan sanggupa datang merasmikan penutupan walaupun beliau menetap di Kota Marudu dan acara diadakan di Pitas pada hujung minggu. Juga kepada semua rakan guru yang bertungkus lumus menjayakan perkampungan ini. Sekarang terpulanglah kepada pelajar untuk mengaplikasikan segala ilmu, maklumat dan kemahiran yang diperoleh sepanjang perkampungan ini. Berpaksikan Lagu Gemilang (Ella) yang menjadi lagu tema perkampungan, semoga ada kegemilangan yang dicipta demi diri, sekolah dan Pitas. Seorang yang cemerlang sesungguhnya berjiwa Pencipta Kejayaan.