Pengikut

25 Mac 2009

PEMIMPIN MESTI OPTIMIS

Beberapa hari lalu, Adun N.3 Pitas, YB Bolkiah Ismail dalam kenyataan medianya berkata bahawa kemajuan dan pembangunan Pitas akan bertambah rancak dalam tempoh 2 tahun dari sekarang. Seperti pemimpin politik yang lain, janji dan harapan sudah menjadi sinonim dalam jiwa mereka tetapi bagi saya kenyataan beliau ini mempunyai signifikan yang tersendiri bagi daerah Pitas. Kenapa? Kerana bagi saya inilah BUAT PERTAMA kali seorang pemimpin politik Pitas BERANI menyatakan harapan yang bernada optimis terhadap Pitas. Tidakkah kita sedar bahawa membuat kenyataan seumpama ini amat "berisiko" bagi sebuah daerah Pitas yang digelar daerah termiskin di Malaysia apatah lagi tempoh yang beliau gariskan amat singkat iaitu hanya 2 tahun.
Beberapa tahun lalu, MP Marudu, YB Datuk Dr Maximus juga mengeluarkan kenyataan bernada harapan bahawa selewat-lewatnya menjelang 2012, Kota Marudu akan keluar dari paras kemiskinan tegar. YB Lim Guan Eng pula sewaktu mengambilalih tampuk pentadbiran Pulau Pinang juga memberikan tempoh setahun untuk pembasmian kemiskinan tegar yang masih wujud secara selective di Pulau Pinang.
Kini YB Pitas membuat kenyataan yang senada dan ini menimbulkan pelbagai respon masyarakat Pitas. Asas kenyataan beliau ialah dengan kelulusan peruntukan jalan raya bernilai RM50 juta yang melibatkan beberapa jalan utama yang kritikal di Pitas. Sememangnya kemudahan jalan raya adalah asas kepada kemajuan dan pembangunan. Jaringan jalan raya yang baik membolehkan mobilasi masyarakat berjalan lancar yang memudahkan segala perancangan pembangunan.
Salah satu ciri kepimpinan ialah haruslah optimis dalam mengharapkan sesuatu penambahbaikan dan kemajuan organisasi atau masyarakat. Dalam hal ini saya mengalu-alukan kenyataan berani YB Bolkiah. Pastinya beliau telah melihat ke depan akan daerah Pitas. Soal tercapai atau tidak adalah perkara kedua. Perkara utama ialah beliau telah menunjukkan teladan sebagai pemimpin yang optimis yang menjadi suntikan motivasi kepada masyarakat Pitas. Harapan dan janji seperti ini pastinya memerlukan usaha dan kerja keras berterusan dan ini juga memerlukan kerjasama erat agensi kerajaan dan semua lapisan masyarakat di Pitas. Saya percaya bahawa beliau memahami apakah kesan apabila mengeluarkan kenyataan sedemikian dan saya juga yakin beliau tahu bagaimana menjadikan kenyataan itu menjadi kenyataan.

1 ulasan:

CamRy berkata...

uncle...mom pun suda start blogging...