Pengikut

03 Julai 2008

NIAT KE DEPAN, LANGKAH KE BELAKANG

Mungkin anda tertanya-tanya makna di sebalik tajuk posting saya ini. Dengan rasminya undian persepsi tentang kenaikan minyak telah saya tutup 2 hari lalu yang memperlihatkan 67% memperlihatkan rasa kecewa dan geram dengan langkah kerajaan menaikkan minyak. Saya sudah kehilangan kata-kata azimat untuk meluahkan perasaan terhadap sikap kerajaan yang telah membutakan hati dan mata mereka terhadap rintihan masyarakat bawahan yang benar-benar terhimpit dengan masalah kenaikan kos hidup. Ada 2 isu yang perlu kita selalu ingat. Pertama, bahawa menjelang 2020 Malaysia akan menjadi sebuah negara maju dengan acuan sendiri. Kedua, menjelang 2010 TIDAK AKAN ADA LAGI kemiskinan tegar di Malaysia. Bagi pendapat anda...sejauhmanakah anda yakin dengan wawasan kerajaan ini. Saya muatkan 2 tulisan ilmiah yang sangat menyentuh hati saya yang ditulis dua tokoh akademik yang tidak perlu diperkenalkan lagi.
Oleh Datuk A.Kadir Jasin “Harga Minyak Malaysia Kini Antara Yang Termahal”
PADA hari Sabtu, 7 Jun, akhbar The Star menyiarkan berita bertajuk “PM: Get true picture of global oil price hikes” (PM: Dapatkan gambaran sebenar mengenai kenaikan global harga minyak.)Kata Abdullah Ahmad Badawi beliau berharap rakyat jelata memperoleh maklumat yang betul agar dapat memahami apa yang sedang dihadapi negara.Setiap orang daripada kita, kata Perdana Menteri, mempunyai peranan dan tanggungjawab masing-masing di dalam keadaan yang mencabar ini.“Dengan itu, marilah kita menghadapi bersama cabaran ini dengan daya tahan demi kebaikan negara dan generasi akan datang.”Tetapi rata-rata, reaksi rakyat jelata boleh disimpulkan begini -- peranan kerajaan menarik balik subsidi minyak dan menaikkan harga minyak. tanggungjawab kami adalah menganggung bebannya.Mengambil ilham daripada seruan Perdana Menteri itu, saya melayari Internet untuk “mendapatkan gambaran sebenar” mengenai kenaikan 41 peratus harga minyak itu.Sekarang fahamlah saya bahawa akibat kenaikan harga sebanyak 78 sen seliter pada tengah malam Rabu lalu itu, harga petrol kini RM2.70 seliter atau RM10.20 segelen Amerika (US gallon). Dalam Dolar Amerika, ia bersamaan AS$3.12 segelen (AS$0.82 seliter).(Saya terpaksa mengubah kepada gelen dan Dolar Amerika kerana perangkaan global menggunakan ukuran gelen dan Dolar Amerika. Segelen Amerika bersamaan 3.785 liter. Kadar tukaran adalah RM3.27 kepada satu Dolar Amerika.)Pada kadar AS$3.12 segelen, harga petrol di Malaysia adalah lebih murah daripada di Amerika Syarikat di mana harganya melepasi AS$4.00 (RM13.08) segelen.Tetapi kita kena ingat Amerika jauh lebih kaya daripada kita. Mengikut Buku Fakta (Fact Book) Agensi Perisikan Pusat (CIA) Amerika, pendapatan purata berdasarkan pariti kuasa membeli (purchasing power parity) rakyat Amerika adalah AS$46,000 tahun lalu.Dalam bahasa yang mudah, jika pendapatan dibahagikan sama rata, setiap orang penduduk Amerika mempunyai kuasa membeli bernilai AS$46,000 berbanding kita sebanyak AS$14,400.Itu pun bukan semua rakyat Malaysia mempunyai kuasa membeli sebanyak AS$14,400. Hanya segelintir sahaja yang mempunyai kuasa membeli sebesar itu.Majoritinya adalah berpendapatan sederhana dan rendah. Mereka inilah yang paling teruk menderita akibat kenaikan harga barang dan perkhidmatan yang akan dicetuskan oleh kenaikan harga minyak.Segelen minyak berharga AS$4.00 bagi penduduk Amerika adalah “murah” kerana pendapatan dan kuasa membeli mereka tinggi. Manakala pada kadar AS$3.12 segelen bagi penduduk Malaysia adalah “mahal” kerana pendapatan kita rendah.Pendapatan penduduk Amerika lebih tiga kali ganda daripada pendapatan penduduk Malaysia. Lagipun Amerika adalah negara pengimport bersih minyak manakala kita adalah negara pengeksport. Maksudnya kita mengeksport lebih banyak minyak mentah daripada mengimport.Para pembesar kita sering mengatakan harga minyak petrol lebih mahal di Singapura. Betul. Harga segelen petrol di Singapura, mengikut laman web Shell Singapura, adalah sekitar AS$6.28 segelen.Tetapi pendapatan per kapita PPP enduduk Singapura adalah AS$48,900 atau 3.4 kali ganda lebih tinggi daripada pendapatan per kapita PPP kita. Lagipun Singapura negara kecil, pengangkutan awamnya bagus, tambangnya berpatutan dan Singapura tidak ada setitik minyak pun .Selain itu mereka ada “pilihan”. Mereka boleh menyeberang ke Johor untuk membeli petrol. Bagi membeli segelen di Malaysia mereka hanya perlu membelanjakan sekitar S$2.63 atau AS$1.92 kerana nilai duit mereka lebih tinggi daripada ringgit Malaysia (RM1 bersamaan 42 sen Singapura.)Tetapi akibat dasar “flip-flop” kerajaan kita – sekejap tidak boleh dijual kepada orang asing dan sekejap boleh -- enduduk Singapura yang berkali-kali ganda lebih kaya daripada kita menikmati durian runtuh setiap kali mengisi minyak di Malaysia.Rakyat rasa tertipu dan keliru. Pada 3 Jun Menteri Perdagangan Dalam Negara dan Hal Ehwal Pengguna Shahrir Abdul Samad berkata harga minyak hanya akan naik pada bulan Ogos.Susah kita hendak faham. Berita ini tersebar satu dunia. Jadi Shahrir cakap karut atau memang harga akan naik hanya pada bulan Ogos tapi entah macam mana bos dia naikkan harga lebih awal.Jadi saya nak tanyalah sikit. Shahrir tidak hadir mesyuarat Kabinet kah? Tidak masuk akal kalau Kabinet tidak dibawa berunding mengenai keputusan menarik balik subsidi dan menaikkan harga minyak yang sangat berat kesannya kepada rakyat jelata.Atau (atau) Shahrir cuba memberi amaran bahawa kerajaan akan menaikkan harga minyak sekali lagi Ogos ini?Satu lagi tabiat buruk sesetengah pembesar kita adalah kecenderungan mereka membandingkan Malaysia dengan negara-nagara yang lebih miskin dan lebih undur.Kalau kita hendak banding negara kita dengan negara-negara miskin, tidak perlulah kita bersusah payah hendak menjadi negara maju. Kita jadi sajalah macam negara-negara miskin yang kucar-kacir dan rakyat jelatanya menderita.Perdana Menteri bercakap mengenai kebajikan generasi akan datang. Apakah prospek mereka jikalau hari ini pun mereka tidak cukup makan, tidak cukup pakai dan tidak cukup persekolahan kerana kos sara hidup dan inflasi yang tidak terkawal?Jadi itulah lebih kurang kefahaman saya setelah membuat sedikit kajian seperti yang disarankan oleh Perdana Menteri ketika berucap sempena Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara Sabtu lalu.Kesimpulannya, harga minyak petrol (dan juga diesel) di negara kita kini adalah antara yang termahal di dunia berasaskan pariti kuasa membeli (purchasing power parity).Ia semestinyalah akan memberi kesan yang luas terhadap kuasa membeli dan inflasi serta prestasi ekonomi keseluruhannya.

Memastikan Khazanah Minyak Kita Tidak Akan Jadi Bahan Sumpahan Oleh M.Bakri Musa
Oleh kerana Malaysia terpaksa menamat ataupun sekurang-kurangnya mengurangkan subsidi petroleum, adalah berguna kalau kita pelajari beberapa pengalaman negara pengeluar minyak yang lain. Terdapat pengajaran di dunia hari ini bagaimana kita harus menguruskan minyak pemberian Allah yang sungguh berharga itu. Kalau dilakukan secara berhemah, seperti di Alberta (Kanada) dan Norway, ia tentu membawa keamanan dan kekayaan. Apa juga yang kurang daripada itu akan menjadi satu sialan, kekayaan baru itu akan membiak korupsi dan merobek serat sosioekonomi, seperti yang berlaku di Iraq dan Nigeria pada hari ini. Saya lebih suka kalau Malaysia memilih dan meniru model Alberta dan Norway. Malaysia harus meniru Kanada dan Norway dan menghapuskan segala subsidi petroleum. Ini akan menggalakkan usaha penjimatan. Ia juga akan menggalakkan rakyat Malaysia menerima hakikat ekonomi berbanding diberikan perlindungan daripadanya. Untuk membolehkan langkah besar itu diterima-pakai, kerajaan mesti menyalurkan segala penjimatan kepada satu dana amanah untuk kegunaan generasi masa hadapan ketika minyak sudah kering-kontang, dan menggunakan hanya sedikit peruntukan untuk kegunaan semasa bagi memberikan subsidi terhadap gas memasak untuk golongan miskin dan pengendali kenderaan awam.
Pengalaman Norway dan Alberta
Norway merupakan sebidang tanah besar yang lebih luas daripada Malaysia tetapi mempunyai penduduk hanya dua kali ganda jumlah penduduk Perak. Hasil pendapatan daripada minyak Norway telah disalurkan kepada sebuah dana amanah untuk digunakan oleh generasi masa depan. Tujuannya ialah menentukan segala kekayaan baru itu tidak merungkai serat sosial dan ekonomi masyarakat ‘Norwegian’. Tidak pun berlaku inflasi mendadak seperti yang terjadi di Nigeria dan rakyat Norway tidak menjadi golongan konsumer yang pemalas gara-gara kekayaan hasil minyak seperti yang terjadi pada orang Arab.
Rakyat Norway membayar harga yang sama mengikut pasaran dunia di stesen minyak mereka, yang kini adalah bersamaan RM7 setiap liter, yakni hampir tiga kali ganda harga di Malaysia. Salah satu kesan tindakan itu menunjukkan walaupun Norway merupakan sebuah negara yang mempunyai pendapatan per kapita yang tertinggi, pemilikan kereta di kalangan rakyat negara itu kekal menjadi salah satu negara yang paling minima di Eropah. Mereka menganggap sesebuah kereta itu hanya sebagai alat pengangkutan, dan bukan lambang kemewahan untuk bermegah-megah. Semua orang tahu mereka memang sudah kaya-raya, jadi mereka tidak perlu memperagakannya. Lagi pun, kereta yang mundar-mandir di jalan raya Oslo adalah kebanyakannya kereta yang menjimatkan minyak seperti Volkswagen dan bukannya kereta mewah seperti Mercedes. Malahan sudah wujud cukai yang tinggi terhadap kereta yang kuat menggunakan minyak. Antara beberapa kesan positif ialah wujudnya jalan raya yang tidak sesak dan kurang pencemaran udaranya. Hari ini, ‘The Norwegian Petroleum Trust’ merupakan dana berdaulat yang nombor dua besarnya di dunia ini. Setakat ini simpanannya sudah melebihi 500 bilion dollar Amerika. Apabila telaga minyak Norway menjadi kering, seperti yang dijangkakan, rakyat Norway masih mampu menikmati gaya hidup yang sama seperti sekarang kerana pendapatan dan segala keuntungan Dana Amanah itu akan menjaga keperluan kewangan negara hingga akhir hayat nanti. Seperti orang lain, rakyat Norway tidak suka membayar harga yang tinggi untuk minyak ataupun untuk apa sahaja yang lain. Namun, mereka merelakan diri berbuat demikian kerana mereka nampak faedah langsung daripada dasar yang murni itu. Penduduk Alberta turut membayar mengikut harga pasaran dunia untuk bahan tenaga mereka, sedangkan kerajaan mereka menyalurkan hasil berlebihan ke dalam Tabung ‘Heritage Fund’. Berbeza dengan orang Norway yang melabur dalam pasaran saham global, penduduk Alberta melabur dalam pembiayaan sekolah, universiti dan hospital. Kesannya seperti yang dicatatkan dalam (majalah) Economist dan daripada pengalaman peribadi saya sendiri, Alberta merupakan satu-satunya tempat di dunia ini di mana golongan kaya menghantar anak-anak mereka belajar di sekolah awam. Universiti Alberta yang secara kebetulan merupakan bekas tempat pengajian (alma mater) saya, kini dianggap sebagai salah sebuah universiti yang terunggul di dunia, hasil sumbangan dana daripada Heritage Fund.
Tabung Amanah Petroleum Malaysia.
Malaysia boleh mencontohi model Norway dan Alberta dan melakukan pembaikannya. Kita mesti bertindak menghapuskan segala bentuk subsidi ke atas bahan tenaga, dan melakukannya secara bertahap dan terancang, mungkin untuk beberapa tahun. Ini mesti disokong oleh satu rencana yang jitu untuk melindungi golongan miskin. Sebagai contoh, mesti wujud subsidi untuk gas memasak bagi golongan miskin, dan hanya untuk mereka sahaja. Adalah mudah untuk kita membuat anggaran keperluan setiap keluarga yang miskin, dan menghadkan subsidi ataupun grant terus hanya untuk jumlah itu sahaja, dan tidak lebih daripada itu. Tentulah tidak sukar untuk merencana program meringankan kemiskinan dengan ketirisan yang minimum. Kita boleh gunakan sebagai model rencana itu dengan menciplak program ‘food-stamps’ kelolaan Amerika. Begitulah juga, kita harus memberikan subsidi dan menggalakkan pengangkutan awam. Di British Columbia, pemegang pas (tiket) bermusim (tidak kira miskin ataupun kaya) untuk kenderaan awam mendapat rebat daripada kerajaan. Banyak faedahnya rencana ini, kerana tanpa menggunakan kereta sendiri untuk berulang-alik, udara kurang dicemari dan jalan raya kurang sesak, dan kurang memerlukan penyelenggaraan. Wang yang dijimatkan daripada penghapusan subsidi harus disalurkan kepada sebuah dana Wawasan Petroleum yang khas. Dana pokoknya harus dilabur di pasaran tempatan dalam pelbagai bentuk portfolio termasuk saham, bon, hartanah, dan modal teroka perniagaan (venture capital). Dana itu mestilah bersikap ‘passive investor’ dengan tumpuan semata-mata untuk meraih keuntungan.
Rakyat Norway menghadkan pemilikan dalam mana-mana syarikat tidak lebih daripada lima peratus. Ini bermakna mereka melabur hanya untuk potensi keuntungan dan bukan untuk menguasai syarikat itu ataupun pengurusannya. Oleh kerana dasar inilah yang tidak serupa dengan dana negara berdaulat yang lain (seperti Temasek Singapura dan banyak dana negara China) orang Norway merupakan pelabur yang amat diingini. Seperti dengan Alberta Heritage Fund, pendapatan daripada Malaysia Petroleum Fund itu harus digunakan untuk menaik-taraf sekolah dan universiti kita dan juga memberikan kemudahan perumahan yang mampu disenangi oleh rakyat serta kemudahan kesihatan yang moden. Kalau modal pokok (corpus) mesti dilaburkan dalam negara sendiri, pendapatannya pun mesti dibelanjakan di dalam negara juga. Apabila ketiadaan biasiswa untuk menghantar pelajar ke luar negara, sebaliknya wang yang ada dibelanjakan untuk menaik-taraf universiti tempatan supaya dapat memberikan faedah untuk dinikmati sebanyak pelajar yang ada. Kini, wujud di Malaysia pelbagai bentuk tabung amanah, daripada Tabung Haji kepada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja. Sudah menjadi lazim, dana itu kerap digunakan sebagai sumber dana yang mudah untuk mereka yang ada hubung-kait dengan orang politik. Lagi pun, dana demikian bukannya diuruskan dengan baik. Untuk memastikan kejayaan, Dana Petroleum mesti diuruskan secara professional dan tidak ada gangguan politik dalamnya. Ini merupakan petua yang ketat tetapi mudah dicapai. Ini bermakna lembaga pengurusan mestilah diwakili secara meluasnya termasuk nomini daripada parti politik pembangkang dan NGO. Ketiadaan anggota semacam ini akan menyebabkan idea ini tidak mudah dipersetujui.
Merenung dua tulisan ini...selayaknya negara kita berlagak seperti tajuk tulisan saya.

2 ulasan:

PERONDA SABAH berkata...

Secara jujurnya....saya kurang pasti urusniaga minyak ....tapi kesimpulnnya...kalau minyak naik..semua harga barang naik..... TQ

The Momogun berkata...

BN = Barang Naik....

ya kah?