Pengikut

12 Mei 2008

KOTOBIAN KOKOTUAN

Bertemu kembali..... Bulan Mei adalah bulan Kaamatan bagi negeri Sabah. Seluruh pelusuk negeri, sambutan Kaamatan diadakan di pelbagai peringkat dan semua lapisan kaum. Walaupun Kaamatan sinonim dengan masyarakat Dusun/Kadazan, namun kini semua lapisan kaum turut merayakan kaamatan. Saya sertakan prolog kaamatan yang saya sediakan semasa saya menjadi Pengerusi Unduk Ngadau Kaamatan Daerah Pitas tahun 2004 tentang latar belakang kaamatan sebagai imbasan kita semua.
PROLOG KAAMATAN : Perayaan Kaamatan merupakan perayaan kebudayaan tahunan oleh masyarakat Kadazandusun dan amat sinonim dengan masyarakat petani, sebagai satu acara kesyukuran terhadap penghasilan padi pada tahun semasa. Idea untuk mengadakan sambutan ini mula dicetuskan oleh mendiang Orang Kaya Kaya (OKK) Sodomon selaku Ketua Anak Negeri Keningau pada tahun 1956. Selepas itu, semua ketua-ketua suku Kadazandusun dari pelbagai daerah mula menunjukkan respon positif dan perayaan di peringkat negeri pertama kali diadakan pada 30 Jun – 1 Julai 1960 di Padang SM St.Michael, Penampang. Selepas sekian lama, pada tahun 1986, Kadazandusun Cultural Assocation (KDCA) memutuskan bahawa tarikh perayaan kaamatan ditetapkan pada 30-31 Mei dan pelancaran perayaan pada 1 Mei.
Perayaan kaamatan mempunyai 2 unsur utama yang merupakan nadi dan identiti perayaan ini. Unsur pertama atau identiti utama ialah pemujaan semangat padi, yang dikenali sebagai Magavau (restoration ceremony). Masyarakat Kadazandusun mempercayai bahawa padi mempunyai ‘semangat’ yang dikenali sebagai Bambarayon. Kepercayaan ini timbul ekoran cerita lagenda tentang Kinoringan (tuhan) yang mengorbankan anak perempuannya yang tunggal iaitu Huminodun, yang telah dibunuh, dibelah 7 dan ditanam. Kemudian tumbuhlah pokok padi yang membolehkan manusia boleh hidup. Mitos ini telah menjadi lagenda masyarakat Kadazandusun turun temurun yang menyebabkan timbulnya kepercayaan terhadap semangat padi serta keajaiban angka 7. Pemujaan ini dikendalikan oleh Bobolian, yang dikatakan mempunyai kemampuan berkomunikasi dengan alam ghaib. Upacara magavau yang sinonim dengan istilah moginakan, secara simboliknya bertujuan berterima kasih, memohon kemaafan (sekiranya ada padi/beras yang disia-siakan) serta harapan agar hasil padi pada masa akan datang lebih baik.
Ratu Kaamatan atau Unduk Ngadau juga merupakan identiti perayaan Kaamatan. Selari dengan upacara Magavau yang timbul ekoran kepercayaan terhadap Bambarayon, maka Unduk Ngadau tidak dapat dipisahkan dalam perayaan ini. Pertandingan ini adalah bagi mengingati lagenda Huminodun, yang telah dikorbankan oleh Kinoringan demi manusia di muka bumi. Huminodun dibelah 7, ditanam dan kemudian tumbuhlah pokok padi, yang menjadi makanan ruji hampir seluruh dunia. Itulah sebabnya angka 7 dianggap angka keramat bagi Kadazandusun, bahkan kini wujud 7 istilah bagi padi iaitu Som-puun, Son-guas, Son-rawoh, Son-gi-ih, Son-wawar, Som-putul dan Som-bilod. Simboliknya, Unduk Ngadau yang diambil dari perkataan Tunduk do Tadau mencerminkan gadis Kadazandusun yang lemah lembut tetapi tegas/berani, berketrampilan, berpendirian dan berperanan dengan baik dalam masyarakat.
Kini, setelah hampir 50 tahun Kaamatan dirayakan secara rasmi, sambutan ini telah menghadapi beberapa penyesuaian dengan pengisian acara seperti Sugandoi, Tarian Tradisi, Sukan Tradisi, Pameran dan sebagainya bagi menjadikan lebih menarik dan ‘sosial’. Dalam konteks negara, sejak tahun 2001, Kaamatan telah disambut di peringkat kebangsaan, yang merupakan pengiktirafan terhadap Kadazandusun secara menyeluruh. Cabaran utama Kaamatan pada masa kini ialah dengan wujudnya unsur-unsur commercialitation, iaitu motivasi Kaamatan yang salah . KDCA berketetapan bahawa Kaamatan kini telah menjadi ‘milik’ masyarakat Malaysia, tetapi haruslah dengan motivasi yang ikhlas, berpaksikan semangat Kinoringan dan Huminodun.
Sejak 2004, saya mulai berehat dalam aktiviti penganjuran kaamatan secara langsung. Kedudukan saya dalam KDCA di peringkat daerah dan pusat melayakkan saya untuk terlibat sepenuhnya namun atas pertimbangan peribadi, eloklah semua orang diberikan peluang melibatkan diri. Kemungkinan pada masa akan datang saya merancang pelaksanaan sambutan kaamatan ini dalam konteks gereja. Pada zaman Orang Israel, Tuhan telah menetapkan perayaan musim panen (pengucapan syukur) kerana berkat Tuhan ke atas tanaman mereka sehingga membuahkan hasil. Sudah tiba masanya masyarakat benar-benar menyatakan ucap syukur dan terima kasih kepada Tuhan pencipta, pemilik, penjaga dan pemegang autoriti terhadap dunia ini.

2 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

kenapa tiada unduk ngadau dari pitas utk state level kaamatan?

Nikh J berkata...

Bagus ni cikgu klu buat pesta kaamatan dlm konteks gereja.. sya sokong!!