Pengikut

31 Ogos 2008

KEMERDEKAAN 31 OGOS : MALAYSIA LAHIR DARI SEKOLAH MISSION

Baru-baru ini Bishop Vun (Bishop Anglikan Sabah) mengeluarkan kenyataan merayu agar kerajaan menyalurkan peruntukan yang mencukupi untuk pembangunan dan pemuliharaan bangunan-bangunan sekolah mission di Sabah yang uzur. Sejak saya menjadi Pengerusi PGKS dan duduk dalam mesyuarat Majlis Gereja-Gereja Sabah, isu ini kerap dibincang.Tiap tahun mengadakan perbincangan dengan Menteri Pelajaran bahkan Perdana Menteri, namun realitinya kerajaan tetap memandang dengan sebelah mata. Jika dibanding dengan peruntukan untuk sekolah kebangsaan, seperti langit dengan bumi bezanya. Pengalaman saya mengajar di SM Lok Yuk Kudat, antara sekolah mission membuktikan betapa daifnya bangunan yang ada. Namun yang ironinya sekolah mission merupakan sekolah multi racial dan telah membuktikan pencapaian yang jauh lebih baik. Kebetulan sempena hari kemerdekaan, Datuk Kadir A.Jasin dalam blognya http://kadirjasin.blogspot.com/ menulis tentang kewibawaan sekolah mission. Saya siarkan sebahagian daripada tulisan beliau .
Baru-baru saya berpeluang berbual dengan beberapa orang kakitangan muda sebuah masjid di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Saya bercakap mengenai kedaifan orang Islam/Melayu di Malaysia jika dibandingkan dengan kaum dan penganut agama lain.Mereka bukan sahaja setuju malah mahu terus berbincang. Ertinya ada kemahuan untuk mendalami ilmu dan maklumat tetapi kurang kesempatan dan kurabg sumber maklumat.Saya belajar di sekolah Kristian Roman Katolik (Saint Michael School, Alor Star selama lapan tahun). Saya kagum dengan peranan paderi dalam sistem mubaligh mereka.Mereka tidak pilih bulu. Mereka mendekati murid semua bangsa dan agama. Yang mereka tidak buat hanyalah mencabar akidah murid-murid Islam kerana tidak dibenarkan Perlembagaan.Bagaimanapun banyak juga murid Melayu mengambil mata pelajaran “scripture” iaitu pengetahuan mengenai agama Kristian dan lulus di peringkat Overseas School Certificate (Sijil Pelajaran Seberang Laut).Saya sendiri terlebih dahulu membaca terjemahan Kitab Injil dalam bahasa Inggeris daripada terjemahan Al-Quran dalam bahasa Inggeris dan Melayu. Ini adakah kerana ramai kawan-kawan beragama Kristian membawa Kitab Injil ke sekolah.Kalau seseorang murid itu miskin atau lembap, tidak kira dia Melayu, Cina, India atau Siam, dia akan dibantu secara kewangan, bimbingan dan sokongan moral.Waktu itu kami kena bayar yuran RM15 sebulan. Pada tahun 1950an dan 1960s, jumlah itu sangat besar. Kadang-kadang tak cukup duit kerana bukan musim padi atau kerana harga getah jatuh. Kami dibenarkan berhutang dan bayar secara ansuran.Sekolah kami sekolah kayu. Bila musim kemarau tersangat panas. Tempat paling sejuk dan nyaman untuk berteduh adalah di Gereja St Michael. Di situ kami berteduh pada waktu rehat.Dan di tepi pagar gereja itu jugalah kami, murid-murid Islam tingkatan tiga hingga lima, berkumpul setiap Jumaat untuk berbaris ke Masjid Zahir untuk menunaikan solat Jumaat.Ada tidak ada pun hanya beberapa orang sahaja kawan saya berbangsa India dan Cina yang memeluk Kristian. Tidak seorang pun budak Melayu jadi kafir.Apakah kita mempunyai sistem sebegini? Apakah mubaligh Islam mempunyai sistem “outreach” yang melepasi sempadan kaum dan agama? Atau apakah mereka sekadar berdakwah di kalangan umat Islam sahaja.Saya pernah mencadangkan secara lisan dan tulisan kepada pendukung pendidikan negara (termasuk beberapa Menteri Pelajaran) supaya “memartabatkan” pendidikan Islam menggunakan kaedah “outreach” mubaligh Kristian ini.Di sekolah Kristian pada zaman persekolahan saya, mubaligh mereka diberikan taraf yang tinggi. Mereka berfungsi sebagai “spiritual leader”, ketua moral dan disiplin. Malah mereka mengajar beberapa mata pelajaran. Dalam erti kata lain, mereka diberikan tempat dan nama jawatan yang istimewa dan terhormat. Di sekolah saya, ketua paderinya digelar "Brother Supervisor" yang bertindak sebagai penasihat.Cadangan saya pada waktu itu adalah calon guru agama hendaklah di kalangan pelajar cemerlang yang mendapat kelulusan tinggi dalam bahasa Melayu, Inggeris, Arab, matematik dan semua mata pelajaran sains.Di Maktab Perguruan Agama, mereka diajar bukan sahaja mata pelajaran agama malah terus dididik dengan mata pelajaran konvensional ini supaya apabila mereka lulus mereka boleh ajar semua mata pelajaran.Alangkah bangganya kita kalau guru agama kita boleh mengajar atau menjadi guru pengganti matematik, sains dan sejarah misalnya. Malah saya cadangkan agar mereka diberi gelaran yang lebih universal supaya boleh melaksanakan fungsi “outreach.”Saya pasti murid bukan Islam dan ibu bapa mereka pun akan mempunyai tanggapan yang lebih sihat dan terbuka terhadap guru agama. Tidaklah guru agama dikenali sebagai tukang baca doa sahaja.
Masyarakat melihat, menilai dan mengakui peranan sekolah mission sejak dulu. Sempena kemerdekaan ke-51, saya berani mengatakan bahawa MALAYSIA yang ada sekarang lahir dari sekolah-sekolah mission. Justifikasi saya antara lain ialah semua pemimpin dan pejuang kemerdekaan adalah bekas pelajar sekolah mission. Semua negarawan, tokoh-tokoh dan individu berkaliber yang memimpin, mentadbir dan mengisi kemerdekaan lahir dari sekolah mission. Justeru kerajaan seharusnya tidak memandang sebelah mata terhadap rayuan KITA supaya sekolah mission diberikan perhatian sewajarnya, barulah kerajaan yang sekarang diiktiraf JUJUR dan ADIL.

29 Ogos 2008

TINDAKAN SONGSANG LAHIR DARI HATI YANG SONGSANG

Sejak beberapa hari ini banyak pihak,parti politik dan pengendali web dan blog mengecam tindakan kerajaan mengharamkan Web Malaysia Today. Menteri Dalam Negeri, Datuk Syed Hamid Albar mempertahankan tindakan ini dengan alasan bahawa web ini menyiarkan tulisan berunsur fitnah. Web ini mulai disekat pada 26 Ogos lalu khususnya kepada pengguna yang menggunakan talian telekom namun masih boleh dilayari dari pelayar luar negeri. Raja Petra menyediakan alamat alternatif iaitu http://mt.harapanmalaysia.com/2008/ namun tidak pasti sampai bila boleh bertahan. Kecaman terbaru disuarakan sendiri oleh Tun Dr Mahathir dengan berkata bahawa tindakan ini mencabuli jaminan kerajaan kepada Koridor Raya Multimedia pada pertengahan 90-an bahawa kerajaan tidak menapis internet apatah lagi menghalang akses dan mengharamkan. Saya antara pelayar tetap Malaysia Today sejak 5 tahun yang lalu dan web ini banyak membuka minda saya dalam semua aspek seperti penguasaan isu global, maklumat terkini, kupasan isu yang tajam dan keberanian. Jsuteru tindakan kerajaan ini mengundang persepsi saya dalam beberapa sudut :

  • Langkah kerajaan ini songsang dengan Falsafah Pendidikan Negara yang mahu melahirkan human capital yang berfikiran matang dan global.
  • Langkah kerajaan ini songsang dengan Dasar Telekomunikasi Negara yang memberi jaminan terhadap ketepatan dan kebebasan aliran maklumat.
  • Langkah kerajaan ini songsang dengan kewujudan Akta Hasutan dan Akta Mesin Cetak yang membolehkan pendakwaan kepada penulis yang memfitnah.

Tindakan kerajaan ini adalah sangat desperado dan boleh makan tuan....

22 Ogos 2008

PELAYANAN DI KG MARINGGAN, PITAS

22 Ogos lalu, saya diundang menyampaikan ceramah dalam penyegaran iman Parokhi Liu Malubang yang diadakan di Kg Maringgan, Pitas. Kesempatan yang Tuhan berikan ini sangat indah kerana telah lama hajat untuk mengunjungi jemaat Tuhan di kawasan Utara Pitas (Tip Of Borneo Ke-2) dan pada masa yang sama saya belum pernah sampai di kawasan tersebut. Kg Maringgan terletak di sebelah barat semenanjung Pitas. Perjalanan saya bersama rakan cikgu Anan mengambil masa 50 minit dari simpang Kg Bongkol kerana jalan yang kurang baik. Ceramah saya bermula jam 3.00 dan pemerhatian pertama saya ialah persekitaran gereja tersebut harus dibersihkan. Saya juga difahamkan status tanah gereja belum dipastikan. Ceramah yang saya sampaikan berkisar tentang peranan belia dalam gereja.Saya membawa jemaat mengimbau gerakan beberapa kelompok belia PCS sekitar awal 90-an yang kurang diterima oleh pemimpin. Walaupun menghadapi banyak tentangan, para belia terus setia mengerjakan pelayanan. Namun agak menghairankan jika dibandingkan dengan suasana sekarang. Dalam keadaan di mana kepimpinan gereja mulai terbuka, gerakan belia mulai kendur. Kenapa? Kerana kelompok belia waktu itu benar-benar mengalami kebangunan rohani. Walaupun menghadapi rintangan, mereka tetap setia dan kerja keras kerana dalam hati mereka melakukan untuk YESUS. Sayangnya api kebangunan rohani tidak berterusan.Sebab itu saya pernah berkongsi dalam retret belia pusat di PLA beberapa tahun lalu bahawa api ini mesti tidak padam. Kepimpinan belia mesti meneruskan gerakan yang membangun membakar hati belia. Saya juga berkongsi visi mandiri dan misioner. Misi gereja ialah satu gereja satu jemaat. Justeru semua jemaat mesti merancang program sebagai persiapan menjadi gereja pengeluar atau 'pengeksport' pelayan dan bukan sekadar penerima. Saya yakin dorongan saya kepada belia dan jemaat Maringgan diteruskan lagi oleh penceramah ke-2 iaitu cikgu Jasman.
Sebenarnya saya dan cikgu Anan bertolak awal dari Pitas menuju ke Maringgan. Sebelum kami singgah ke Kg Maringgan, kami meneruskan perjalanan ke Tip Of Borneo Ke-2. Dari Simpang Kg Maringgan perjalanan sekitar 30 miniti kerana kami menggunakan jalan pintas melalui ladang sawit seluas 3000 ekar milik orang Cina dari Sarawak. Saya terpegun dengan keindahan pantai yang meliputi Kg Noruntung dan Kg Dundulit. Di depan kami kelihatan Pulau Banggi dan di sebelah kanan kelihatan Pulau Malawali dan Pulau Mandi Darah. Kawasan ini sememangnya kawasan 'lost world' Pitas suatu masa dulu. Terkenal dengan kehadiran lanun-lanun yang ganas. Namun penduduk Kg Noruntung (100% Ubian/Suluk) menyambut kami dengan mesra.Mereka menawarkan perkhidmatan memancing dan perahu ke Pulau Banggi (Bot laju mengambil masa 20 minit). Kami mencari lokasi cantik di atas bukit menikmati bekalan makanan sambil menikmati panorama top Borneo, Pitas.
Simpang Mengayau di Kudat telah diakui sebagai Tip Of Borneo namun ramai juga yang berpendapat bahawa Tip Of Borneo yang sebenar ialah di Pitas. Saya kurang pasti tentang hal itu tetapi menjejakkan kaki di sana dan membandingkan dengan lokasi di Kudat, hati kecil saya berkata bahawa yang real adalah di Pitas. Pulau Banggi sangat jelas dan dekat berbanding Simpang Mengayau. Kita orang Pitas perlu 'fight'....haha. Apapun misi kami mencari tanah sbg lokasi retret pasti Tuhan buka jalan. Ada signal yang jelas bahawa Tuhan akan sediakan.

19 Ogos 2008

PELAYANAN SCRIPTURE UNION

Pernahkah anda mendengar Scripture Union? Atau pernahkah anda mengunjungi kedai Pustaka SU di tingkat 2, Wisma Merdeka? Pelayanan Scripture Union, ringkasnya SU sebenarnya sangat bermanfaat kepada gereja khususnya untuk kanak-kanak dan belia. SU yang telah wujud di serata dunia http://www.su-international.org/blue.php?Doo=ContentView&id=677 begitu sinonim dengan pelayanan buku-buku dan penganjuran kem yang sangat interaktif dan berkesan. Majoriti gereja bumiptera (lokal) di Sabah kurang mengenali SU kerana kebanyakan pelayanan SU di Sabah selama ini tertumpu kepada gereja-gereja berbahasa Cina dan Inggeris. Kenapa? Ini kerana semua staf mereka adalah berbangsa Cina. Adakah orang tempatan tidak diberikan peluang? Bukan...pernah beberapa kali diberikan peluang tetapi selalu sahaja gagal menghampiri garis penamat. Ringkasnya..kesetiaan masih menjadi persoalan.
Buat masa sekarang, saya adalah ahli bersekutu SU dan AGM SU Sabah bulan lalu melantik saya sebagai part-time staf dalam bidang pelajar/guru. Jika anda melawat web SU yang tertera anda boleh mengenal lebih dalam tentang SU dan melihat rangkaian pelayanan SU di seluruh dunia, khususnya di Sabah. Anda boleh menghubungi saya untuk sebarang keperluan pelayanan yang diterajui oleh SU.
Apakah suatu masa nanti SU diterajui oleh bumiputera Sabah seperti di Sarawak? Pasti YA.. tetapi harus dibayar dengan kesetiaan dan kejujuran dalam pelayanan.