Pengikut

31 Ogos 2011

MERDEKAKAH KITA?

Antara 'harta' terakhir yang kita perolehi dari British ialah Guthrie. Walaupun bukan justifikasi mutlak penguasaan sepenuhnya terhadap sumber negara tetapi cukup untuk melengkapkan dimensi kemerdekaan Tanah Melayu. Hari ini, Malaya@Tanah Melayu merayakan kemerdekaan ke-54 dan tempiasnya sampai di Sabah Borneo. Apakah makna sebenar kemerdekaan? Saya memahaminya secara mudah iaitu British menyerahkan kembali kuasa kepada rakyat tempatan. Namun setelah mencapai usia sebegini, sejauhmanakah semua lapisan masyarakat menikmati makna kemerdekaan?
Saya masih tertanya-tanya kenapa dan sampai bila sistem kuota digunapakai di negara kita? Kenapa masih ada sistem pengkelasan bangsa, seolah-olah kasta yang tersembunyi? Rakyat peribumi atau orang asal di negara ini masih tergolong dalam kumpulan "kaum-kaum lain". Sistem kuota yang menjurus kepada keistimewaan kepada golongan tertentu walaupun tidak "layak" dari segi merit amat bertentangan dengan makna kemerdekaan. Corak pengambilan sebarang kursus, penempatan ke IPT, biasiswa, komposisi perjawatan, merit jawatan tertinggi dan sebagainya masih menampakkan ketidakadilan. Merdeka kah kita?
Apabila seseorang tidak bersetuju dengan polisi yang tidak adil, maka dianggap perosak kepada perpaduan. Merdeka kah kita? Apabila seseorang menyuarakan pendapat yang senada dengan pembangkang, maka orang itu akan diugut. Merdeka kah kita? Kita masih terikat dengan aliran pemikiran "dari atas ke bawah" iaitu kebanyakan keputusan adalah dari golongan atasan dan jarang sekali suara bawahan atau minoriti di dengar. Merdeka kah kita? Urusan-urusan yang terlalu birokrasi menyulitkan golongan awam. Misalnya permohonan geran tanah, ada yang menunggu sampai mati tapi geran tidak keluar juga. Di sebaliknya ada syarikat yang hanya menunggu dua tahun, geran CL keluar. Merdeka kah kita? Rasuah masih berleluasa yang menyebabkan hanya golongan berduit atau kapitalis yang mampu mendapatkan sesuatu sementara yang miskin terus miskin. Merdeka kah kita?
Kenapa kah kita tidak melihat kemerdekaan dari sudut keadilan sosioekonomi? Tidak hairanlah kalau setiap tahun, persoalan merdeka kah kita terus bergema !

2 ulasan:

Vidic berkata...

Tiada makna merdeka hari ini ... perasaan sedih saja ada bila tarikh 31 ogos menjelang ---

Tanpa Nama berkata...

Tanah Melayu@Malaya, Sabah dan Sarawak harus merayakan hari kemerdekaan secara berasingan iaitu pada hari kemerdekaan masing2. tanah melayu bole terus menyambut 31 ogos (1957), Sabah & Sarawak pada 31/8/1963. 16 Sept 1963 pula harus diraikkan bersama dan boleh terus disebut Hari Malaysia. kerajaan pusat seharusnya tidak boleh terus mewar-warkan bahawa tarikh kemerdekaan negara adalah 31/08/57. Lagu2 dari semenanjung yg menyanjung kemerdakaan malaya juga tidak harus diputarkan utk mengelak kekeliruan terus menerus.