Pengikut

27 Julai 2011

NASIB KITA SELAMA 47 TAHUN

Saya paparkan laporan Berita Harian 16 Julai 2011 berkaitan komposisi kemasukan pelajar ke IPTA tahun ini aliran sains. Perhatikan kedudukan "KAUM-KAUM LAIN" yang asyik terpinggir. Kaum-kaum lain yang dimaksudkan ialah orang asli di Semenanjung dan lebih kurang 60 etnik Sabah dan Sarawak.

Sebanyak 6,294 calon cemerlang ditawarkan untuk mengikuti lapan kursus kompetitif iaitu Perubatan seramai 983 calon (Melayu-581, Cina- 339, India-50 dan kaum-kaum lain-13), Pergigian sebanyak 174 calon (Melayu-91, Cina-77, India-4, kaum-kaum lain-2), Farmasi sebanyak 283 calon (Melayu-151, Cina-125, India-7), Kejuruteraan Kimia sebanyak 919 calon (Melayu-648, Cina-217, India-45, kaum-kaum lain-9).

Kejuruteraan Elektrik & Elektronik sebanyak 1,163 calon (Melayu-923, Cina- 209, India-18, kaum-kaum lain-13), Kejuruteraan Mekanikal sebanyak 1,601 calon (Melayu-1,251, Cina-311, India-20, kaum-kaum lain-19), Undang-undang sebanyak 367 calon (Melayu-221, Cina-105, India-37, kaum-kaum lain- 4) dan Perakaunan sebanyak 804 calon (Melayu-509, Cina-269, India-18, kaum-kaum lain- 8)

Inilah nasib kita selama 47 tahun. Apakah kerana pelajar-pelajar Sabah BODOH dan TIDAK LAYAK atau memang orang Sabah hanya KELAS DUA? Siapakah di sebalik sistem yang tidak adil ini?

20 Julai 2011

PENJAJAHAN KL

Sabah adalah sebuah negara.Ini adakah fakta yang tidak boleh diubah. Apabila disebut negara, maka Sabah harus dilayan sebagai sebuah negara dan bukan sekadar sebuah negeri. Kewujudan 20 perkara dalam Perjanjian Malaysia adalah jaminan autonomi Sabah Sarawak sebagai sebuah negara yang bersetuju membentuk sebuah negara baru. Namun layanan yang Sabah terima indah khabar dari rupa.
Kalau dulu saya paparkan Datuk Masidi Manjun terpaksa menghentak meja bersaing mendapatkan peruntukan. Kini, Pengarah Pelajaran Sabah, Datuk Muhidin turut bersuara. Pengarah mohon agar Arahan Perbendaharan dipatuhi (yang memberi kuasa kepada amaun 500,000.00 ke bawah). Kita betul-betul dilayan seperti orang bodoh sedangkan Sabah menyumbang "wang" yang sangat banyak ke KL dlm bentuk cukai, hasil minyak. Duit kita, hak kita. Jangan jadikan amalan penjajahan minda berterusan. Sabah boleh !

15 Julai 2011

TERIMA KASIH

Sejak akhir-akhir saya jarang update blog ini apatah lagi minggu ini apabila saya terlantar sakit selama 4 hari. Banyak juga isu dan perkembangan yang boleh dikongsi tetapi banyak kekangan. Namun apabila saya membandingkan dengan blog-blog Pitas, saya yakin GerbangPitas ini masih menjadi blog yang kemaskini. Kadangkala saya berasa sangat bersalah apabila tidak dapat mengemaskini blog dalam tempoh yang lama. Tempoh 4 hari pun saya anggap sudah cukup lama. Ini kerana purata kunjungan 30 orang sehari tidak boleh dihampakan. Namun saya perlu berkongsi sesuatu kepada pembaca setia blog ini supaya anda tidak terlalu kecewa kalau blog ini jarang update.
Sebab utama ialah sejak awal Julai, saya banyak menumpukan kerja-kerja lapangan. Sejak dilantik sebagai Penyelaras UBF Pitas, saya mula mengatur jadual melawat ke kampung-kampung untuk roadshow penjelasan UBF. Masa kerjaya memang tidak boleh diganggu.Oleh itu hampir semua masa hujung minggu saya adalah masuk kampung. Selain itu, saya juga menumpukan masa sebagai admin kepada beberapa page Fb yang berorinteasikan transformasi komuniti.
Tidak dinafikan majoriti sekarang lebih terarah kepada fb,twiter,dsbnya.Tidak kurang juga blog yang bertahun tidak update dan terus tutup kedai kerana persaingan ini. Namun sebelum saya ada akaun fb, saya sudah lama memiliki blog dan lebih awal dikenali sebagai blogger.Oleh itu blog ini amat sentimental untuk saya. Terima kasih dengan kesetiaan anda semua.

10 Julai 2011

KEBANGKITAN

Rasanya tak sedap hati kalau tak menyampuk tentang BERSIH 2.0. Demam "warna" yang melanda negara mencapai kemuncaknya semalam apabila hampir 60,000 orang berjalan/berarak secara aman menyatakan bantahan terhadap SPR yang diakui mempunyai banyak kelemahan dan melaksanakan pilihanraya di Malaysia. Polis menyatakan bahawa hanya 6,000 yang hadir. Ketara sangatlah polis ni di pihak siapa. Kalau zaman kuno Neolitik bolehlah tipu tapi zaman sekarang, lebih baik diam-diam. Jutaan manusia menyaksikan rakaman visual boleh menganggar dengan tepat. Itu belum lagi termasuk mereka yang tidak dapat masuk ke KL. Sistem pengangkutan dilumpuhkan. Permit bas digantung, banyak kereta dihalang, sistem LRT yang diprogramkan, tangkapan awal dan banyak lagi mekanisme digunakan untuk menghalang perarakan ini. Namun masyarakat civil berani bergerak.
Keganasan polis juga jelas terserlah.banyak rakaman yang membuktikannya. Ahli parlimen Shah Alam, Datuk Khalid Samad turut tercedera. Kenapa sampai begitu? Saya mula tertanya-tanya siapa sebenarnya yang engkar dengan titah YDPA. Saya memang kurang bersetuju kalau perarakan dijalankan di jalan raya tetapi kenapa permohonan Bersih menggunakan stadium merdeka tidak diluluskan. Bukankah Najib dalam ucapannya sebelum ini berkata "pilihlah mana-mana stadium dan melalaklah sampai malam" tetapi akhirnya tidak pun membenarkan penggunaan stadium negara. Stadium itu milik siapa? dibina dari wang siapa? Kalau konsert artis luar negara boleh diadakan di sana, kenapa rakyat sendiri dihalang menggunakan stadium itu?
Jelasnya kerajaan sudah terang bersuluh lagi. Tujuan sebenar lebih diketahui bahawa memang mahu menghalang Bersih. Menghalang Bersih bermaksud menghalalkan kebobrokan dalam SPR. Kita di Sabah sangat perit melihat gelagat SPR ini. Kes pengundi hantu bermula di Sabah dan sudah bertimbun2 dokumen bukti tetapi SPR diam membisu. Kes pengundi dipindahkan sesuka hati dan persempadanan pilihanraya yang jelas memihak kepada BN. Kalau perarakan dihalang, kita masih ada cara yang paling aman dan bijak iaitu...di kotak undi !

06 Julai 2011

SAYA TIDAK PERCAYA

Isu PTI sudah menjadi ibu kepada segala masalah di Sabah sejak sekian lama. Bilakah masalah ini akan berakhir? Kuasa imigresen yang dahulunya dalam kawalan Sabah melalui 20 perkara kini dibawah Persekutuan dan dengan kebanjiran PTI ini maka kesalahan di tangan siapa? Kawalan dan penguatkuasaan nampak sangat longgar ditambah lagi dengan projek IC Mahathir, benarlah kata Datuk Yong dan Datuk Bakri suatu ketika dahulu bahawa PTI adalah "ibu" kepada segala masalah di Sabah. Entah dah berapa jawatankuasa ditubuhkan tetapi masalah makin kronik. Sehingga tahap ini, saya berpendirian bahawa kerajaan persekutuan telah gagal malahan tidak serius menangani masalah ini. Sekarang menjelang pilihanraya pemutihan kembali diwarwarkan. Program pemutihan ini untuk ke berapa? Cukuplah tu. Saya tidak percaya lagi. Kita kena buat perubahan yang tuntas. Untuk menyelesaikan masalah tidak cukup dengan mencantas dahan tetapi cabutlah akar-akarnya sekali.