Pengikut

08 Ogos 2010

MEMARTABATKAN ORANG ASAL

Pada tahun 1994, Persidangan Agung PBB telah mengambil keputusan untuk merayakan Hari Orang Asal Sedunia pada 9 Ogos setiap tahun. Ini merupakan salah satu daripada pencapaian terbesar dalam penat lelah perjuangan Orang Asal di peringkat tempatan sehinggalah di peringkat antarabangsa dalam memperjuangkan pengikhtirafan identiti tersendiri dan hak kolektif bersama yang tidak boleh dipisahkan daripada Orang Asal. Salah satu lagi pencapaian terbesar bagi golongan masyarakat Orang Asal sedunia ialah apabila Persidangan Agung PBB telah mengadaptasi dan menerima Deklarasi Hak Orang Asal (UNDRIP) pada 13 September 2007.

Deklarasi Hak Orang Asal (UNDRIP) kini merupakan sebahagian daripada perundangan antarabangsa hak asasi manusia. UNDRIP menetapkan piawaian minima bagi pengikhtirafan hak kolektif bersama Orang Asal yang perlu dituruti oleh pihak kerajaan, agensi-agensi PBB, pendana-pendana dan program-program berkaitan dengan Orang Asal. Kerajaan Malaysia telah bersama-sama mempersetujui dan menerima adaptasi Deklarasi Hak Orang Asal (UNDRIP) bersama dengan 143 buah negara yang lain. Ini bermaksud, pihak kerajaan yang telah bersetuju, mempunyai tanggungjawab secara moral dan juga politik, untuk menuruti Deklarasi Hak Orang Asal (UNDRIP), sabagai sebahagian daripada tanggungjawab bersama menghormati hak asasi manusia, bukan sahaja di peringkat kebangsaan tetapi juga di peringkat antarabangsa.

Dalam usaha untuk membina masyarakat yang 'pluralistic', yang berbilang kaum dan agama, golongan masyarakat Orang Asal memainkan peranan yang penting dalam amalan budaya dan tradisi yang dikekalkan sejak bergenerasi lamanya. Adat yang diperturunkan dari Orang Tua diwarisi oleh golongan muda, agar tidak lapuk ditelan zaman dan akan diteruskan ke generasi akan datang. Budaya, tradisi, dan Adat Orang Asal merupakan tunjang bagi identiti dan martabat Orang Asal, yang hidup bersama dalam perkongsian bersama hak kolektif Orang Asal di atas tanah, wilayah dan sumber asli komuniti Orang Asal.

Masyarakat Orang Asal kini menghadapi masalah eksploitasi dan rampasan tanah, wilayah dan sumber asli yang berterusan oleh pihak kerajaan dan syarikat swasta; penindasan budaya melalui pelan-pelan komersil; penafian Izin Makluman Awal, Bebas dan Telus (FPIC) ke atas perkara yang memberi kesan kepada Orang Asal, ini termasuklah pembentukkan perundangan, polisi dan program tanpa melibatkan Orang Asal. Ini menjadi lebih teruk lagi, apabila pelan-pelan pembangunan yang agresif dan rakus tanpa mengira piawaian mapan, telah menceroboh masuk ke kawasan Orang Asal dan telah meninggalkan kesan-kesan buruk kepada pencemaran alam dan kehilangan sumber asli di kawasan itu yang telah sekaligus melupuskan budaya dan tradisi Orang Asal yang telah diamalkan sejak generasi lamanya dalam menjaga kawasan dan sumber asli mereka. Pelan pembangunan tidak lestari/mapan seperti perladangan kelapa sawit besar-besaran, pembinaan projek mega empangan dan termasuk juga skema pembangunan dan dasar ekonomi yang langsung tidak mencerminkan aspirasi Orang Asal, sedang berleluasa dan semakin lama semakin membinasakan alam sekitar dan sumber asli hutan, sungai dan persisiran pantai. Ini sekaligus memusnahkan penerusan amalan budaya dan tradisi Orang Asal yang hidup rapat dan bergantung kepada alam sekeliling dan sumber asli mereka.

Situasi ini telah mengancam kehidupan dan kesinambungan masyarakat Orang Asal. Selagi pihak kerajaan menafikan pengikhtirafan Hak Orang Asal sebagai golongan masyarakat yang mempunyai identiti tersendiri yang perlu hidup dengan hak kolektif bersama – terutamanya sekali ke atas Tanah,Wilayah dan Sumber – ketidakadilan sosial yang sedang berlaku kepada Orang Asal akan bertambah teruk lagi. Oleh itu, ianya merupakan satu tanggungjawab yang penting bagi pihak kerajaan untuk mengambil tindakan terhadap permintaan Orang Asal, mengadakan dialog yang berkesan mengenai pengikhtirafan Orang Asal sebagai golongan masyarakat yang mempunyai identiti tersendiri, dan membina kerjasama dalam mengatasi isu-isu yang berkenaan dengan pihak kerajaan dan juga masyarakat Orang Asal.

Deklarasi Hak Orang Asal (UNDRIP) menyediakan satu rangka kerja yang kritikal dalam membina hubungan yang baik di antara pihak kerajaan dan golongan masyarakat Orang Asal dalam seruan untuk menghormati dan mengamalkan Hak Orang Asal. Ia juga menyediakan langkah-langkah untuk mengatasi konflik di antara pihak kerajaan dan masyarakat Orang Asal dengan cara yang aman dan damai. Adaptasi ataupun penerimaan kerajaan Malaysia terhadap Deklarasi Hak Orang Asal (UNDRIP) sekarang harus diambil tindakan positif, agar menghentikan diskriminasi yang berlaku dan pihak kerajaan harus menghentikan penafian hak ke atas Orang Asal sebagai golongan masyarakat yang mempunyai identiti tersendiri dan hak kolektif bersama.

Apabila kita merayakan Perayaan Hari Orang Asal Sedunia bersama-sama dengan pihak kerajaan, agensi-agensi PBB, pendana tempatan dan juga antarabangsa, kita juga mesti mencari jalan yang bermakna agar hubungan yang terjalin berjangka masa lama, menuju kesedaran hak kolektif bersama Orang Asal yang akan menyumbangkan kepada keamanan, keadilan, kesama-rataan, dan pembangunan yang mapan dan lestari untuk semua.

Sempena Perayaan Hari Orang Asal Sedunia, seruan kepada kesemua saudara-mara dan keluarga Orang Asal seluruh dunia, mari kita bersama-sama kekalkan dan kuatkan perjuangan kita terutamanya sekali di peringkat komuniti, dan meluaskan dan memperkasakan lagi solidariti dan kerjasama di peringkat negara masing-masing dan juga di peringkat benua, dan seterusnya di seluruh dunia, bersama-sama menuju kesedaran dan aspirasi yang sama untuk mengekalkan identiti dan martabat kita sebagai masyarakat Orang Asal!

P/S : Berita dipetik dari blog http://orangasal.blogspot.com/

Tiada ulasan: