Pengikut

01 Ogos 2010

FORMATION of MALAYSIA 63' REVISITED



(LAPORAN TENTANG SEMINAR/FORUM INI DIKUPAS OLEH WEB FREEMALAYSIA DENGAN BEGITU BAIK. SILA LAYARI WEB ITU YANG BOLEH DIAKSES MELALUI BLOG INI.)
31 Julai lalu saya dan beberapa rakan menghadiri Forum seperti tajuk di atas. Forum yang julung kali diadakan mendapat sambutan yang luar biasa. Tempat duduk penuh sesak dan masih ramai yang berdiri. Dianggarkan seramai 500 orang yang hadir, dari pelbagai lapisan masyarakat namun saya perhatikan kebanyakan adalah golongan profesional. Saya melihat forum ini mirip kepada pengkisahan semula sejarah pembentukan Malaysia berdasarkan pengamatan ilmiah, pengalaman dari sumber pertama bahkan dari mereka yang terlibat secara langsung dalam pembentukan Malaysia. Saya tidak rugi menghadiri forum ini. Amat berbaloi ! Dengan barisan pembentang kertas kerja yang berkaliber iaitu Dr.Jefrey Kitingan, Tan Sri Simon Sipaun, Datuk Karim Ghani (salah seorang penterjemah Suruhanjaya Cobbold), Datuk Amar James Wong (perunding utama dari Sarawak), wakil dari British, Brunei, Singapura dan Kalimantan. Turut kelihatan tokoh seperti Datuk Ayub Aman, Datuk Amir Kahar dan ramai lagi.
Saya tidak tahu bagaimana saya melaporkan apa yang saya peroleh dari seminar ini. Terlalu banyak perkara baru berupa fakta sebenar yang tidak dikemukakan sebagai "sejarah" dalam sukatan mata pelajaran sejarah. Mendengar sendiri dari sumber pertama amatlah berharga dan saya bersyukur kerana kapasiti saya sebagai Naib Presiden Blogger Sabah memudahkan saya untuk akses dengan penganjur bagi mendapatkan bahan yang bernilai itu. Dengan pengamatan saya yang terhad, inilah yang mampu saya rumuskan :
1. Sabah tidak ada banyak pilihan dan masa untuk berfikir semasa rundingan.
2. Sabah tidak ramai pemimpin yang berpendidikan dan berkaliber pada waktu itu untuk menjadi badan pemikir untuk rundingan tersebut.
3. Tawaran awal membentuk Malaysia adalah untuk mengimbangi komposisi kaum waktu itu.
4. 20 perkara adalah perjanjian yang mesti dipatuhi dan sebarang pelanggaran adalah mencabuli perjanjian itu.
5. Apa pun yang Sabah suarakan adalah hak sebagai sebuah NEGARA dan bukan sebagai negeri.

Saya sempat mengambil beberapa keping gambar melalui hp, sebab itu tiada kualiti. Antaranya ialah laporan surat khabar selepas pengisytiharan Malaysia yang masih menggunakan gelaran/ panggilan rasmi NEGARA terhadap Sabah. Tidak rugi bertolak seawal 4.30 pagi dan membayar yuran RM50 dengan pengisian seminar yang berskala antarabangsa itu. Medium bahasa Inggeris membatasi pemahaman namun maksud umum masih boleh difahami. Saya teringat beberapa kata-kata hikmat yang menarik untuk direnungkan.

" It is not that I love Malaysia less, it is just I love Sabah more "... Karim Ghani " Kenapakah kita tidak boleh jujur untuk mengakui sejarah sebenar?"....Simon Sipaun

P/S : Anda boleh mengikuti berita lanjut seminar/forum ini di akhbar-akhbar tempatan Sabah bertarikh 1 Ogos 2010.

3 ulasan:

ubi_kayu berkata...

Satu perkembangan yg baik utk Sabah. Kita perlu ada orang-orang seperti ini untuk memperjuangkan hak kita di tanah SABAH. Diharap forum ini ada implikasi yg besar dan bukan setakat medium untuk perkongsian tetapi ada tindakan susulan dengan fakta2 yg baru ini. Pemimpin2 di atas mempunyai kapasiti2 yg besar di pelbagai organisasi yg berpengaruh.Gunakan peluang ini selagi masih belum menjadi bubur. Terima kasih atas penulisan ini. Ia amat bermakna. Saya tidak pernah gembira dengan 31 Ogos!!

sukungpunuh berkata...

syabas kpd para pemimpin dlm penganjuran ini yg sangat sedar dan mengambil tindakan.pasti ramai generasi baru yg serba dlm ketidaktahuan tentang perkara ini telah terbuka minda.tahun ini sempena hari malaysia sa tidak akan mengibarkan bendera malaysia.

MAKLIN MASIAU berkata...

Kesedaran sangat penting.jgn biarkan sejarah ini hancur ditunggangbalikkan oleh kerakusan kuasa politik