Pengikut

23 April 2008

PEMBANGUNAN KAWASAN TAMU PEKAN PITAS

Sebelum saya berkongsi mengenai isu di atas, dimaklumkan bahawa website pejabat daerah Pitas telah dikemaskini dan kini boleh dilayari dengan klik 'kenali pitas' dalam web pilihan gerbangpitas.
Bercakap mengenai pembangunan kawasan tamu Pekan Pitas, petang tadi telah berlangsung mesyuarat pembentukan AJK Badan Bertindak Peniaga yang dipengerusikan oleh Pegawai Daerah Pitas dan turut dihadiri oleh Pegawai Eksekutif Majlis Daerah Kota Marudu/Pitas (MDKM/P). Maklumat awal yang dibentangkan oleh Pegawai Daerah amat memberangsangkan, iaitu :
  • Proses pewujudan Majlis Daerah Pitas (MDP) sekarang dalam peringkat kabinet serta penyusunan perjawatan di peringkat SPA. Ini bermaksud, pada masa terdekat Pitas tidak lagi bergabung(bernaung) dengan Kota Marudu dalam konteks pengurusan PBT tetapi mempunyai PBT sendiri. Saya berbangga dengan langkah proaktif dan berani yang dilakukan oleh DO kerana walaupun kapasiti sekarang belum mampu untuk membiayai PBT sendiri namun beliau sanggup memulakan.
  • Sebuah 'agro-bank' akan ditubuhkan di Pitas. sekarang dalam proses 'melobi' agar bank tersebut dapat membuka cawangan secepat mungkin.
  • Kawasan rekreasi/riadah akan di pertingkatkan, di mana di samping taman rekreasi yang hampir siap, sebuah kolam rekreasi sedang dibina.
  • Terminal bas akan dinaiktaraf/diaspal
  • Sebuah pusat pemasaran hasil pertanian akan diwujudkan.

Berbalik kepada mesyuarat tadi, saya telah dipilih menjadi Timbalan Pengerusi AJK Peniaga. Mengikut rekod, sekarang terdapat seramai 102 orang peniaga (kecil-besar) yang sedang berniaga. Banyak isu yang perlu diurus demi memastikan proses perniagaan di kawasan tamu berjalan lancar. Antaranya, pengurusa sistem trafik (terutamanya semasa tamu), kemudahan tandas awam, kebersihan, keselamatan premis, kebersihan dan banyak lagi. Bagi saya secara peribadi akan cuba menjalankan tanggungjawab supaya kawasan tamu menjadi tempat perniagaan yang selamat, bersih dan 'menguntungkan' peniaga dan pembeli.

Bagi pengunjung blog gerbangpitas ini yang merupakan pembeli/pelanggan kepada sebarang perniagaan di kawasan tamu, sekiranya anda mempunyai sebarang idea dan cadangan untuk meningkatkan kualiti persekitaran dan perkhidmatan, bolehlah menghubungi saya sama ada melalui blog ini atau cara lain.

22 April 2008

ORANG BILANG TIADA KARAN......



Bertemu kembali....semalam selama ???? jam seluruh Sabah bergelap. Bermula 6.30 petang sehingga ??? tidak tahu (kami tidur sekitar 10.30 dan belum ada bekalan elektrik). Masalah bekalan elektrik telah menjadi fenomena di Sabah. Pertemuan demi pertemuan dan pelbagai resolusi penyelesaian diumumkan namun hakikatnya masalah ini masih menghantui. Masalah bekalan elektrik yang tidak konsisten merupakan MUSUH UTAMA kepada para peniaga dan perkhidmatan yang berasaskan elektrik. Bagi saya....antara langkah yang boleh difikirkan ialah kerajaan harus memberikan peluang/lesen IPP kepada mana-mana pihak yang mampu memberikan bekalan tenaga elektrik alternatif kepada kerajaan/pengguna. Pihak TNB / SESB merupakan pemilik tunggal lesen IPP yang menawarkan bekalan elektrik berbayar secara langsung kepada pengguna. Oleh kerana mereka memonopoli perkhidmatan ini, mereka seperti dalam 'zon selesa'...tidak menghadapi sebarang tekanan untuk meningkatkan mutu perkhidmatan mereka. Bagi mereka yang pernah meneliti perjanjian bekalan elektrik di antara TNB/SESB dengan pengguna....semua terma perjanjian itu memihak kepada mereka. Suatu ketika dulu banyak syarikat/kilang di Sandakan berhasrat menyaman SESB ekoran kerugian berjuta ringgit kerana masalah bekalan elektrik, namun mereka terpaksan 'menangguhkan' hasrat mereka kerana apabila meneliti terma perjanjian ternyata tidak menyebelahi kes mereka. Kita sebagai pengguna tidak ada pilihan kerana TNB/SESB satu-satunya pembekal tunggal. Jadi pilihan kita ialah 'sign atau tiada bekalan'. Kerugian yang dialami oleh pengguna meliputi semua aspek, misalnya bagi kilang seminit/sejam mereka menghentikan operasi, kerugian sudah beribu/berjuta ringgit. Bagaimana dengan perniagaan lain? Misalnya peniaga daging beku, ais kiub dan banyak lagi. Bagi pengguna di kediaman, TNB/SESB pada dasarnya tidak bertanggungjawab dengan sebarang kerosakan peralatan elektrik ekoran gangguan bekalan.
Suatu ketika dulu, perkhidmatan agensi kerajaan seperti Telekom dan Pejabat Pos juga sangat teruk. Apabila kerajaan menswastakan Telekom dan Pejabat Pos, perkhidmatan mereka bertambah baik. Namun perkhidmatan mereka menjadi lebih cemerlang apabila mereka menghadapi persaingan perkhidmatan. Munculnya talian mudah alih yang ditawarkan oleh syarikat lain memaksa telekom meningkatkan kualiti khidmat mereka. Munculnya perkhidmatan kurier seperti ABX, Feedex, NationWide dan banyak lagi....telah memaksa Pejabat Pos meningkatkan sistem perkhidmatan mereka.
Cadangan untuk mewujudkan pesaing merupakan langkah terbaik untuk menekan agensi/ syarikat sedia ada berusaha memperbaiki tahap penyampaian dan perkhidmatan mereka. Namun kerajaan kelihatan agak 'slow' mengambil tindakan kerana kita tahu TNB merupakan Government Link Company (GLC) di mana kerajaan mempunyai kepentingan pelaburan dan aset yang besar. Sekiranya ditakdirkan TNB mempunyai pesaing pastilah kerajaan akan menerima kesan dan tamparan yang hebat. Bagi kita sebagai pengguna, kita berhak menerima perkhidmatan yang TERBAIK kerana kita telah MEMBAYAR. Tahukah kita bahawa walaupun ditakdirkan selama sebulan tidak ada bekalan elektrik, kita masih mesti membayar, apa yang dipanggil sewa meter....Oleh itu....apa pendapat anda? Sebagai pengguna, apakah pendirian anda ?

19 April 2008

PUJANGGA HUJUNG MINGGU

UNTUK MENGUJI KEJUJURAN SESEORANG, BERIKAN DIA KUASA

Fikir dan renung-renungkan.....

17 April 2008

PITAS 1 : Imbasan dan Realiti Masa Kini

Bertemu kembali....saya akan mulai berkongsi fakta dan pandangan menyeluruh tentang Pitas. Kita akan 'mengembara' bersama bersama realiti dan harapan masa depan Pitas dalam beberapa aspek yang dilihat menjadi kekuatan Pitas.
Suatu masa lalu, nama Pitas sinonim dengan daerah Kudat. Ramai yang beranggapan bahawa Pitas adalah Kudat.Golongan veteran masih dengan pemikiran bahawa 'Pitas di bawah Kudat'. Ini disebabkan sebelum tahun 1975, Pitas ditadbir oleh daerah Kudat. Semua urusan pentadbiran dilakukan di Kudat dengan menggunakan motorbot menyeberangi Teluk Marudu yang memakan masa perjalanan sekitar 3 jam. Pada masa yang sama, sewaktu zaman Jepun, ramai orang Cina di Kudat yang melarikan diri ke Pitas dan membuka petempatan di tebing-tebing Sungai Bengkoka. Oleh itu penduduk tempatan akan menumpang motorbot peniaga Cina ke Kudat untuk memasarkan hasil pertanian. Pada tahun 1975, Pitas dinaiktaraf menjadi daerah penuh dengan wujudnya cawangan beberapa agensi kerajaan seperti JKR, Pondok Polis, Pendidikan dan Kesihatan. Walau bagaimanapun, dengan kemudahan dan bilangan staf yang terhad, tidak banyak urusan rasmi yang dapat diselesaikan di Pitas. Kebanyakan masih merujuk di Kudat. Menjelang awal 80-an tapak Pekan Baru Pitas telah dikenalpasti dengan bermulanya pembinaan bangunan Urusetia (yang mula digunakan pada tahun 1984... kalau tak silap) dan SMK Pitas, 1986 (saya/kami adalah generasi pertama yang menggunakan bangunan SMK Pitas yang baru). Sejak itu Pitas mulai berubah wajah dengan lebih banyak agensi kerajaan dibuka(dinaiktaraf) di Pitas. Apabila jalan raya ke Kota Marudu mulai boleh digunakan...penduduk mulai menggunakan kereta menuju ke Kudat. Pengangkutan melalui laut semakin tidak popular...sehinggalah 'menutup operasi' sekitar tahun 1997. Walaupun Pitas dikatakan menjadi daerah penuh namun pada dasarnya masih banyak agensi kerajaan yang 'belum berdikari' kerana masih bernaung dari Kudat sepert, JKR, Jabatan Air dan Jabatan Kesihatan.
Mungkin kita beranggapan bahawa imbasan ini hanyalah realiti sejarah namun kalau kita perhalusi keadaan inilah yang banyak melambatkan pembangunan di Pitas malahan banyak menyumbang kepada kemiskinan tegar. Perkara ini boleh dibuktikan dalam beberapa aspek, iaitu :
  1. Pada waktu itu hanya peniaga Cina yang mampu memiliki geran-geran tanah (dengan saiz yang luas) Kenapa? Kerana mereka telah terdedah dengan kepentingan, pengetahuan proses pengurusan tanah dan kemampuan ekonomi. Menurut rekod Jabatan Tanah Pitas, pemilikan geran pada waktu itu (sekitar 1960/70-an) dikuasai oleh orang Cina.Agak mengecewakan kerana walaupun mereka bukannya penduduk tempatan tetapi mendahului dalam aspek ini. Pemilikan tanah secara bergeran merupakan satu 'kekayaan' yang memampukan mereka menjana ekonomi mereka.
  2. Oleh kerana semua urusan di lakukan di Kudat....kita boleh mengandaikan berapa ramai orang tempatan yang mampu pergi ke Kudat. Misalnya dalam aspek pendidikan, boleh dibilang dengan jari orang tempatan yang mampu meneruskan pendidikan ke Kudat (kerana SMK yang awal hanya wujud di Kudat waktu itu). Begitu juga urusan lain seperti projek, bantuan dan banyak lagi.
  3. Oleh kerana Kudat merupakan daerah Induk, bolehlah dianggap bahawa Pitas hanyalah sebuah kampung pada waktu itu. Oleh itu pastilah peruntukan untuk membangunkan Pitas tidak disalurkan mengikut keperluan sasaran yang sebenar. Tambahan lagi pada waktu pengangkutan utama melalui laut dan sungai.

Oleh itu, saya beranggapan bahawa faktor asas kemunduran Pitas banyak dipengaruhi oleh sistem pentadbiran yang bernaung di Kudat. Dalam semua aspek bolehlah dikatakan bahawa Pitas hanya menerima 'sisa'...kalau ada lebih barulah dihantar ke Pitas. Berdasarkan realiti sejarah Pitas, saya berpendapat bahawa Pitas telah ketinggalan 20 tahun dalam semua aspek. Oleh itu, sewajarnya pihak berwajib mengadakan 'task force' yang istimewa untuk Pitas supaya Pitas boleh bersaing dengan kadar yang lebih cepat. Faktor sejarah ini membuktikan bahawa Pitas memerlukan 'sentuhan' perkhidmatan yang ikhlas dan sepenuh hati dari semua peringkat kepimpinan sama ada dari perkhidmatan awam mahupun politik. Benarlah kata-kata pujangga bahawa Sejarah Tidak Pernah Berbohong.....

15 April 2008

KENALI DAERAH PITAS

Setelah diiktiraf sebagai sebuah daerah penuh hampir 30 tahun yang lalu http://www.sabah.gov.my/pitas/ barulah Daerah Pitas amnya dan Pejabat Daerah Pitas khususnya mempunyai website sendiri. Perkembangan ini sangat dialu-alukan walaupun dianggap 'agak lambat' namun sekurang-kurangnya memperlihatkan bahawa Pitas tidak ketinggalan dalam beberapa aspek. Blog ini akan cuba menyorot perkembangan Pitas secara menyeluruh dan menelurusi cabaran-cabaran yang menghambat pembangunan dan kemajuan Pitas dalam semua aspek. Justeru saya mengalu-alukan perkongsian pendapat daripada semua pengunjung blog ini, khususnya orang tempatan yang mempunyai maklumat dan idea yang pastinya lebih lengkap dan mantap supaya percambahan idea menjadi lebih menarik dan terarah. Sebagai gambaran awal, beberapa isu yang menarik untuk disorot ialah :
  • Struktur pentadbiran yang meletakkan Pitas di bawah daerah Kudat dilihat melambatkan pembangunan
  • Persempadanan politik
  • Pitas berdaya saing sebagai pengeluar...konsep produk setempat
  • Sistem pemasaran yang produktif
  • Bagaimana membangunkan Pekan Pitas
  • Penghijrahan belia yang tinggi....produktiviti temptan menurun
  • Jaringan jalan raya
  • Membangunkan sektor pelancongan di Pitas...berkonsepkan apa?
  • Membina jaringan dengan NGO dalam dan luar negara
  • Dan banyak lagi.....

Saya membuka blog ini...anda boleh memulakan langkah awal berkongsi idea, maklumat dan cadangan untuk setiap isu yang dikemukakan.....


13 April 2008

DISKRIMINASI KERJAYA PERGURUAN (kemaskini)

20.5% pengetua, guru besar bukan Melayu
KUALA TERENGGANU 12 April - Sebanyak 1,987 atau 20.5 peratus daripada keseluruhan sekolah rendah dan sekolah menengah di seluruh negara mempunyai pengetua atau guru besar bukan Melayu.
Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Razali Ismail berkata, bilangan mereka akan terus dipertingkatkan dari semasa ke semasa ke arah menjadikan sekolah di negara ini lebih beraspirasi nasional. ''Perangkaan ini sekali gus menolak dakwaan sesetengah pihak kononnya kementerian meminggirkan masyarakat bukan Melayu untuk menerajui pentadbiran sekolah," katanya. Mengenai program memperkasakan sekolah kebangsaan (SK), Razali bangga kerana ia mendapat sambutan meluas masyarakat bukan Melayu apabila sebanyak 413 buah sekolah rendah mempunyai bilangan murid bukan Melayu melebihi 20 peratus. Katanya, ini adalah pencapaian yang amat memberangsangkan kerana sebelum ini tidak ramai dalam kalangan mereka belajar di SK kerana lebih berminat belajar di Sekolah Jenis Kebangsaan (SJKC) Cina dan Tamil.Bagi pelaksanaan Bahasa Cina di sebanyak 100 buah SK pula, ia membabitkan sebanyak 2,889 murid dengan 1,555 pelajar adalah Melayu, 561 (Cina), 214 (India) dan 559 adalah kaum lain.''Bagi Bahasa Tamil (BT) di sebanyak 70 buah SK, ia membabitkan 492 pelajar Melayu, 7 Cina, 208 India dan 12 lagi kaum lain," katanya lagi. Razali menambah, untuk menarik minat pelajar kaum lain belajar di SK serta memberi peluang kepada mereka mempelajari bahasa lain, kementerian telah memperkenalkan mata pelajaran Bahasa Cina Komunikasi (BCK) dan Bahasa Tamil Komunikasi (BTK) beberapa tahun lepas. Bagaimanapun, katanya, mulai tahun lepas, kementerian telah menggantikan BCK dan BTK dengan Bahasa Cina dan Bahasa Tamil.
Suatu masa lalu ketika menghadiri majlis makan malam di Tang Dynasty, saya berkesempatan berbual-bual dengan seorang bekas Pengetua (seorang yang agak dikenali juga kerana rekod perkhidmatan cemerlang).Perbualan kami berkaitan dengan diskriminasi dalam kerjaya perguruan.Kata-kata beliau yang paling saya ingat ialah "bagaimana pun kita cemerlang...jangan harap jadi Pengarah...jadi Timbalan Pengarah pun susah ". Inilah realiti diskriminasi dalam perkhidmatan awam (bukan hanya perguruan). Statistik 20.5% bagi saya menggambarkan ketidakadilan kerana mengikut pengalaman saya selama 14 tahun sebagai guru, kita tahu benar golongan guru yang manakah yang cemerlang dalam kerjaya. Saya pernah mengajar di sekolah Cina (SM Lok Yuk, Kudat) selama 4 tahun. Jika dibandingkan, sikap dan kegigihan guru-guru Cina jauh lebih ke depan. Begitu juga dengan guru-guru dari kaum lain....Tetapi setakat manakah penghargaan untuk mereka? Bukan sekadar anugerah cemerlang tetapi guru-guru seperti ini sepatutnya dinaikkan pangkat kerana merit mereka. Kes lain, seorang guru di sekolah saya telah diluluskan biasiswa pengajian sarjana sedangkan pada masa itu beliau belum pun mendapat tempat di IPTA. Apakah guru-guru Cina dan India dengan mudah mendapat biasiswa seperti guru ini?
Dalam program memperkasakan sekolah kebangsaan..tahukah kita bahawa salah satu strategi untuk menjayakan program ini ialah dengan memindahkan guru-guru Cina, India (dan kaum lain) yang cemerlang di SRJK ke SK? Tenaga, kepakaran dan kegigihan mereka di perah tetapi adakah mereka ini berpeluang menjadi Pengarah Pelajaran atau sekurang-kurangnya Timbalan ? Belum pernah berlaku !
Ya..bercakap tentang diskriminasi dalam perkhidmatan terlalu banyak fakta yang membuktikan. Namun akhirnya inilah realiti. Salah seorang pengunjung blog ini bertanya "Apakah yang harus kita lakukan?
Bagi saya oleh kerana isu ini berkaitan dengan dasar dan polisi kerajaan maka jalan yang ditempuh agak panjang. Dasar dan polisi kerajaan dalam sistem perkhidmatan ada kaitan dengan Dasar Ekonomi Baru (DEB), justeru isu ini hanya boleh diselesaikan melalui perubahan iklim politik. Apa juga dasar dan polisi, bergantung kepada 'niat ikhlas' kerajaan yang memerintah. Bak kata pujangga, bagaimana pokoknya, begitulah buahnya. Pokok kelapa pasti menghasilkan buah kelapa. Kerajaan yang memperjuangkan konsep kesamarataan dan keadilan pastilah membentuk dasar dan polisi pentadbiran yang adil. Justeru melihat kepada realiti politik dan kerajaan sekarang, isu dan polemik ini sekadar menunggu bulan jatuh ke riba. Fikir dan renung-renungkan....

12 April 2008

PUJANGGA HUJUNG MINGGU

ORANG MEMELIHARA ANJING UNTUK MENYALAK (MENGHALAU) PENCURI TETAPI KALAU PENCURI ITU ADALAH TUANNYA SENDIRI, ANJING ITU PASTI TIDAK MENYALAK
Renung-renungkan dan bolehlah buat ulasan maksud dan konteks....terima kasih.

11 April 2008

SEKADAR RETORIK


SERTAI PERKHIDMATAN JABATAN PERSEKUTUAN

KOTA KINABALU: Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Sidek Hassan menggalakkan agar lebih ramai rakyat dari Sa-bah dan Sarawak memasuki perkhidmatan kerajaan di peringkat persekutuan supaya lebih ramai pegawai dari kedua-dua negeri dapat dilantik ke jawatan tinggi dalam Perkhid-matan Awam Persekutuan.
Katanya, dengan adanya lebih ramai rakyat Sabah dan Sara-wak memasuki Perkhidmatan Awam Persekutuan, ia sudah tentu lebih ramai lagi daripada mereka akan dapat mengisi jawatan tinggi di peringkat persekutuan.
“Kita memahami tidak ramai daripada rakyat Sabah yang me-masuki perkhidmatan awam persekutuan…agaknya mereka lebih suka dengan perkhidmatan awam di peringkat negeri,” katanya kepada pemberita pada persidangan media selepas mengadakan majlis perjumpaan bersama Mayor dan Pengerusi Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Sabah, di sini, kelmarin.
Sebelum ini beberapa pihak di negeri ini meminta agar lebih ramai rakyat dari Sabah yang diberi peluang untuk memegang jawatan penting dan kanan dalam perkhidmatan awam di peringkat persekutuan.
“Saya akan bincang dengan semua orang yang berkaitan (mengenai perkara ini), biasanya ianya berasaskan merit dan pendekatan itu merupakan yang baik yang perlu diambil…tapi nampaknya kalau semuanya ikut merit…kalau tidak ramai orang yang masuk dalam Perkhidmatan Awam Kerajaan Persekutuan, sudah sikitlah,” katanya.
Sehubungan itu, katanya, anak-anak muda dari negeri ini yang baru keluar daripada universiti boleh digalakkan untuk memohon kerja untuk mendapatkan jawatan dengan Perkhidmatan Persekutuan.
“Ini supaya di masa hadapan lebih ramai dapat dilantik ke ja-watan yang tinggi di peringkat perkhidmatan persekutuan,” kata-nya. Terdahulu itu, beliau berkata, isu-isu asas seperti isu sampah, longkang, rumput dan jalan raya (SLR) merupakan isu yang penting dan perlu ditangani oleh pihak PBT.
Demikian berita yang disiarkan oleh semua akhbar tempatan hari ini. Nampak menarik tetapi kalau kita memperhalusi kata-kata beliau kita tahu bahawa semua ini hanya retorik dan permainan kata-kata. Kononnya mendorong rakyat Sabah yang berkelayakan untuk menyertai perkhidmatan persekutuan.Beliau juga dengan ilusinya mengandaikan bahawa rakyat Sabah hanya berminat menyertai perkhidmatan awam negeri. Betul ka begitu ? Tahukah kita bahawa proses pengambilan dalam sistem perkhidmatan awam yang dikendali oleh JPA dan SPA adalah berdasarkan kuota dalam beberapa aspek seperti bangsa/kaum, agama, wilayah dan banyak lahi. Kuota ini menyebabkan pengambilan menjadi tidak adil. Bayangkan kalau ada 100 rakyat Sabah yang layak tetapi kuota hanya untuk 10 orang......Sepatutnya sistem yang paling adil ialah pengambilan berdasarkan merit atau meritokrasi. Konteks perkhidmatan awam ini luas termasuklah perkhidmatan perguruan. Pengalaman saya selama 14 tahun, saya mendapati ramai guru dari 'luar' Sabah yang ditempatkan di Sabah sebenarnya kelayakan akademik mereka tidak mencukupi untuk memasuki jurusan pendidikan di Universiti tetapi kerana keistimewaan, kuota (dan faktor lain yang tersembunyi) mereka dikatakan "berminat dan layak".
Saya tidak meneruskan hujah saya dalam isu dan polemik ini. Saya membuka blog ini untuk anda menilai dan memberikan hujah terhadap isu ini amnya dan berita oleh KSN kita khususnya. Sesungguhnya keadilan yang sebenar ialah apabila semua yang layak harus diberi dan menerima peluang.

10 April 2008

PENGURUSAN SUMBER MANUSIA

Bertemu kembali.....pertama sekali terima kasih dengan sokongan rakan-rakan yang bukan sahaja melayari dan menyumbang idea dalam isu yang diketengahkan dalam blog ini, malah tawaran untuk 'menaiktaraf' kualiti setting, layout dan lain-lain untuk blog ini. Semua aspek ini akan dipertimbang mengikut keperluan semasa.
Saya baru kembali dari menghadiri persidangan/synode gereja PCS seluruh Malaysia minggu lalu. Persidangan kali ini melakar beberapa perkembangan sesuai dengan usia PCS 56 tahun. Di samping pemilihan kepimpinan EXCO yang baru struktur baru pentadbiran PCS telah dipersetujui secara prinsipnya. Semasa persidangan saya diberi kepercayaan membentangkan hasil perbincangan bengkel dalam salah satu bahagian dalam penstrukturan iaitu pengurusan sumber manusia. Visi PCS ialah berdikari dalam semua aspek termasuklah pengurusan sumber manusia. Dengan keanggotaan seramai 32,000 orang, PCS sesungguhnya memerlukan sumber manusia yang mampu memimpin anggota dengan bijak dan sistematik. Konteks pembentangan saya mencakupi beberapa aspek iaitu :
  • Maklumat sumber manusia sedia ada
  • Sistem pengurusan sumber sedia ada
  • Jumlah keperluan sumber manusia semasa dan keperluan mengikut pelunjuran pada masa akan datang (5 tahun...10 tahun)
  • Bagaimana mengeluarkan sumber sumber yang berterusan (Perekrutan)
  • Mencari dan menempatkan sumber tenaga dari kalangan profesional (intelektual)

Pastinya anda mempunyai ramuan untuk membantu saya dalam isu ini dari segi pengisian dan penambahan aspek pengurusan sumber manusia dalam organisasi.

06 April 2008

PEMBANGUNAN MODAL INSAN


Bertemu kembali....sementara menantikan gambar yang berkaitan kelab sukan dan persidangan sinoda PCS baru-baru ni....saya mengambil peluang berkongsi idea tentang modal insan. Gambar yang anda lihat adalah sekumpulan kanak-kanak di kawasan hulu Pitas yang begitu gembira semasa menerima bantuan alat tulis daripada NECF. Kerajaan kita di bawah pimpinan Pak Lah telah meletakkan Pembangunan Modal Insan sebagai antara matlamat utama (bahkan menjadi modal kempen.....). Pada kali ini, saya tidak berniat mengulas lebih lanjut tetapi saya membuka blog ini untuk kita berkongsi pendapat tentang keyakinan kita terhadap pencapaian matlamat kerajaan ini. Adik-adik kita di atas merupakan generasi masa depan kita ? Justeru pembangunan modal insan yang diwarwarkan sepatutnya mereka nikmati dalam semua aspek....pembangunan fizikal (contoh : makanan seimbang) Intelek dan Emosi. Persoalannya ?
1. Sepanjang pengetahuan anda..apakah pengisian slogan pembangunan modal insan yang kerajaan telah lakukan ?

2. Apakah pengisian tersebut dinikmati secara menyeluruh oleh semua kaum?kawasan? Tanpa mengira ideologi ?

3. Apakah anda ada cadangan dalam isu ini ?

Ya...generasi ini perlukan lebih dari apa yang kita fikirkan perlu......

02 April 2008

BEKERJA....MELAYANI...RILEKS....

Mohon maaf...saya telah berjanji untuk posting kan mengenai kelab sukan dan rekreasi, Pitas (STARCOP) tetapi oleh kerana saya belum mendapatkan rakaman gambar semasa mesyuarat, maka saya belum dapat berbuat demikian.
Saya tidak akan dapat mengemaskini blog ini dalam beberapa hari kerana saya terlibat dalam Persidangan Umum (Synode) gereja PCS di Kudat 3-5 April. Persidangan 3 tahun sekali pada kali ini sangat penting kerana bukan sahaja pemilihan EXCO malahan usul penstrukturan semula PCS akan dibentang dan dijangka diluluskan. Ya....sebagai organisasi yang telah berusia hampir 60 tahun dengan keanggotaan hampir 42,000 orang dan telah berkembang di seluruh Malaysia, sudah pasti PCS perlu 'penjenamaan dan penstrukturan semula'. Sebagai salah seorang perwakilan (kapasiti Pengerusi PCS, Pekan Pitas), pasti saya cuba memberikan pandangan dan cadangan demi pertumbuhan PCS yang sihat. Puji Tuhan bos saya (pengetua) meluluskan cuti saya dan isteri saya. So....kami terus mengambil kesempatan untuk bercuti bersama keluarga tercinta. Anak-anak saya sangat suka dengan Kudat kerana ada KFC, Esplaned, library yang besar dan panorama laut yang indah.
Bertemau lagi dalam posting saya akan datang....terima kasih dengan sokongan dan pandangan semua 'pelawat gerbangpitas'.....