Pengikut

31 Mac 2008

RANCANGAN DAN TINDAKAN

Petang tadi saya menemui Pegawai Daerah Pitas, En.Sapdin Ibrahim. Perbincangan yang agak lama menyentuh 4 perkara utama, iaitu :
1. Bertanyakan perkembangan rayuan penyambungan projek jalan raya Pandan-Pinapak-Maliau. Profail rayuan telah saya hantar Oktober 2007. Projek ini diluluskan dalam RMK7 tetapi terbengkalai sehingga sekarang. Laluan projek jalan raya ini meliputi kawasan yang belum ada jalan raya di Pitas dengan kapasiti penduduk sekitar 1000 orang. Rayuan penyambungan telah saya kemukakan di JPM dan KPLBW. RESPON BELIAU : Projek ini sentiasa dalam perhatian dan berusaha mendapatkan peruntukan. Beliau menambah bahawa projek-projek yang besar memerlukan usaha dan kerja keras YB dan eksekutif kerana persaingan yang tinggi mendapatkan peruntukan.
2. Bertanyakan tentang persiapan sambutan Pesta Menuai peringkat Daerah Pitas.Saya menyuarakan perasaan hairan kerana KDCA tidak dijemput ke mesyuarat. Beliau menyatakan bahawa ADO telah diberi mandat mempengerusikan sambutan dan sepatutnya KDCA diberi peranan. (Saya sebenarnya lebih suka kalau tidak diberi peranan tetapi oleh kerana kapasiti sebagai Pengerusi KDCS Pitas dan Ahli Majlis Tertinggi KDCA, biasanya KDCA Pusat akan merujuk banyak perkara kepada saya. Oleh itu saya kena tahu perkembangan di daerah)
3. Menyampaikan Surat Rayuan Ke-2 para peniaga di gerai papan tapak tamu Pekan Pitas yang memohon agar jalan raya di kawasan mereka rosak dan menyebabkan perniagaan mereka mengalami kerugian kerana pelanggan tidak mahu melalui kawasan tersebut. Beliau memberi jaminan untuk mengambil perhatian dan mengesahkan bahawa kawasan tersebut telah dimasukkan dalam cabutan projek akan datang.
4. Saya mempromosi dan menawarkan 'perkhidmatan blog gerbangpitas' sebagai satu alternatif memaparkan perkembangan dan keperluan pembangunan di Pitas. Beliau meminta alamat blog dan berjanji mengambil perhatian.
Saya gembiran kerana DO Pitas merupakan seorang pegawai kerajaan yang prihatin, cara kerja yang profesionalis dan personaliti yang baik. Semua rancangan adalah baik tetapi menjadi yang terbaik kalau mengambil langkah untuk bertindak. Dengan kemampuan yang terhad, saya berusaha membantu mana-mana ruang yang ada di daerah Pitas. Paling penting ialah perbincangan dua hala haruslah sentiasa dibuat oleh semua kelompok agensi perancang dan pelaksana. Perbincangan yang jujur dan tanpa prejudis pasti akan mempercepatkan kejayaan perancangan dan tindakan.
Semoga berjumpa lagi. Pada masa akan datang saya akan berkongsi tentang kelab sukan dan rekreasi yang pertama didaftarkan di ROS di daerah Pitas. Sebagai antara pengasas kelab dan sekarang sebagai setiausaha, kami berusaha mencapai matlamat dan objektif kelab ini.

30 Mac 2008

BETAPA BERAT MATA MEMANDANG BERAT LAGI BAHU MEMIKUL

Posting saya mengenai penderitaan jiran saya En.Junero kerana kebakaran mendapat respon dan ada beberapa yang ingin tahu cara menyalurkan bantuan. Sekiranya anda mengenali saya dan berada di daerah yang sama...lebih baik anda menemui saya dan kita bersama menghantar bantuan kepada En.Junero. Kaedah ini lebih tepat supaya nilai bantuan sampai 100% kepada sasaran dan En.Junero mengenali anda dan bukan saya yang 'dikenali'. Walau bagaimanapun, sekiranya anda tidak mengenali saya ataupun berada jauh daripada Pitas...anda boleh menyalurkan bantuan anda ke akaun Giro saya : 1210029853254064 (atas nama Maklin Bin Masiau). SMS amaun yang anda kreditkan (no.hp dalam muka depan blog). Saya akan postingkan penyampaian bantuan itu dalam blog ini nanti sebagai bukti bantuan sampai kepada beliau.
Kita membantu bukan kerana kita ada kelebihan justeru membantu dari kekurangan adalah yang paling berharga. Terima kasih dan jumpa lagi.....

28 Mac 2008

MEMINIMAKAN PENDERITAAN RAKYAT



Jam 9 pagi tadi...rumah jiran saya, En.Junero hangus terbakar.Punca kebakaran masih tidak diketahui. Semasa kebakaran hanya anak mereka berumur 13 tahun (pelajar saya) yang berada di rumah kerana mereka sekeluarga menolong jiran mereka yang sedang sibuk membuat persiapan perkahwinan. En.Junero merupakan aktivitis gereja dan masyarakat. Punya kemahiran bermuzik, membuat bata blok, tukang kayu(rumah) dan banyak lagi kemahiran. Semasa saya tiba, rumahnya telah hampir hangus dan apabila saya mendekati beliau, saya dapat merasakan kesedihan dalam hatinya. Memang musibah hidup tidak dapat diramal, namun dalam kes-kes seperti ini, majoriti berpendapat bahawa sekiranya ada Balai Bomba di Pitas, pasti masih ada ruang untuk meminimakan kesan kebakaran. Pada waktu saya kembali ke rumah barulah kelihatan sebuah kereta bomba sampai....tanpa membawa bekalan air ! Saya melihat kejadian itu dengan hati yang menyampah, kecewa dan geram. Sudah banyak kes seperti ini yang berlaku. Musibah kebakaran yang tidak dapat dibendung dengan segerea kerana ketiadaan balai bomba. Pada tahun lalu, rakan saya En.Mosibin (staf KPD, Pitas) juga mengalami musibah yang sama malahan lebih teruk kerana salah seorang anaknya rentung !
Sudah berpuluh tahun rakyat Pitas merayu agar sebuah balai bomba didirikan di Pitas namun kerajaan selalu memberi alasan ketiadaan peruntukan, kapasiti penduduk yang belum layak dan banyak lagi. Tambahagn lagi pemimpin politik dari dulu sentiasa 'lalai' dengan hal ini. Bagi saya, kalaupun tidak sebuah balai bomba yang lengkap didirikan, memadailah sekiranya sebuah 'mini balai bomba' dengan kemudahan alat pemadam api yang asas disediakan. Inilah yang selalu membingungkan saya dalam hal 'maksud pembangunan' yang sebenar. Kos penghantaran 'percutian' angkasawan kita boleh menyamai kos pembinaan 5 balai bomba. Pertukaran nama Kementerian Pendidikan kepada Kementerian Pelajaran juga membabitkan peruntukan yang besar....dan banyak lagi agenda pembangunan yang dibanggakan tetapi sejauhmana memenuhi keperluan sasaran (pedalaman)?......
Kita tidak dapat meramal musibah. Kita tidak dapat mengelakkan musibah. Tetapi 'kerajaan' boleh meminimakan penderitaan rakyat ekoran musibah. Pertama...merancang dan melaksana pembangunan asas (seperti balai bomba). Kedua....mewujudkan tabung kebajikan (bantuan segera) bagi meringankan beban pada masa kritikal.
Berbalik kepada kes En.Junero...atas kapasiti saya dalam beberapa organisasi, saya cuba membantu beliau. Mujur tadi...gereja PCS pekan Pitas masih ada lebihan kain terpakai yang saya usahakan tahun lalu.Kami segera hantar kepada beliau. Anda terbeban? Hubungi saya.....satu sen bantuan anda akan saya sampaikan kepada beliau. Semoga Tuhan memberikan kekuatan dan penghiburan kepada beliau sekeluarga.

27 Mac 2008

TANAH : WARISAN KITA



Pertama sekali saya bersyukur kerana dalam tempoh 72 jam blog ini mulai dikunjungi oleh orang ramai, khususnya di kalangan rakan-rakan. Respon yang positif memberikan semangat kepada saya untuk meneruskan blog ini. Saya yakin bahawa KASIH ...tidak pernah gagal. Perjuangan untuk membantu orang lain haruslah dimanifestasikan dalam semua sudut. Prinsip saya...sebarang kelebihan yang ada pada kita dianugerahkan oleh Tuhan untuk membantu yang berkekurangan. Saya mulai teruja membuka blog ini apabila saya melayari blog Screenshot, milik Jeff Ooi. Perjuangan beliau melalui blog sangat membantu, malahan beliau juga pernah menyiarkan kemiskinan di Pitas dalam blog beliau. Jeff Ooi akhirnya masuk DAP dan menang di MP Jelutong.
Salah seorang pengunjung blog gerbangpitas menanyakan pendapat saya tentang isu birokrasi pengurusan tanah yang ditimbulkan oleh MP Kinabatangan, Datuk Bung. Saya sangat bersetuju dengan cadangan YB Bung ini. Birokrasi pada dasarnya prinsip yang baik dalam sistem pentadbiran (saya mengajar topik ini dalam subjek Pengajian Am, Tingkatan 6) namun birokrasi yang keterlaluan apatah lagi kalau diwujudkan semata-mata supaya ada gate antara jentera kerajaan dengan masyarakat sangat menyusahkan, khususnya di kalangan penduduk kampung. Birokrasi akhirnya mewujudkan penyakit rasuah kerana semua orang mahu jalan pintas untuk meyelesaikan urusan. Apabila rasuah maka....yang senang tambah senang...yang miskin terus papa kedana.
Berkenaan dengan birokrasi tanah di negeri Sabah...bagi yang pernah mengurus geran tanah masing-masing pasti ada pengalaman pahit. Saya telah memulakan pengurusan geran tanah (daripada zero) untuk tapak rumah saya pada tahun 2002. Anda tahu sekarang di peringkat mana?Baru saja minggu ini (24.3.2008) final check daripada Jabatan Ukur di tapak tanah saya. Pengurusan ini dianggap cepat kerana sejak tahun 2002, setiap 3 bulan saya berjumpa pegawai berkaitan bertanyakan perkembangan. Bayangkan bagaimana dengan orang kampung yang 'tidak apa-apa' dan 'tidak tahu apa-apa'....sekadar menunggu bulan jatuh ke riba. Tunggu punya tunggu....syarikat sudah menyukat halaman rumahnya.
Tanah adalah masa depan bagi masyarakat miskin yang bergantung kepada tanah. Justeru pada tahun 2002, saya dan beberapa rakan telah menganjurkan Seminar Pengurusan Tanah NT sempena Kolokium Kemerdekaan di Dewan Masyarakat Pitas. Seminar ini cuba menyedarkan dan membimbing penduduk bagaimana mengurus permohonan tanah. Namun impak seminar ini kurang mantap kerana hanya dianjurkan oleh 'kumpulan yang terbeban' dan bukan agensi kerajaan ataupun pemimpin politik.
Saya terus berharap agar pemimpin sedia ada memainkan peranan dalam soal tanah, iaitu :
  1. Mendidik masyarakat tentang sistem birokrasi pengurusan tanah
  2. Memastikan hanya penduduk asal yang diberikan hak
  3. Menjadi pemudahcara dalam pengurusan tanah
  4. Mengenalpasti keperluan di peringkat agensi untuk mempercepatkan proses
  5. Mengenalpasti satu 'pelan tindakan' seperti permohonan secara berkelompok agar proses pengukuran lebih cepat dan meminimumkan perbelanjaan.
  6. Tegas dalam sebarang perkara berisiko di mana tanah berpotensi dimiliki oleh mereka yang tidak berhak.

MEREKA PERLUKAN

Pada bulan Mei 2007, saya (kapasiti sebagai pengerusi PGKS) telah menyampaikan bantuan berupa 2 mesin kisaran padi, 2 buah tangki, 129 kampit beras 10 kilo, alat tulis dan wang tunai RM20 seorang daripada NECF. Menuju ke kawasan hulu Pitas tidaklah semudah yang anda fikirkan. Kereta hanya setakat di Kg Dandun dan anda harus menaiki sampan selama hampir 2 jam. Selepas itu berjalan kaki selama 40 minit, mengharungi bukit bukau. Rakan sekerja saya, Mr.Wong (kemeja lengan panjang) turut serta. Katanya dia biasa mengharungi sungai semasa bertugas di SMK Trusan Sugut, Paitan pada tahun 1970-an. Bolehkah anda membayangkan keperitan membawa mesin dan tangki di dalam perahu? Lebih hebat...bolehkah anda membayangkan kesusahan hidup masyarakat di sini. Walau pun sangat penat, namun saya berasa puas dapat menyempurnakan tugas kecil ini kerana bagi saya penghargaan tertinggi ialah kepada Tuhan dan kedua kepada insan yang telah membantu mereka dengan wang. Sesungguhnya bilangan penduduk yang miskin tegar di Pitas seperti mereka sangat ramai. Saya anggarkan sekitar 2000 orang. Mereka ini umpama 'lost world' tidak tahu apa itu perlumbaan F1 di Sepang, juara AF,Menara Petronas. Tetapi sedarkah kita bahawa mereka juga penyumbang kepada negara dari segi aspek 1) Sentiasa berdoa untuk keamanan negara; 2) Membayar cukai (konteks pengguna); 3) Mengundi untuk sebuah kerajaan; 4)menjadi warganegara yang tidak ada masalah jenayah. Oleh itu mereka perlukan perhatian dan tindakan yang 'serius' daripada kerajaan. Kalau kerajaan hendak 'mencurahkan' anugerah kekayaan negara, inilah kumpulan sasar yang paling wajar menerima. Kita nantikan ini.......

25 Mac 2008

KEMISKINAN TEGAR
Ungkapan kemiskinan tegar telah sinonim dengan daerah Pitas. Pada waktu saya mengajar subjek Pengajian Am di peringkat tingkatan 6, tajuk/isu selalu hangat diperdebatkan. Majoriti pelajar tidak tahu makna kemiskinan tegar ini (apatah lagi orang kampung....)Penjelasan saya mudah...kemiskinan tegar adalah kemiskinan yang telah menjadi warisan. Ada simpulan bahasa 'tegar tengkuk' yang bermakna orang yang susah diajar/ditegur. Ini bermakna kemiskinan tegar ialah kemiskinan yang 'semiskin-miskinnya' yang hampir mustahil untuk dibasmi. Petani berkahwin dengan petani...kebarangkalian 100% anak pasti petani. Kitaran ini telah menjadi budaya dan identiti sekian lama. Kemiskinan melingkari hidup.
Dalam perjalanan dari kejohanan sukan tadi....saya menawarkan rehat kepada pelajar sambil memberikan peluang membeli belah di Kota Marudu tetapi mereka menolak dengan alasan tiada duit. Saya sangat kasihan. Saya tahu mereka sangat lapar kerana setelah makan tengahari mereka berjuang habis-habisan di padang dan jam menunjukkan 6.30 pm.
Huh...ya...kemiskinan ! Mereka datang dari keluarga yang susah..sangat miskin. Kerajaan melaung-laungkan kekayaan dan kemewahan negara. Pendapatan isi rumah dikatakan telah meningkat. Dalam RMK9, dikatakan Sabah menerima peruntukan 20 bilion ! Saya tertanya-tanya di manakah wang itu ? Kini kita berbangga dengan Koridor Pembangunan Sabah (SDC) Rancangan 15 tahun ke arah Sabah Maju......Ya......inan...maman...inai...amai di pelusuk terpencil di Pitas.....samalah kita nantikan....SDC akan mengubah hidup anda. Sabah akan keluar dari kemiskinan tegar pada tahun 2010..kata seorang menteri kanan Sabah. Adakah realiti ? Ilusi ?
Nantikan....Gerbang Pitas akan meneliti dan membuka realiti.....

24 Mac 2008

SUKAN DAN PEMBANGUNAN

Hari ini saya ditugaskan membawa peserta sukan bola baling ke SMK Teknik Kudat. Tugas ini telah menjadi rutin dan saya gembira melakukan tugas ini. Sesungguhnya pembangunan sukan di Pitas masih di tahap yang lemah. Tugas ini seolah-olah telah diletakkan di bahu pihak sekolah. Kepimpinan politik tidak menggariskan 'master plan' untuk pembangunan sukan dan belia sedangkan Pitas mempunyai banyak bakat sukan yang setanding dengan dengan daerah lain. Membangunkan sukan bermaksud membangunkan sumber manusia. Matlamat bukan setakat aspek kecergasan dan kesihatan malah banyak aspek positif yang diperolehi. Saya berharap dan menunggu kepimpinan politik yang baru di Pitas dapat menggariskan program pembangunan sukan dan belia yang sistematik di Pitas.

SALAM RAKYAT

Saya mengucap syukur kepada Tuhan kerana dengan kasih, hikmat dan kekuatanNya maka saya dapat memulakan blog ini yang saya dedikasikan khusus untuk rakyat Pitas. Sesuai dengan misi Berkongsi Kebenaran Menyingkap Penderitaan...maka blok ini akan berkongsi fakta-fakat kebenaran dalam konteks isu-isu yang dikupas secara intelektual dan membangun. Juga akan menyingkap penderitaan rakyat Pitas sebuah daerah yang diistyiharkan sebagai 'yang termiskin' di Malaysia. Betapa berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Justeru apabila anda melihat kebenaran dan penderitaan dan hati anda tergerak untuk membantu dalam apa jua aspek, blog ini sedia menyalurkan bantuan anda. Saya berjanji bahawa semua sokongan dan bantuan akan diterima sepenuhnya oleh golongan sasaran. GerbangPitas bersifat..'berani tanpa prejudis' dengan tidak menjunjung sebarang ideologi. GerbangPitas berpaksikan kepada hak kesamarataan dan hak bersuara yang akan dideklarasikan melalui prinsip kasih. KASIH adalah kekuatan semulajadi dan keperluan asasi manusia sejagat.
Gerbangpitas dibangun daripada otak yang zero tentang ICT tetapi daripada hati yang penuh dengan kerinduan. Anda dialu-alukan memberikan respon dan sebarang komen. Adalah baik sekiranya saya mengenali anda sekiranya sudi. Dengan doa dan sokongan semua pihak, semoga gerbangpitas dapat merentasi detik waktu menemui hati yang 'lapar dan haus' akan KASIH.

Terima kasih.....